Pages

|

Sunday, 8 June 2014

Pelangi

Karya: Skeemetri

 
    Aku mengurut-urut dadaku. Sakitnya bukan main kepalang. Aku melutut. Tubir mata aku terasa hangat. Hati pula terasa pedih dan ngilu. Mereka tetap sama. Tidak pernah berazam untuk kembali ke pangkal jalan. Aku yang beria-ia ingin mereka sembuh daripada penyakit. Penyakit maksiat. Aku sentiasa menunggu mereka untuk berserah dan kembali ke jalan yang benar. Aku sentiasa terlihat maknyah-lelaki yang mempunyai tubuh seakan wanita menunggu ‘binatang-binatang’ yang bernafsu rakus. Maknyah yang sanggup dibayar dengan wang pitis yang sedikit. Tetapi mengapa? Mengapa? Mengapa mereka sanggup bergolok-gadai bersama ‘binatang’ itu semata-mata kerana wang?
"They deserve a better life than this." Air mata aku menitis jatuh ke tanah.
  "Aku ingin selamatkan mereka !" azamku sambil mengesat air mata yang membasahi pipi.         


     ***


   Subuh. Sejak malam semalam lagi hujan rahmat membasahi bumi milik-Nya, kini ia mulai reda. Aku menoleh ke kanan. Kemudian ke kiri. Aku menghadap ke hadapan pula. Menghirup udara yang kotor dan dipenuhi dengan bau-bau maksiat yang tidak pernah lekang dibuat oleh manusia akhir zaman. Yang merupakan juga suatu petanda hari yang dijanjikan oleh Dia semakin hampir.
    Air takungan hujan menitik satu persatu melalui denai-denai. Titisan air hujan yang melalui laluan atap-atap jatuh ke lantai-lantai bumi. Bunyi air hujan yang menitik menghiasi suasana yang hening sunyi. Aku memejam mataku. Akal aku ligat memikirkan cara supaya aku diterima oleh kalangan seperti mereka. Agar aku dapat melengkapi misi yang aku telah tanam jauh diperosok hati.
    Tika ini aku mempunyai operasi. "Operasi Ummah !" Aku membuka mata dengan cahaya muka yang tekad.
 "Inspektor Warrah, operasi akan bermula tepat selepas solat subuh." salah seorang kadet pembantu memberi maklumat.
    Aku menoleh kebelakang.
 "Baiklah, kamu boleh pergi." Selepas diberi arahan, pembantu itu memberi tabik hormat kemudian terus keluar seperti yang diarahkan.
   Aku memulakan langkah ke surau yang berdekatan. Dengan satu cita yang berada di dalam genggaman.


"ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR !" laungan azan daripada Inspektor Amir mula kedengaran. Memberi petanda bahawa telah masuknya waktu solat Subuh. Ahli lain lekas memenuhi saf hadapan. Lebih  afdal. Aku berdiri. Lantas ahli yang lain turut berdiri. Biarpun aku adalah ketua dalam pasukan polis itu, di mata Allah aku sama seperti mereka. Hamba-Nya yang lemah lagi berdosa. Dalam mendirikan solat juga telah terbukti tiada siapa lebih berkuasa melainkan Dia Yang Maha Berkuasa. Angkat takbir dengan kalimah Allahuakbar-Allah Maha Besar,dengan rukuk, dan sujud menandakan aku masih lemah dan perlukan perlindungan daripada Yang Maha Kuasa. Juga menandakan aku ini hanya kerdil dan hanya dilumpuri dengan dosa-dosa lampau dan kini.
     Usai solat Subuh. Aku dan anggota-anggota yang lain bersiap sedia untuk menjayakan misi yang dirancang. Aku dan anggota lain hanya bertawakkal kepada Allah. Samada misi ini sukses ataupun tidak itu belakang kira. Sekarang ini, aku dan anggota yang lain harus berusaha.
     Inspektor Amir mengambil kesempatan membaca doa selamat sebelum kami melangkah ke destinasi yang ingin dituju. Kami semua hanya mengaminkan doa itu dan berserah penuh kepadaNya.
 "InsyaAllah kita akan menjayakan misi ini, Inspektor Warrah!" Inspektor Amir memberi kata-kata semangat."


