Pages

|

Thursday, 27 November 2014

Cendala

Karya: Ysmin


"SYUKUR, Tuhan masih sayang!" aku bermonolog sendirian.  Al-Quran pelangi pemberian Kak Masitah aku tutup. Kalamullah itulah teman sejati aku sejak dua tahun yang lalu. Bait-bait firmanNya yang indah itu tidak pernah dan tidak akan mengecewakan aku. Aku senang hidup begini. 

Masih terngiang-ngiang bicara Kak Masitah dahulu. "Al-Quran lah jawapannya Aini. Cuba Aini spare masa untuk al-Quran. Insha Allah segala wayar kegusaran Aini yang berbelit tu akan terlerai nanti. Akak percaya," ujar Kak Masitah sambil bibirnya terukir senyuman ikhlas.

Setitis demi setitis butiran jernih air mataku gugur melewati pipi mungil yang kusam. Kolam mataku sudah sarat dengan air. Hati ini ditusuk rasa rindu yang mendalam bak pisau yang menikam. Kini Kak Masitah sudah 'tiada' lagi untuk menemani jalan hijrahku. Dia sudah dijemput Tuhan. Walaupun pedih, aku harus juga redha akan pemergiannya. 

Allah lebih sayang Kak Masitah, aku tahu. Semoga Kak Masitah baik-baik saja di sana. Al-Fatihah aku hulur. Itulah darma aku setiap hari demi sahabat yang paling aku kasih.

"Tunggu Aini dekat syurga tau Kak Masitah!" bisikku perlahan.

Angin mendayu-dayu petang itu. Jendela bilik yang terkuak luas membuatku terasa ditampar-tampar oleh angin. Sejuk. Hari hendak hujan mungkin. Bingkas saja aku bangun dan menutupnya.

Tidak berapa lama kemudian, air hujan mula membasahi bumi. 

"Allahumma sayyiban nafi'an," doa saat turunnya hujan itu aku baca dengan penuh syukur bagi menyambut kedatangan Si Rahmat yang mencurah-curah.

Saat itu, bayang Kak Masitah bagaikan berdesup laju menerpa minda.

"Nak tahu tak bila doa senang makbul oleh Allah?"

"Nak nak! Hehe bila kak?" bicara Kak Masitah membuatkan aku tertanya-tanya.

Kak Masitah tersenyum seraya membalas,

"Masa hujan ni lah antaranya."

Bunyi guruh yang tiba-tiba berdentum itu menghentikan lamunan ku. Bayang Kak Masitah kini hilang dari kotak fikiran. Lekas aku beristighfar.

Rindu aku padanya, hanya Tuhan saja yang tahu.


* * *

"Astaghfirullahal'adzim! Apa yang awak buat ni Aini?" jelas terkejut suara Liyana.

Cepat-cepat aku menutup komputer riba Acer aku itu. "Kacau daun sajalah Liyana ini," getus hatiku. Terasa menjengkelkan tatkala memikirkan si Liyana yang sesuka hati menyibuk urusan aku. Biarlah aku nak buat apapun yang aku suka. Dasar perempuan sial!

 "Ah biarlah!" tempik aku kepada Liyana.

Liyana tergamam akan tempikan aku itu. Reaksi wajahnya sedikit berubah. 

"Tahu kau takut, padan muka!" sumpahku dalam hati.

Aku tersenyum sinis.

            Liyana segera beredar. Dia tak sanggup lagi untuk menasihati rakan sebiliknya itu. Ada-ada saja perkara maksiat yang dia lakukan. "Tak ingat dosa agaknya," bisik hati kecil Liyana. 

            Masitah yang terdengar tempikan Aini itu segera menuju ke bilik mereka. Basah lidahnya beristighfar melihat kejadian itu. Masitah faham perasaan Liyana, malah dia juga berasa perkara yang sama. Aini sudah melampau! 

    "Aku harus lakukan sesuatu untuk ubah keadaan ni," tekad Masitah.


* * *

Usai sahaja kelas Madam Tan berakhir petang itu, Masitah terus ke kedai buku MPH. Dia memulakan pencariannya untuk mendapatkan sebuah buku yang boleh membantu menyedarkan Aini. Masitah percaya kata-kata mampu mencairkan hati seseorang. Kalau tidak, mana mungkin ramai wanita terpedaya dengan janji-janji manis lelaki. Bezanya, kata-kata yang Masitah ingin Aini baca adalah kata-kata tarbiah yang mengandung 1001 ibrah. "Moga kali ini berhasil," damba Masitah, si gadis bertubuh kecil itu.

