Pages

|

Sunday, 26 April 2015

Antagonis

Karya: Zelkahf


            Hadi, Borhan dan Jasim adalah tiga orang sekawan yang selalu bersama walau dimana mereka berada – seperti belangkas. Mereka adalah sahabat karib daripada sekolah menengah hinggalah masuk di dalam kolej yang sama.
            Namun, beberapa bulan selepas mereka graduasi, Hadi mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya. Lalu ingin berkahwin dengan kenalan mereka di kolej yang sama juga. Namanya Ratnah.
            Setelah bertunang, sebelum tarikh pernikahan Hadi dan Ratnah, mereka bertiga bercadang untuk bersama-sama melakukan aktiviti percutian terakhir. Hanya mereka bertiga. Lalu mereka pun bersetuju walaupun pada awalnya Jasim berat hati untuk pergi.

“Kita nak pergi mana ni?” soal Jasim ingin tahu.
“Pergi camping lah. Takkan nak pergi kelab pulak?” sindir Borhan yang sedang memandu kereta Myvi hitam miliknya. Hadi yang duduk disebelah tempat duduk pemandu hanya tersenyum sendiri.
“Tahulah nak pergi camping, tapi dekat mana? Dari tadi aku tanya tapi tak berjawab. Hadi, kau tahu ke kita nak ke mana sekarang ni?” Jasim kelihatan terlalu bimbang. Dahinya berkerut. Wajahnya yang berisi itu mula berpeluh.
“Yang kau cuak sangat ni kenapa Jas? Tenang lah. Kau ingat kitaorang nak culik kau ke?” pecah ketawa Hadi. Diikuti Borhan. Lucu melihat gelagat Jasim yang terlalu paranoid. Sehinggakan dengan sahabat karib sendiri pun dia tidak percaya.
Jasim menarik muka. Sejak itu dia mendiamkan diri di tempat duduk belakang. Lalu tertidur. Sambil Hadi dan Borhan bertukar cerita tentang awek terbaru Borhan dan tunangan Hadi.


***
“Woi! Jasim! Bangun! Dah sampai dah!” bahu Jasim ditepuk-tepuk oleh Borhan. Hadi pula sedang mengeluarkan barang-barang keperluan untuk berkhemah daripada but kereta.
            Jasim tergeliat. Mulutnya ternganga besar sewaktu dia menguap. Masih lagi mengantuk agaknya. Mungkin tubuhnya terlalu letih. Padahal bukannya buat apa sangat pun.
            “Jasim! Mai lah tolong kami angkat barang ni!” arah Borhan tegas.
            Jasim yang bermalas-malasan bergerak perlahan menuju ke arah Hadi yang berada di belakang kereta.
            “Eh tak payah Jasim. Biar aku yang buat. Kau pergi cari kayu api, ranting-ranting ke. Malam ni kita buat campfire,” Hadi tersengih.
            “Tunggu apa lagi? Geraklah!” tempik Borhan. Tampaknya Borhan sangat suka mengarah Jasim yang agak lembab membuat kerja. Mungkin Borhan sengaja. Bermanja kasar dengan Jasim.
            “Kau apasal kasar sangat dengan dia? Dari dulu kauorang ni tak habis-habis nak bergaduh je.”
            “Aku saja je lah Hadi. Main-main je. Tak payahlah serius sangat.” Borhan ketawa kecil. Dia sebenarnya tidak berniat pun untuk membuli atau menyakiti hati Jasim. Sekadar cuma mahu bergurau dengan sahabatnya itu. Mungkin cara dia bergurau sangat lain daripada yang lain. Sehinggakan Hadi sendiri bingung cara dia bergurau dengan sahabatnya sendiri.
            Hadi dan Borhan mula menyusun barang-barang keperluan di atas tapak khemah yang strategik yang dipilih oleh Hadi. Lalu memasang dua buah khemah untuk mereka beristirehat. Satu khemah untuk mereka berdua. Satu lagi khemah hanya untuk Jasim seorang, kerana tubuhnya lebih besar sedikit berbanding mereka berdua. Lagipun, mereka bimbang bau peluh Jasim akan mengganggu lagi tidur mereka sepertimana percutian-percutian mereka yang lalu.


           
***

20 minit kemudian…

           
“Nah! Cukup tak kayu ni?” Jasim meletakkan kayu-kayu yang dipikulnya tadi ke tanah, di tengah-tengah tapak perkhemahan mereka.
            “Cukup, In shaa Allah,” ujar Hadi sambil menyusun kayu-kayu itu dengan rapi agar mudah untuk dibakar malam nanti.
            “Aku baring kejaplah eh? Penat ah. Maghrib karang kejutkan aku.” Jasim yang letih terus menuju ke arah khemah lalu berbaring di dalamnya.
            Hadi dan Borhan hanya menggeleng kepala dan tersenyum melihat gelagat Jasim yang bagi mereka lucu.