    ***


      Setibanya disana. Bau lorong itu hamis dengan hancing kucing dan tikus. Kelihatan anjing berjejeran dengan lidah yang menjelir. Air liurnya menitik satu per satu ke jalan tar yang tengik itu. Seakan tiada oksigen yang segar dapat dihirup. Sungguh mengilukan lagi, terdapat bangkai-bangkai kucing berkeliaran. Dan juga, seorang gadis perempuan belasan tahun sedang menggeledah tong sampah yang besar. Mahu mencari makanan mungkin. Aku ke arah gadis itu. Berbasa-basi dengan gadis itu untuk mendapatkan maklumat yang sahih berkenaan ibu dan bapanya.
      Dengan wajah gadis itu yang sugul dan lurus bendul itu, dia hanya mengikuti arahan aku. Mungkin gadis itu tidak tahu kami sedang memburu salah satu orang ahli keluarganya.
      Menurut gadis itu - ibu meninggal ketika berumur 5 tahun. Bapanya bekerja pada setiap malam dan akan balik lewat pagi, kira-kira 9 pagi. Tiada saudara lain. Hanya sebatang kara.
      Aku mengarahkan pembantu aku untuk menghantar gadis itu ke tempat persembunyian kami. Serta memberi dia makan minum dan juga pakaian yang bersesuaian. Pembantu aku mengangguk mengiakan arahan aku.
      "Inspektor Amir, anggarannya bila masa yang sesuai untuk memberkas mereka?" Tanya aku dengan nada yang serius dan tegas.
      "Inspektor Warrah, kita sudah patut bergerak sekarang, kerana dalam kiraan saya, pada pukul 6.10 pagi pasti mereka akan beredar dari tempat sasaran itu." Ispektor Amir membalas dengan penuh ketelitian.
      "Jika begitu, ayuh kita mulakan operasi sekarang!" Inspektor Amir mengangguk.
       Setiap anggota yang terlibat bersedia dengan pistol di tangan. Pistol itu dihalakan ke bawah agar tiada siapa yang tercedera. Aku memulakan dengan langkah kanan.Yang lain turut melakukan hal yang sama.
       Aku memberi isyarat tangan. Yang menandakan sasaran tempat ini harus dikepung. Mereka  memahami isyarat aku dan terus bergerak ke arah sasaran. Aku kini memasuki rumah suspek. Aku mengangkat sebelah tangan mengisyaratkan separuh daripada anggota mengikuti aku dari belakang.
        Sekarang masing-masing sudah siap sedia ada di hadapan pintu rumah suspek - 10 bilik 1 rumah. "Masuk kedalam sasaran sekarang !" Aku menjerit memberi arahan. Sejurus itu, kami memasuki kedalam bilik target masing-masing.
        Manusia-manusia durjana itu bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri sendiri. Ada yang sanggup memberi rasuah kepada kami demi untuk melepaskan diri.
        Operasi kami belum tamat. Ada yang bersembunyi di tempat persembunyian mereka. Ada yang bersembunyi didalam corong asap. Ada juga yang berlari melalui tingkap. Ada juga yang bersembunyi di bawah tanah. Aku dan ahli lain akan memastikan tiada siapa pun akan terlepas. Biarpun terlepas, akan aku cari sehingga ke lubang cacing sekalipun.
        Berdasarkan pada permit dan kad pengenalan mereka, ada yang datang dari keluarga yang mewah. Ada juga yang membuat perkara ini kerana ingin memperoleh wang. Ada juga yang terpaksa bekerja sedemikian untuk membayar hutang lintah darat-along. Segelintir mereka  mengerjakan kerja ini kerana dipaksa. Ada juga diantara mereka berusaha untuk melepaskan diri daripada bapa ayam ini tetapi usaha itu dapat dihidu oleh anak-anak ikannya.
Persoalan yang timbul sekarang, dimana Bapa Ayam itu dan konco-konco yang lain melesap?