Setelah beberapa kali membelek buku-buku di situ, akhirnya sebuah buku berjudul 'Untuk Kita Pendosa' karya Hilal Asyraf berjaya mencuri perhatian Masitah. Buku itu diselak sepintas lalu, Masitah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda berpuas hati. 

"This is it! Buku ni memang sesuai untuk Aini," kata Masitah sambil tangannya mencapai buku 'Untuk Kita Pendosa' di bahagian rak paling dalam untuk mengambil yang lebih baharu dan masih kemas bersampul.

"Memang itu lah yang selalu masyarakat kini lakukan kalau ingin membeli buku, aku ikut saja," kedengaran tawa di hujung bicaranya.


* * *

Semasa di kaunter pembayaran, Masitah teringat akan sesuatu. Dia memukul kepalanya perlahan tanda kecewa dengan dirinya yang boleh pula lupa akan satu kitab yang paling mujarab. Al-Quran.
Masitah terus ke bahagian 'Religion'. Al-Quran pelangi terjemahan diambilnya dengan penuh yakin tanpa perlu berfikir panjang. Tiada keraguan langsung yang terpapar pada wajah Masitah. Itu semua kerana Masitah pasti hati sesiapa saja mampu terkesan dengan ayat al-Quran jika diamati dengan betul. Manakan tidak, dia sendiri terkesan tatkala membaca terjemahan ayat-ayat al-Quran. Masitah terasa seperti kalbunya dipujuk oleh Allah swt. 

"Semuanya RM60," kata juruwang itu kepada Masitah.

Not kertas berwarna biru dan merah bertukar tangan. Masitah tersenyum puas, tidak sabar rasanya ingin memberi kedua buah buku ini kepada Aini. Sinar harapan untuk Aini berubah sentiasa terang, tidak pernah terpadam pun selagi dunia ini masih berputar elok pada paksinya. Masitah percaya janji Tuhan, Dia tidak pernah memungkiri janji apatah lagi mengubahNya.


* * *

Skrin Samsung Galaxy S2 milikku itu ditenung dan di-scroll rambang. Sungguh aku bosan saat ini. Ingin diajak kawan menonton wayang atau hangout, semua kawan aku sedang sibuk dengan hal masing-masing. Terbantut harapan ingin bersuka-ria setelah serik berada di rumah sewa.

"Ini semua Liyana punya pasallah, habis spoil mood aku bila lepak sini!" getus aku yang membara api kemarahan terhadap Liyana, si gadis yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

"Buatlah hal sendiri! Tak payah nak tunjuk baik nasihat aku. Aku memang takkan dengar, terutama kalau keluar daripada mulut kau!"

"Eh menyampah akulah!" ngomel aku lagi tanda tidak puas hati.

Bengkak terus hati Aini bila saja teringat kejadian petang semalam, sehingga tertidur gadis itu menahan marah. Tertekan dengan tugas pembikinan assignment yang diutarakan Profesor Johari pagi tadi barangkali. Maklumlah, pelajar universiti dengan assignment mana pernah berpisah.
     

* * *

Kedengaran bunyi pintu diketuk, Aini yang sedang enak didodoi mimpi sedikit terganggu. Dia menarik selimutnya tanda protes. "Tok tok," sekali lagi bunyi ketukan menari di telinga.

"Now what?!" kataku yang sedikit bengang akan bunyi yang menyesakkan otak itu. Dipaksakan juga jasad aku untuk bangun dan membuka pintu.

"Er, akak nak cakap dengan Aini sedikit boleh?" berhati-berhati Masitah menyusun kata.

"Kau nak apa? Cepat lah, aku ngantuk ni," balasku dengan jari yang ligat menggosok mata.

"Boleh akak masuk?"

"Aduh, tak perlu. Cakap dekat sini je tak boleh ke?" jawabku malas.

 "Ok, tak apa. Akak cakap dekat sini je. Hm... akak ada belikan sesuatu untuk Aini, harap Aini terimalah dengan hati yang terbuka. Dengar cerita, birthday Aini minggu depankan? Akak beli awal," lembut Masitah menuturkan baris katanya.

"Ok, thanks!" kataku acuh tak acuh tetapi masih menyambut plastik yang dihulurkan oleh Masitah. Siapa tak nak hadiahkan?

"You are welcome Aini," segaris senyuman dihulurkan Masitah kepadaku sebelum dia berlalu pergi.

Aku yang bagaikan tidak percaya dan berasa pelik dengan kejadian sebentar tadi cuba menelan situasi itu. "Kenapa si Masitah tu tiba-tiba nak bagi aku hadiah segala bagai?" duga ku di dalam hati. Aku mengunci pintu bilikku semula dan melabuhkan punggung ke katil.


