Pages

|

Saturday, 7 May 2016

Dendang Bidadari

Karya: Jinnai




Bidadari, bidadari
Temanilah resahku
Bidadari, bidadari
Tenangkanlah jiwaku
sumpah setia hidup mati semuanya
Kerna kau isteriku
Isteriku tercinta
Pelengkap rusuk kiriku

Maryam tersenyum didepan cermin, sedang bersiap-siap menyambut kepulangan suaminya. Lagu kegemaran yang sering didendangkan oleh suaminya diulang.

Pintu utama diketuk diiringi ucapan sejahtera.

"Assalamualaikum... Maryam, abang ni.." panjang umurnya. Muadz yang diluar senyum juga.

Maryam segera membuka pintu.

"Waalaikumussalam.." Tangan Muadz disambut. Muadz senyum lagi.

"Masak apa harini?"

"Amboi. dia ingat makan je, tak ingat kita pun.." Maryam memuncungkan bibir.

"Ehh, dia tak tahu ke waktu kerja kita teringatkan dia je?"

"Yalah tu. jomlah, makan. Hee"

****

Cuaca pagi itu mendung. Maryam juga sama, namun dia sendiri tidak tahu apa yang dimendungkannya. Fikirannya lari pada suaminya di tempat kerja.

"Harap Muadz baik-baik saja.."

Perasaannya yang terganggu terus terusir selepas mendengar ketukan pintu. Namun anehnya, tiada ucapan selamat.

"Assalamualaikum ab..." Maryam kaget setelah membuka lawang. Tubuh yang berdiri di hadapan pintu bukan tubuh milik suaminya. Tubuh dengan wajah penuh dendam, tersenyum sinis.

"Ya Mar, 'abang' dah balik !"

Lawang segera ditutup. Wajahnya berubah pucat. Dia kenal siapa yang berdiri di hadapannya tadi.

Maryam berlari ke tingkat atas menuju ruang kamarnya, mengingati semula dimana dia meletakkan telefon bimbitnya untuk menghubungi Muadz. Manakala 'dia' pula sudah berjaya menceroboh masuk ke rumah, tapi masih di bawah. Gayanya seperti tak siuman.

"Mar...Mar.."

Maryam masih bergelut menggeledah setiap inci ruang biliknya mencari telefon bimbit hinggalah tiba-tiba..

"Aduh, kat bawah !" dia baru teringat telefon bimbitnya yang terletak di kabinet dapur.

Dalam masa yang sama, pintu kamar ditolak kasar. Maryam bertambah panik.

"Tak kunci pintu, Mar? Memang jemput abang masuk ke?"

'Dia' maju setapak demi setapak. Maryam pula berundur sampai kakinya terhenti menemui dinding putih biliknya.

"K-kau nak apa ?!"

"Eh, dia tanya kita nak apa? Kita datang ni nak dia lah," sambil tangannya bermain-main dengan pisau yang tirus hujungnya.

"Gila! Pergilah, pergi! Suami aku balik kejap lagi! Kau gila! Orang gila! PERGIII !" Itu saja yang termampu oleh Maryam.

"Gila? Kaulah yang gila! Sebab kau gila, kau buat aku jadi gila macam ini! Senyuman kau gila, cantik kau gila, suara kau gila.. Semua pasal kau..semuanya...menggilakan aku!"

Lelaki didepannya ini dahulu yang selalu mengejarnya sampaikan dia berkeputusan menyembunyikan dirinya. Bahkan, bukan seorang dua yang mengejarnya. Ada juga dia menerima ugutan bunuh jika dia menolak cinta si lelaki yang mana semuanya membuat dia paranoid. Dia tidak lagi bersekolah, tidak lagi bermasyarakat, tidak lagi berkawan dan tidak lagi keluar rumah. Dia seolah-olah menghukum dirinya sendiri kerana memiliki paras rupa yang menawan, kelunakan suara yang merdu dan lenggok gaya yang sopan. Sehinggakan selepas dia bernikah pun, dia kekal di rumah.

