Pages

|

Friday, 6 June 2014

Daucus Carota

Karya: Rachel Moore


Mungkin kalian fikir ini semua tahyul. Tapi dengan sedikit pengetahuan mengenai hukum alam, mungkin perkara itu wajar dikatakan sebagai logik. Sebagai mukadimah, aku percaya kita sebagai manusia dijadikan di dunia ini bukan hanya sekadar ‘wallahhh!’ saja. Tidak lain tidak bukan beribadah kepadaNya. Namun begitu, kita perlu holistik dalam banyak perkara. Kejar akhirat tanpa mengabaikan dunia. Wasatiyyah itu perlu sebagai mukmin berjaya. Merealisasikan hidup biah solehah dengan cara hidup dan gaya karier yang dibawa.

Walaubagaimanapun, syaitan itu pandai mencucuk jarum. Manusia pula pandai salahgunakan nikmat yang diberi.

Ceh. Ayat tak menang.

***

Julai 2030
Perumahan River Heights.

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari, aku makan malam seorang diri di dapur kering. Sup ayam panas yang enak dan salad sayur-sayuran. Air tangan daripada abah aku. Mak aku dah lama tak ada. Allah sayang dia lebih. Tapi, terus-terang aku cakap aku memang kurang kasih sayang daripada keluarga aku. Abah aku bekerja kuat sampai tiada masa untuk aku. Aku faham abah banyak kerja dekat makmal tapi dalam waktu yang sama aku kesian abah tak cukup tidur kerana siapkan kerjanya sampai awal pagi.

Aku respect abah sebab dia tak pernah tinggalkan tanggungjawab dia untuk beri aku makan. 5 kali sehari dia akan masakkan sesuatu untuk aku walaupun perempuan macam aku boleh saja nak masak. Tapi dia memang rajin sebab itu aku sayang abah aku. Hehe.

Tiba-tiba, aku yang sedang khusyuk menjamu selera merasakan sesuatu aneh yang berlaku dalam diri aku. Aku dapat rasa meja aku tiba-tiba bergegar. Garfu yang aku pegang kemas hampir terlepas daripada tanganku. Aku cuak. Dah kenapa tiba-tiba ni? Aku terus terbangun dan menjauhkan diri daripada meja itu. Serentak itu aku sedar pandangan aku semakin pelik.

Aku boleh tengok apa sahaja di sebalik tembok rumah aku!

Semuanya tidak bertirai. Apa yang tersirat aku boleh nampak. Apa jiran sebelah aku buat aku boleh nampak dan aku rasa aku tak perlu cakap apa-apa yang aku nampak itu sekian. Aku acu garfu yang aku pegang sebab aku rasa seolah-olah aku betul-betul berada di luar rumah.

Kringg!!

Telefon bimbitku menjerit. Aku terus angkat.

“Hello?” Suara aku menggeletar.

“Wid, kau dekat mana? Yang lain semua dah tunggu dekat taman permainan dah ni. Tinggal kau sorang je tak nampak batang hidung.” Seloroh sahabat aku.

***

“Gila kool!” Jerit salah seorang sahabat aku.

Kalau campur aku, ada lima orang duduk dalam bulatan di kawasan taman permainan itu. Dua lelaki tiga perempuan. Mujurlah malam itu memang ramai yang turun ke padang untuk bermain futsal. Kecoh sikit dan ada juga yang memandang. Aku dan sahabat kena buat perbentangan untuk kelas Biologi akan datang. Kes menangguhkan kerja sebenarnya. Komitmen ahli kumpulan agak sedikit longgar kerana ramai yang tiada di rumah. Jadi, malam ini satu-satunya malam yang semua orang boleh berkumpul.

“Buat lagi, Wid?”

“Gila taknak aku! Orang nampak!”

“Alah buat je.”

Yang terlebih curiosity tu namanya Mary atau nama sebenarnya Mariam. Bakal pencipta barangan canggih masa akan datang boleh bagi dekat dia sebab apa yang pelik depan mata dia, dia akan tanya sampai kita yang beri jawapan jadi sesak nafas. Oh, dialah insan yang telefon aku tadi.

Aku pun menurut. Aku memfokuskan mataku kepada tin kosong yang jauh daripada kami. Sempat juga aku suruh mereka ke tepi agar dapat mengelakkan kecederaan yang tak diingini. Bismillah…

Mata aku mengeluarkan cahaya terang dan cahaya itu terus memecut pada satu arah dan terus menembusi tin kosong itu. Mata aku seperti laser. Tin kosong itu terus menjadi bolong. Hebat sekali.