* * *

Masitah mengorak langkah ke kamarnya dengan senang hati. Dia gembira dapat menolong Aini pulang ke pangkal jalan. Masitah sentiasa berdoa dan berharap agar Aini diberi petunjuk oleh Allah swt. 

Wudhu' diambil penuh tertib, Masitah ingin mendirikan solat Asar. Liyana yang kebetulan baru sahaja pulang dari kampus, diajaknya solat bersama. 

"Eh Liyana dah balik? Kalau belum solat, jom kita berjemaah!" ajak Masitah riang.

"Okay kak, tapi kejap eh. Nak ambil wudhu',"

Masitah menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Selang beberapa minit kemudian, dua insan tersebut telah pun pada rakaat kedua solat Asar. Masitah yang menjadi imam kali ini. Memang begitulah mereka selalunya, kadang-kadang giliran Masitah, kadang-kadang giliran Liyana pula. Setiap kali sahaja ada waktu bersama, pasti mereka solat berjemaah. Sejuk perut mak mereka yang mengandungkan mereka.


* * *

Pintu bilik Masitah ditolak kuat, bergegar seketika jantung Masitah saat terdengar bunyi yang memeranjatkan itu. Namun matanya tetap pegun pada tikar sejadah. Dia cuba untuk menggapai kembali khusyuk-nya.

Aini yang terpacul pada muka pintu, serta-merta berubah muka dan berasa serba tidak kena kala terpandang dua insan di hadapannya yang sedang menunaikan solat. Perlahan-perlahan dia menutup kembali pintu tersebut. Kalut benar dirinya waktu itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia perlu gelabah. Bukannya baru sekali dia melihat fenomena itu, sudah berkali-kali pun tetapi entah mengapa hari ini dia berasa lain macam. Pelik.


* * *

"Hish, aku rasa Si Masitah tu macam nak perli aku je. Oh please, tak habis dengan Liyana, takkan Masitah pulak? Stress aku macam ni!"

"Tapi kalau nak perli sekalipun, takkan dia sanggup beli buku mahal macam ni untuk bagi pada aku? Apa dia dapat? Takkan dia nak rasa puas je kot?"

"Ala, Si Masitah tu kan kaya. Mana taknya, phone saja jenama Apple. Kalau setakat buku ni, apalah sangat untuk gadis sekaya Masitah?"

Aku menghempaskan badanku ke katil. Bermacam-macam perkara  yang berlegar dalam kepala aku sekarang ini. Punyalah aku tolak kuat-kuat pintu bilik Si Masitah semata nak hambur segala sumpah seranah dekat dia, tup tup aku nampak dia dengan Liyana sembahyang. Ergh geram tahu tak!

"Ah, lebih baik aku layan movie yang aku download semalam!" kataku sambil menolak bungkusan plastik MPH itu ke tepi.


* * *

Tiada ribut tiada angin, tiba-tiba aku berasa tidak selesa apabila ada 'adegan yang tidak sepatutnya' dipaparkan. Terus aku menekan butang stop dan melihat ke arah lain. Aku malu sendiri. Kini, plastik berwarna putih pula menghiasi mata. Plastik itu seakan memanggil-manggil untuk aku mendapatkannya. Walaupun dihimpit secebis perasaan ragu-ragu, plastik itu tetap juga berjaya mendarat ke tanganku.

Buku berjudul 'Untuk Kita Pendosa' aku ambil dan mengeluarkannya daripada plastik. Sedang aku menyelak helaian buku tersebut, mata ku terpandang pada keratan kertas yang melayang jatuh daripadanya. Lekas tangan aku mencapai kertas itu yang kini sudah mencium lantai.

Aku buka dan aku dapati ianya adalah sebuah tinta. Ya, tinta daripada Masitah. Aku pandang sejenak ke arah pintu sebelum kembali melihat tinta tu dengan tanda tanya.

"Salam'alaik Aini. Terima lah hadiah akak ni dengan hati yang terbuka ya. Akak memang tak ada niat lain selain nak tengok Aini kembali kepada fitrah. Akak nak sangat bersama Aini dengan Liyana di syurga. Akak serius. Akak tak tipu. Jadi, sebab itulah akak nak Aini berhijrah. Akak tahu hati Aini tak tenang  walaupun Aini buat perkara yang Aini suka? Sebab apa yang Aini buat tu nikmat dia sekejap cuma. Cuba Aini usaha kejar syurga. Syurga tu nikmatnya kekal tau. Sekali Aini masuk, sampai bila-bila Aini boleh kekal di sana. Infiniti. Dan semua orang akan bahagia kalau masuk ke syurga. Aini tak nak bahagia yang abadi?