      
 ***


Di dalam bilik penyiasatan.

     "Kamu tahu kenapa kamu ditahan?" Aku bertanya dengan nada yang serius.
          "Buat apa kamu tanya aku. Sedangkan kau sudah tahu." lelaki yang berupa wanita itu bersuara dengan menjengkelkan.
     "Kamu pandai berkata-kata. Dimana 'bos' kamu menyembunyikan diri?" Aku bertanya lagi.
           " Kau sudah menangkap aku, bagaimana aku mahu tahu. Pikir aku ini ahli nujum apa?" suara lelaki itu memerli.
      Aku hanya tertawa didalam hati. Pandai sungguh dia berkata.
     "Tidak mengapa. Sudah berapa lama kamu melakukan kerja terkutuk ini, Encik Affandi?" Aku bertanya menggunakan nama sebenarnya.
     "Heh, aku baru melakukan kerja ini hari ini, kau semua telah rosakkan duit aku." Affandi memandang sinis kepada aku.
      "Kamu tidak terfikirkah, Encik Affandi..."
           "Mahu fikirkan apa? Aku sudah lama menjadi bodoh. Jika aku pandai sudah lama aku berjaya dan membahagiakan anak aku." Affandi memotong percakapan aku.
       "Ohh, kamu sudah berumah tangga? Di mana isteri dan anak kamu itu? Di tepi longkang?" Aku menggunakan suara yang sama dengan Affandi.
            "Kau tak usah mahu bermulut longkang dengan aku. Dan kau tidak perlu tahu menahu perihal keluarga aku." suaranya semakin sinis.
        "Jika begitu, tidak mengapa. Encik Affandi, kamu tidak takutkah apabila kamu melakukan kerja terkutuk itu kamu akan penyakit dan mati?" Aku mengelilingi Affandi.
               "AIDS?" Dia menangkat kening.
        "Ohh, baguslah jika kamu sudah tahu.Kamu tidak takut matikah?" Aku tersenyum.
               "Hahahaha. Kau buat lawakkah Inspektor?"
   Aku mengangkat kening pula.
               "Kau dan aku akan mati juga. Cuma masanya sahaja tidak sama.Bumi ini akan hancur juga. Dunia ini sementara. Buat apa aku perlu takut pada mati walhal aku tahu aku akan mati tak kira di mana, dan masa. Tertera pada kad pengenalan aku, yang aku ini beragama Islam. Kau juga Islam bukan? Jadi kita sama sahaja. Nanti aku mati kain kafan aku berwarna putih. Takkan kau berwarna merah jambu pula kan?" Affandi menamatkan bicaranya dengan galak tawanya yang bergema di bilik penyiasatan.
   Aku kagum. Aku tersedar. Dia boleh di pulihkan rohaninya dan jasmaninya. Luaran yang hodoh itu tidak semestinya didalammya tiada kekacakan.
              "Sudikah kau berubah ke jalan yang lebih mulia? Demi anak kau, Azzarah? Dan demi isteri kau yang meninggal?" Affandi memandang tepat ke anak mata aku. Dia terpempan.
              "Bagaimana kau tahu?" Affandi bertanya.
         "Anak kamu, Azzarah bersama kami. Dia selamat."
Affandi menundukkan mukanya. Tangannya kebas dek kerana gari yang dikenakan pada kedua belah tangannya.
   "Sudikah kau?" Aku bertanya sekali lagi dengan suatu pengharapan.
      Affandi mengangkat mukanya. Matanya terasa hangat dan airmatanya bergenangan.
        Affandi tersenyum.Dan aku tahu jawapannya.
 Itulah sebuah pelangi yang menyelusuri pada benak hati aku. Air mata aku menitis lagi dek kerana operasi peribadi aku semakin berjaya.


- TAMAT -