“Pergh!  Macam Superman doh!” Sarip menepuk tangannya kerana kagum. Mamat snowcap hipster 24 jam dengan earphone dengar lagu. Opps aku tak habis taip, dengar lagu nasyid.

“Walaupun aku tak nampak apa kau buat tadi, bunyinya macam mengagumkan.” Farina yang tertunduk dengan sweater hoodie hitamnya, dia kekal dengan jari ‘thumb up’. Abangnya, Hafiz di sampingnya tidak berkedip mata.

Hafiz dan Farina pelik. Dorang bukan kembar tapi lahir pada tahun yang sama. Malah, dorang boleh nampak ‘benda’ tapi si abang boleh nampak waktu siang je, si adik nampak waktu malam. Jadi, tak peliklah si Farina selubung diri dengan sweater tebal. (Nak tahu lebih pasal pasangan kembar ni, tengok dekat arkib negara blog ni cari tajuk Fobia).

“Macam mana kau boleh jadi hebat macam ni, Nurul Widya?” Tanya Mary dengan nama penuhku.

“Aku taktahu. Macam biasa, aku makan malam. Tiba-tiba meja aku bergegar. Aku terkejut sangat dan aku bangun. Lepastu, aku boleh nampak tembus ikut dinding rumah orang. Aku dah takut sangat sampai aku tak sengaja laser dekat meja makan aku.”

Semua orang menjadi musykil.

“Kau ada pegang apa-apa barang abah kau ke? Yelah… Abah kau kan orang kerja makmal, mesti dia terbawa apa-apa sampel yang ada dekat rumah ke?” Tanya Sarip dengan penuh teruja. Earphone di telinganya sudah dicabut.

Dush! Aku lupa pula hal itu. Abah aku genetic engineer. Pengklonan dan sebagainya yang anda belajar asas biologi dalam Pembahagian Sel itulah abah aku buat.

Kring!! Kring!!

Telefon aku mengilai. Abah aku telefon.

“Dya dekat mana?!” Suaranya agak keras dan lantang.

“Dya ada dekat taman. Discuss presentation yang haritu tertangguh. Dya kan dah minta permission dengan abah kan sebelum ni?” Aku takut abah aku lupa pula pasal hal itu.

“Dya! Abah nak kamu balik sekarang. Ajak kawan-kawan kamu sekali. Sekarang! Ini arahan!”

Tutup.

Aku jadi musykil terus.

***

Pukul 9:20 malam
Rumah Nurul Widya.

Aku dah cuak sebab mungkin abah tanya kenapa meja makan kami dah hancur lebur. Tapi perasaan itu bertukar menjadi hairan. Abah sebaliknya  terus mengambil beg plastik zip dan gunakan erm.. apa tu tweezer? Tong? Alah yang sepit kecil tu. Ok abaikan yang itu. Abah ambil beberapa sampel makanan yang tumpah dan masukkan dalam beg plastik tadi.

“Wid… Aku rasa macam ada benda yang nak datang je…” Farina yang membisu itu terus bersuara. Mukanya memang tak nampak langsung. Tiba-tiba…

“Polis!”

Darahku berderau. Jenayah apa pula sekarang ni?

“Abah apa semua ni?” Aku bingung. Abah buat apa-apa ke yang melanggar undang-undang? Ataupun berkait dengan aku yang dah jadi mutan sejam yang lepas?

“Anak-anak, mari ikut pakcik ke belakang. Dya, abah akan jelaskan nanti tapi sekarang baik kita lari dahulu.”

***

Julai 2030
Bandar Metropolitan Mars.

Aku dan sahabatku sedang berehat di ruang tamu di sebuah kondominium mewah. Masih sedang membincangkan pembentangan tempoh hari. Mereka mengutarakan tentang genetik manusia mutan. Haa… Aku dah agak mereka dah terinspirasi dengan kejadian tempoh hari. Bertuah betul.

Genap 3 hari kami menghilangkan diri. Makin kering hati kami tengok surat khabar yang dakwa abah seorang penjenayah dan penculik pada waktu yang sama. Aku? Tak perlu cakap. Banyak dilema aku alami selama tiga hari ini. Abah tak pernah bersuara pun tentang apa yang terjadi sedangkan dia pasti tahu yang pihak media sekarang ni melakukan pelbagai spekulasi yang entah benar atau tidak tentang abah. Tapi aku taknak dikira sebagai bersubahat kalau benarlah abah seorang penjenayah.