Akak tahu nak berkorban tu payah. Berkorban daripada buat benda yang kita suka memang tak pernah senang. Tapi, Aini tahukan  dunia ini hanya sementara? Jadi, tak salahkan untuk Aini berkorban sekejap untuk dapat nikmat yang berpanjangan? Tak salah, Aini. Langsung tak.

Macam buku Hilal Asyraf tu cakap, "Untuk Kita Pendosa, Harapan Selalu Ada." Ya, Aini. Harapan untuk kita pendosa  untuk masuk syurgaNya sentiasa ada. Nak tahu kenapa? Sebab Allah swt, Tuhan kita tu sifatnya Maha Pengampun. Kalau Aini bertaubat, inshaAllah Dia akan terima taubat Aini. Kalau nak ikutkan, memanglah Dia yang jadikan Aini macam ni. Tapi Aini kena ingat, Dia buat Aini macam tu sebab Dia nak uji Aini. Dia sayang Aini, sebab tu dia uji. Allahu, bestnya Allah sayang kita. Aini, akak dan semua orang patut bersyukur bila diuji sebab ujian itu sendiri adalah tanda Dia sayang, tanda Dia rindu dekat kita.

Akak ambil sedikit potongan ayat al-Quran yang pernah buat akak menangis sebab terharu,

"Dan Dia-lah yang Menerima taubat dari hamba-hambaNya dan Memaafkan kesalahan-kesalahan dan Mengetahui apa yang kamu kerjakan,"
{Surah asy-Syūrā, ayat 25}

Sebenarnya, banyak lagi kalam Allah yang boleh menusuk kalbu. Tapi ayat yang ini favourite akak. Orang kata, ada sentimental value gitu haha! Semoga Aini pun dapat jumpa ayat favourite Aini. Lepas itu jangan lupa kongsi dekat akak tau. Akak tak sabar nak tahu.

Akhir sekali, semoga Aini kembali kepada fitrah dan selamat membaca! Akak dengan Liyana akan sentiasa doakan Aini. You have our support, Aini. Smile."

Aku lipat kertas itu. Jujur aku cakap, aku menangis. Mana pergi jiwa yang kental dan tagihkan kasih dunia dahulu? Pelik, ayat Masitah buat aku lupa siapa aku. Dia, dia berjaya sentuh bahagian hati aku yang paling dalam yang mana aku sendiri tidak menyangka bahagian itu bisa terbuka. Dia buat aku rasa dekat, walaupun sebenarnya kami tidak pernah pun borak lama-lama, apatah lagi makan semeja. Aku sendiri masih lagi hairan bagaimana dia boleh tahu nama aku sedangkan seingat aku, aku tak pernah pun memperkenalkan diri aku padanya walaupun kami sudah tinggal sebumbung lebih kurang 2 tahun. Aku malas nak berbual dengan orang seperti dia - pakai tudung labuh, handsocks semata walaupun lengan baju dah panjang, tambah lagi dengan stokin yang tebal itu. Eh dia tak rasa rimas ke.

Mungkin Liyana yang sibuk jaja cerita aku pada Masitah, sepertimana dia jaja perihal Masitah pada aku. Bukannya aku hadap pun nak dengar cerita dia, reaksi muka aku pun jelas tidak berminat mendengar dia memuji sikap Masitah yang bagai malaikat itu. Dari situ lah aku tahu minah alim yang duduk depan bilik aku ini nama apa. Kalau tidak, sampai kesudah aku label dia minah alim.

Tapi momen ini, adalah momen yang paling tidak aku jangka akan berlaku dalam hidup aku. Menerima surat tulisan tangan daripada seorang gadis yang tidak aku rapat mengatakan dia ingin melihat aku kembali, kembali pada Tuhan yang Maha Esa. Hati siapa yang kekal statik bila didatangi dengan ayat yang berbaur memujuk ini? Siapa? Oh tidak bagi aku. Aku kelu, lalu membiarkan saja air mata ku berjujuran jatuh. Tidak aku hirau mengelapnya kerna di kotak fikiranku jelas memproses perkara yang jauh lebih perlu.

Pandanganku kini padu pada al-Quran pelangi. Aku ambil al-Quran itu lalu aku cium puas-puas. Aku rindu Tuhan! Aku rindu mahu baca ayat-ayat Dia! "Bantu hambaMu ini, ya Allah," kataku sambil teresak-esak menangis.









TAMAT.