            “So, kita nak buat apa sekarang? Jasim dah rehat dalam tu. Takkan kita pun nak tidur? Bosanlah.”
            “Memancing jom!” cadang Hadi.
            “Jom!”

            Setelah bersetuju dengan cadangan Hadi itu, mereka berdua pun mengambil batang pancing dan peralatan untuk memancing yang lain lalu berjalan menuju ke arah sungai yang berdekatan.
            Mereka duduk ditebing sungai itu berdua sambil berborak-borak kosong menanti umpan dimakan. Mereka bercadang untuk buat ikan bakar malam ni sambil bermain muzik dan menyanyi di hadapan unggun api.
            “Kau happy tak sekarang Hadi?” tanya Borhan. Wajah sahabatnya itu ditatap sekilas. Kemudian tertumpu semula kepada pancingannya.
            “Gembira giler. Dah lama rasanya aku, kau dan Jasim tak reunion macam ni. Rindu zaman sekolah dulu bro. Just me, you and Jasim. Together.” Pandangan Hadi terlempar ke seberang sungai.
            Tiba-tiba…

            “TOLONGGG!!!!” terdengar suara jeritan meminta tolong dari arah tapak perkhemahan mereka.
            “Weh tu macam suara Jasim!” Hadi menebak cemas.
            “Bukan macam. Memang suara Jasim! Jom!” Borhan yakin itu memang suara sahabat mereka. Setelah teriakan kedua, Borhan dan Hadi terus berlari menuju ke arah tapak perkhemahan. Batang pancing dibawa bersama, hanya kotak umpan saja yang tidak sempat diangkut lalu terbiar di tepi sungai.
            Sampai sahaja mereka ditapak perkhemahan, mereka terkejut melihat Jasim terduduk diluar khemah dengan wajah yang pucat.
            Hadi berlari ke arah Jasim yang masih lagi dalam keadaan terkejut.
            “Apasal weh?!”
            “T-t-t-tu!!!” jari telunjuk Jasim ditujukan ke arah sebuah pokok besar di belakang khemahnya.
            Borhan dan Hadi segera menoleh memandang ke arah pokok yang ditunjukkan.
            “Hek eleh budak sorang ni. Ini yang kau takut sangat sampai menjerit minta tolong tadi?” Borhan menolak perlahan kepala Jasim. Geram.
            Hadi hanya menggelengkan kepalanya. Tak tahu nak kata apa.
            “Hadi, aku cuma takut…” belum sempat Jasim menghabiskan ayat Borhan menyampuk.
            “Dah, baik kau pergi mandi ke apa, ataupun ikut kitaorang pergi sambung memancing. Kacau je lah orang tengah feeling nak memancing. Kalau tak dapat ikan, memang tak makan kita malam ni.” Bebel Borhan. Tengkorak-tengkorak yang tergantung di pohon besar itu dimasukkan ke dalam plastik lalu dicampak ke atas unggun api yang belum dibakar.
            Jasim masih tercegat disitu memandang lambakan tengkorak di dalam sebuah plastik lutsinar Giant.
            “Jas, kau nak ikut ke tak ni?” soal Hadi setelah melihat sahabatnya itu masih tercegat di hadapan khemahnya.
            Jasim hanya menggelengkan kepalanya. Borhan sudah jauh ke hadapan meninggalkan Hadi dibelakang.
            “Ikut kau lah, kalau ada apa-apa jerit minta tolong. Ingat!” Pesan Hadi sebelum berjalan menyusuri hutan tebal Pahang membontoti Borhan.


***

            Malam itu mereka berborak sambil menikmati ikan bakar bersama-sama di hadapan unggun api. Dingin malam tidak terasa bila api yang membakar kayu-kayu unggun menghangatkan tubuh.
            Bunyi cengkerik berselang-seli dengan bunyi burung hantu menambahkan mood suasana di hutan. Jasim yang sedari tadi tidak keruan, memerhatikan keadaan sekeliling mereka. Bimbang ada bahaya yang datang menjengah tanpa amaran.
            “Weh korang, aku nak pergi buang air kecil sat,” Borhan meminta diri untuk berhadas. Bingkas dia bangun lalu berjalan menuju ke arah belakang pohon besar tempat berkumpul tengkorak-tengkorak yang mereka jumpa petang tadi.
            “Jangan lama-lama. Dalam hutan ni banyak rimau,” seloroh Hadi sambil ketawa kecil.
Borhan diam tidak membalas. Sempat pandangannya hinggap ke arah Jasim yang semakin pelik. Lelaki itu seakan gelisah. Berpeluh-peluh.
            “Apahal dengan Jasim tu?” getus Borhan dalam hati.
            Bottom track berwarna hitamnya dilucutkan sedikit ke bawah. Belum sempat dia mahu melepaskan hajat, ada sesuatu yang menekup mulut dan hidungnya dari belakang dengan satu kain yang basah. Kain itu berbau seperti bahan kimia yang membuatkan dia terasa pening dan akhirnya rebah. Dunianya menjadi gelap.