“Wid, janganlah termenung. Habis besi kerusi tu cair kau buat. Aku percaya, Encik Saiful baik. Dia tak mungkin buat benda tak elok. Mesti ada sebab dia taknak beritahu kita. Lambat laun nanti dia akan cakap juga.”

Farina yang asyik menulis sesuatu pada buku notanya terus mengangkat muka. Kan lawa. Tapi kasihan pula kat Hafiz, muka pucat lesi semacam. Awal pagi (7 pagi) tadi dahlah menjerit dalam tandas sebab Farina tidur mati taknak temankan dia ke tandas. Nampak ‘sesuatulah’ agaknya. Comel dan lucu sangat.

Aku berhenti termenung dan mata aku tidak keluar sebarang cahaya lagi.

“Aku tahu, Ina. Aku tahu…”

***

“Dya sayang, abah rasa abah tahu Dya tunggu abah jelaskan semua benda ni. Abah takut Dya taknak terima apa yang abah nak jelaskan.”

Aku kentalkan hati. Aku mengangguk. “Abah cakap jelah. Dya cuba memahami.”

“Sebenarnya, abah dalam membuat kajian mengenai Daucus Carota. Ini rahsia kerajaan yang sangat sulit.”

“Daucus Carota bukan nama saintifik bagi lobak ke abah?”

“Ya. Abah sedang kaji tentang lobak. Dya mesti tahu lobak mengandungi vitamin A yang boleh memberi kesihatan kepada manusia. Kenapa ada vitamin A? Sebab ada Beta Karotena yang dimana membuatkan lobak merah berwarna jingga. Jangan tanya abah pasal Beta Karotena nanti sampai esok tak habis. Haha.

Dya mesti pernah dengar  kalau orang rabun malam sebab dia kekurangan vitamin A bukan? Inilah khasiatnya lobak merah. Mata awak akan jadi sihat insya-Allah.”

Keterangan abah sangat panjang lebar.

“Jadi?”

“Abah dan sahabat abah telah gunakan lobak dengan melakukan ‘crossed-species’ DNA ular. Kalau Dya nak tahu, ular sebenarnya buta. Tapi nak tahu macam mana dia boleh cari mangsa?”

Aku menggeleng. Kagum sebenarnya.

“Guna matanya lah. Tapi mata kita dengan mata ular lain. Mata ular ada sinar inframerah dimana ular dapat kesan benda panas di sekitarnya. Jadi sinar ini yang membantu ular untuk figurasikan objek walaupun dalam gelap. Hebatkan?”

“Pakcik, boleh saya menyampuk?” Hafiz yang berwajah pucat itu mengangkat tangan.

“Saya pernah baca juga bahawa mata ular juga macam video cam. Sebab tu ada orang pernah cakap dekat saya kalau nak bunuh ular, hancurkan kepalanya dulu. Kalau tak, nanti ada ular lain yang jumpa ular yang mati tu, dia boleh tengok ‘rakaman’ yang sebelumnya pada mata kawan dia dah mati. Dia boleh tahu siapa pembunuh kawannya dan sebab kawan dia mati. Malah, ular itu boleh balas dendam terhadap orang yang bunuh kawannya itu.”

“Bagus Hafiz. Awak memang mengingatkan saya dengan arwah ayah awak. Ok ya?” Abah aku tersengih.

Hafiz mengangkat ibu jarinya. Kehilangan kedua-dua ibu bapanya itu sangat pedih tapi aku tengok Hafiz dan Farina sangat tabah. Bersyukur aku masih ada abah.

Abah menyambung, “Jadi Dya, eksperimen ini sebenarnya berjaya! Awak dah termakan lobak itu waktu makan malam tempoh hari. Abah rasa kawan sekerja abah tersalah label lobak merah. Kebetulan abah beli lobak merah juga. Mungkin itu yang terjadi salah faham di sini. Tertukar. Tapi abah tak boleh terima dengan kecuaian kecil sebegini. Macam tak pernah pegang radas makmal pula dia selama ini. Hish!” Marah abah seorang diri.

“Abah, Dya boleh jadi normal balik ke? Apa motif buat kajian pasal lobak sebegitu?”

Abah terdiam. Dia memandang setiap wajah kami berlima. Ketika itu kami sedang menjamu selera (makan snek saja) di hadapan televisyen. Suasananya agak santai tapi nyatanya masih rasa ketegangan topik serius ini.