Dia merahsiakan dirinya, tempat tinggalnya dan semua yang berkaitan termasuk suaminya. 3 tahun perkahwinannya dipelihara sebaik mungkin. Hingga hari ini si jahanam ini kembali. Si Said Khudri.

Maryam masih tercatuk bisu. Buntu mencari jalan keluar.

"Aik, diam je. Kenapa Mar? Tak mampu berkata-kata ye nampak abang depan mata? Alala.." tangannya cuba meliar ke wajah Maryam, tapi dengan segera ditepis.

"KAU. TAK. LAYAK! pergilah! Kau tak ada kena mengena dengan hidup aku!"

"Okey, okey. Aku akan pergi. tapi lepas aku ambil kecantikan kau ni, semuanya, supaya tak ada seorang lelaki pun dapat menikmati engkau!"

Pisau tirus tadi didekatkan ke wajah Maryam. Dia mahu lari, tapi nampaknya tiada jalan keluar. Maryam pejam. Redha.

“Ya Allah, ampun.. Abang, maafkan Maryam. Maryam tak dapat cantik lagi depan abang…”

Sedetik..dua detik.. dia cuma mampu pasrah menantikan azab. Mungkin wajahnya ditoreh, atau mungkin dicalarkan. Dia tak pasti apa yang akan berlaku. Dia menunggu sehingga cairan jernih yang hangat meluncur laju ke pipi.

Eh, lama pula. Dia membuka mata. Said berada lebih kurang setengah meter dari dia.

"Tak bestlah pejam. Aku tunggu kau buka mata, baru feel," tangannya membaling tepat pisau tirus tadi ke dahi Maryam. Kali ini cecair merah pekat pula yang mengalir. Setitis..dua titis..kemudian laju.

Belum sempat terkejut, Maryam terus pengsan.


****


Bidadari, bidadari
Jadilah pedampingku
Bidadari, bidadari
Jadilah sang setia
Kerna cinta cinta suci
Buktinya tidak pernah sepi
Sepi daripada
Cubaan yang tak terduga

Suara yang lembut menjengah ke telinganya. Suara Muadz.

Maryam cuba membuka mata perlahan-lahan. Wajah Muadz yang dilihatnya, tersenyum di sebelah.

"Assalamualaikum cik puan cantik.."

"Waalaikumussalam.." nanti, cantik? Aku cantik lagi?

Kemudian dia mengusap dahinya. Tidak ada calar apa-apa?

"Kenapa?" Muadz kehairanan.

"Tak..tak ada apa-apa.." dia sendiri hairan.

Muadz senyum. Lagi.

"Sambung lagu, boleh?"

"Hahaha..aiwah !"

Kau umpama bintang utara
Penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan
saat ku jatuh
Bangun semula

Dan berikan sakti cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita
cinta abadi
hanya disyurga

cinta abadi...hanya di syurga

Kemudian Maryam terlelap lagi.


****


Dia membuka mata buat kali kedua, namun kali ini tiada Muadz. Jam dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Dia berlari turun ke bawah, Muadz tiada dimana-mana.

"Ah...mungkin di belakang…" Maryam berlari ke pintu belakang lalu dikuak perlahan. Dia mengukir senyum. Sangkaannya tepat.

Muadz duduk di pangkin belakang, menikmati kesejukan malam. Maryam menyangka mungkin itu hobinya. Awalnya dicegah juga, tapi nampaknya Maryam juga turut suka duduk santai bersama disitu.

Maryam duduk. Dipeluk tulang tengkorak di sebelahnya dan diusap kepalanya.

"Puas Mar cari abang.. .Mar rindu.."

Maryam senyum. Tengkorak di sebelahnya juga senyum. Ya, tengkorak Muadz sentiasa senyum. Kerana senyuman itulah yang membuatkan Maryam tidak waras. Parut berbentuk pangkah di dahi tengkorak itu diusap juga.

"Mesti sakit kan, abang? Mar minta maaf.."

Malam itu sendu. Anginnya juga tidak berapa kuat, tapi cukup nyaman buat mereka. Buat Maryam sendiri.

Dan...ikatan kita
Cinta abadi..
Hanya disyurga..


Maryam berdendang lagi.

No comments:

Post a Comment