            “Kau kenapa Jasim. Dari petang tadi aku tengok aku macam tak tentu arah je.” Soal Hadi yang turut sedar perubahan yang berlaku keatas sahabatnya itu.
            “Tak ada apalah.” Jasim menafikan.
            “Tak payah tipu aku Jasim, aku kenal kau macam mana. Pasti ada sesuatu yang kau simpan. Kau takut eh?”
            Jasim diam. Dia merasakan ada sesuatu yang bakal berlaku. Sesuatu yang buruk.
            “Jasim, bagitahulah…,” Hadi memujuk.
            “Eh, mana Borhan ni lama sangat?” tanya Jasim. Sengaja cuba untuk mengalih tajuk perbualan.
            “A’ah lah. Dah lama sangat ni. Biar aku pergi usha kejap.”
            “Okay.” Jasim setuju lalu membiarkan Hadi sendirian berjalan masuk ke dalam belukar yang gelap dengan hanya berbekalkan cahaya lampu dari Samsung Galaxy S miliknya.
            Jasim tersenyum.

***

            Hadi mencari Borhan di belakang pohon besar tempat sahabatnya tadi melepaskan hajat, namun Borhan tiada.
            “Borhan!! Borhan!!” Hadi menjerit memanggil nama Borhan. Namun tiada sahutan. Sepi. Hadi meneruskan perjalanan. Lebih jauh ke dalam semak-semak hutan yang tebal.
            Hadi berjalan hampir sejauh lima ratus meter dari tapak perkhemahan mereka mencari Borhan, namun kelibat Borhan masih tidak kelihatan.
            “Haih, mana pula pergi Borhan ni?” bisik hatinya. Bimbang.
            Dia tidak betah untuk pergi terlalu jauh lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik. Tapi ada dia perasan satu kelibat yang berlari di sebalik pohon-pohon hutan yang besar dan tinggi. Borhan mempercepatkan langkah. Bimbang apa yang dilihatnya itu adalah haiwan pemangsa yang mencari makanan pada waktu malam.
            Sewaktu dia mahu melangkah untuk berpatah balik, dia terpijak sesuatu yang pejal. Bau busuk menusuk hidungnya, pantas tangan kirinya menekup mulut dan hidung.
“Apa benda yang aku pijak ni?” getus hatinya lalu segera dihalakan suluhan cahaya lampu ke arah tempat dia berpijak. Kaki kanannya dialihkan dari objek yang dipijak tadi.
Terkejut Hadi saat melihat sekujur tubuh yang dikenalinya terbaring kaku ditanah. Badan Borhan berlubang, ususnya terburai keluar, darah melimpah membasahi rumput-rumput yang hijau.
“B-B-Borhan…” Hadi gagap. Badannya menggigil takut. Dia tidak tahu hendak buat apa lagi. Dia bingung. Tanpa berfikir panjang dia berlari semula ke arah tapak perkhemahan. Memanggil-manggil nama ‘Jasim’.

“Apasal kau? Macam kena kejar hantu je?” soal Jasim bersahaja. Kali ini wajah Jasim tidak segelisah tadi. Malah tampak gembira melihat Hadi yang ketakutan.
“A-a-ku nampak…”
“Nampak apa Hadi?? Hantu??” Jasim ketawa terbahak-bahak.
“B-bukan!” tercungap-cungap Hadi menghabiskan ayat.
“Dah tu? Kau nampak apa?!!”
“B-Borhan… Dia dah mati!” ujar Hadi. Air matanya mengalir deras. Perasaan takut bercampur sedih melihat sahabat karibnya mati dengan ngeri sebegitu.
“Kita kena balik sekarang Jasim! Jom!!”
Belum sempat Hadi melangkah pergi ke arah khemah untuk mengemas barang, satu das tumbukan hingga ke wajahnya. Hati terduduk ke tanah.
Dia terkejut dengan tindakan Jasim yang secara tiba-tiba.
“Apa ni Jasim?!! Apasal kau tumbuk aku?” soal Hadi bingung. Pipinya yang kesakitan disapu-sapu.
“Kau dah lupa apa yang kau dah buat??!” tempik Jasim. Marah.
“Aku buat apa doe? Apa salah aku?!” Hadi masih tidak mengerti.
“Cuba ingat balik!! 2 tahun yang lalu. Kau dan Borhan. Adik aku…” Jasim mendekati Hadi. Hadi mengensot sedikit kebelakang. Perasaan takut bertambah apabila melihat wajah bengis Jasim yang tidak pernah dia lihat sebelum ini. Tak sangka Jasim yang dikenalinya sebagai seorang nerd dan lemah bertukar ganas sebegini.
“A-a-aku… Bukan salah aku Jass!!” Hadi membela diri. Sedang Jasim bermain-main dengan pisau Rambo nya.
“Bukan salah kau? Bukan ke kau dan Borhan yang tolak adik aku jatuh dalam sungai dulu? Kau cemburu sebab dia rapat dengan Ratnah. Ratnah itu dulu girlfriend dia, tapi kau dengki. Obses dengan Ratnah sampai kau sanggup bunuh adik kawan kau sendiri. Borhan, dia juga bersubahat. Kau dah lupa??!”
“Aku harus fikirkan cara untuk lepaskan diri,” ujarnya di dalam hati. Hadi berfikir cara untuk melepaskan diri dari Jasim. Lalu bingkas dia bangun. Melihat sekeliling. Terundur sedikit kebelakang apabila Jasim semakin mendekatinya.
Jasim membawa hujung pisau Rambo yang tirus dan tajam itu tepat ke leher Hadi.
“Woo… take it easy Jas… I can explain it to you, what really happened that time,” Hadi cuba memujuk Jasim namun tidak menjadi. Jasim bermain dengan pisaunya di urat leher Hadi yang menegang.
“Fuh syukurlah tuan polis dah sampai…” ujar Hadi sambil berusaha menenangkan dirinya.
Jasim menoleh untuk memastikan apa benar polis berjaya menjejaki mereka. Tapi sebenarnya dia tertipu dengan helah Hadi.
Tanpa lengah, Hadi tidak mensiakan peluang yang terhidang untuk menyerang Jasim. Tangan Jasim yang memegang pisau ditendang kuat. Lalu tercampak pisau itu ke tanah. Dua hayunan tumbukan dilepaskan ke arah wajah Jasim, dua lagi di dada dan akhirnya perutnya yang buncit ditendang sekali oleh Hadi dengan kuat. Terduduk Jasim menahan kesakitan. Hadi ketawa.
Dia seolah yakin yang Jasim tidak mampu lagi untuk melawan. Tubuh Jasim dihimpap. Kedua belah tangan Jasim ditahan dengan kedua belah lututnya. Kedua belah tangannya bersedia untuk melepaskan beberapa tumbukan untuk mencederakan Jasim.
“Ya! Memang aku sengaja bunuh Hatim. Aku memang nak bunuh dia! Sebab dia ada apa yang aku nak selama ni!” dengan bangganya Hadi mengakui dosa dan kekejamannya.
Jasim hanya diam.
“Kenapa diam??! Takut??!” sindir Hadi sambil tersengih puas.
“Aku tak takut. Aku cuma tengah berfikir macam mana nak celebrate kematian kauorang berdua.” Ujar Jasim penuh dengan keyakinan.
Hadi menumbuk wajah Jasim bertalu-talu, tapi setelah sampai kepada tumbukan yang kelima kali, tiba-tiba…
ZUPPPP!!! Terasa degupan jantungnya yang laju berdegup sebentar tadi kini semakin perlahan.
ZUPPPP!!! Buat kali kedua. Terasa panas seluruh tubuhnya. Cecair pekat berwarna merah mula keluar dari belakang tubuhnya. Sakit.
ZUPPPP!!! ZUPPPP!!! Kali ketiga dan keempat. Tersembur darah keluar dari mulut Hadi mengenai wajah Jasim. Jasim tersengih.
“Macam mana? Seronok?” soal Jasim. Kini dia pula yang tersenyum puas melihat lelaki yang membunuh adiknya itu terseksa.
Tubuh Hadi yang semakin lemah itu ditolak ke belakang. Jasim bingkas bangun.
“Si-si-apa yang tikam aku dari belakang??” Hadi sudah dalam keadaan nazak.
“Aku!” seorang perempuan berambut pendek, memakai t-shirt putih dan seluar jeans berwarna biru muda hinggap diatas tubuh Hadi yang lemah.
“Awak??” pandangan Hadi semakin kabur. Tapi dia kenal suara itu. Dia kenal susuk tubuh itu. Dia kenal juga wajah wanita itu.
“Maafkan saya….”
SRETTTT!!! Bilahan pisau yang tajam itu laju dihayunkan membenam ke leher Hadi. Darah terpancut keluar. Kedengaran suara tawa Jasim dan perempuan itu memecahkan keheningan malam. Tubuh Hadi menggelupur seperti lembu disembelih. Tidak lama kemudian, terkulai layu. Mati.


“Terima kasih, Ratnah,” ucap Jasim sambil tersenyum lega.