“Kami gunakan untuk perang, sayang. Ia amat mudah bagi perkongsian maklumat hanya sekadar isyarat mata yang hebat. Tapi abah tahu dalam kalangan kami mesti ada yang jadi tali barut. Mungkin akan gunakan untuk melanggar undang-undang negara dan menuntut kekuasaan. Yang paling sadis, takut gunakan benda ini untuk kepentingan sendiri semata-mata. Abah dah lama tak bersetuju tentang cadangan lobak ini dihasilkan walaupun pada asalnya itu memang idea abah sendiri. Tapi abah dalam golongan minoriti, jadi projek Daucus Carota ini dijalankan. Namun, abah jugalah yang mengetuai projek ini.

Dya pun faham sekarang ni, banyak pergolakan yang berlaku antara beberapa parti politik di negara kita dan mustahil abah katakan yang rakan sekerja abah semuanya mempunyai ideologi yang sama. Gerenti ada yang lain pendapat dalam memilih definisi pemimpin itu sendiri. Abah tahu, kalau produk lobak ini dikeluarkan, negara kita akan kucar-kacir. Jadi, abah telah membuat satu keputusan yang drastik…”

“Abah dah buat apa?” Tanya aku penuh pengharapan.

“Keturunan abah saja yang tak terjadi penggumpalan darah apabila makan lobak ini.” Katanya dengan penuh silu.

Dahiku bertaut, “Maksud abah?”

“Tengok mata abah.”

Tiba-tiba aku rasa seperti halusinasi. Aku boleh nampak abah sedang bertengkar dengan beberapa ahli sains yang lain tentang projek tersebut. Abah sangat hampa. Hati aku terjentik apabila abah ambil darah dan masukkan dalam larutan yang ingin dihasilkan. Aku juga ternampak seorang perempuan ditarik masuk ke dalam kereta. Itu aku! Abah dibunuh selepas itu.

Aku nampak diri aku sendiri dikurung dalam penjara. Banyak wayar yang berselirat di badan aku. Mereka ambil darah aku sampai muka aku jadi cengkung seperti tak cukup makan. Aku dapat lihat wajah aku yang penuh derita kerana sakit. Mengelakkan aku mati, aku diberikan makanan yang banyak terutamanya pisang bagi penghasilan darah yang baru. Zalim sungguh manusia celaka ini. Tapi mengapa?

“Dya, abah gunakan juga DNA abah. Keturunan abah saja yang boleh dapat kesan baiknya. Orang lain, mungkin jadi cacat ataupun diundang maut.” Mata abah waktu itu sudah berkaca.

“Abah takut kalau orang lain tahu pasal hal ni, mereka akan ambil satu-satunya anak abah dan ambil darah Dya untuk hal duniawi mereka. Abah tak sanggup.” Abah menekup matanya dan aku boleh nampak air mata lelakinya mengalir deras. Rupanya, ‘aku’ dalam fikiranku tadi ialah bayangan ngerinya.

“Sebab itu semua pihak cari abah. Bagi mereka abah pengkhianat negara tapi abah buat sebegitu kerana abah taknak generasi akan datang musnah kerana ciptaan abah sendiri. Abah taknak tanggung dosa.” Suaranya tersekat-sekat.

Air mata aku juga menitik. Aku memeluk abah dengan tangisan yang sangat tulus. Aku sempat menjeling kepada sahabatku. Mereka juga dilanda banjir air mata.

Berat sungguh pengorbanan abah.

***

Julai 2030
Di bawah Jambatan Destiny Falls.

Aku berhadapan dengan seorang sahabat abah yang abah sangat sayang. Tapi hari ini, aku dan abah kenal siapa kawan dan siapa lawan dalam suasana genting ini. Abah dah lama menjangka sahabat sekerjanya itu memang tali barut. Dari kejauhan, kawan abah itu sedang memegang sepucuk pistol.

“Saiful. Lama kau tak masuk kerja? Aku rindu kau.” Lelaki itu terus mendekati kami sambil melambung-lambung pistol berat itu.

“Mirza, aku dah cakap. Jangan kaitkan dengan aku lagi tentang projek tu. Aku rasa… erm. Aku rasa kita boleh mulakan projek yang lebih selamat dan lebih baik.”

“Jadi, kau nak salahkan kerajaan negara kau sendiri?!”

“Tak sama sekali. Aku percaya dengan lobak yang kita hasilkan pun, mana-mana manusia yang mulia boleh jadi alpa kerana kelebihan ini. Aku taknak semua ini terjadi. Aku tahu kerajaan ada agenda lain tapi percayalah, aku tahu masa depan anak-anak kita akan hancur dengan peperangan saudara.”

Abah pandang aku dengan sayu.

“Bodoh Saiful! Zaman makin maju dan kau masih dalam tempurung yang sama. Kau masih letakkan agama kolot dalam pendirian kau sehinggakan kau dalam dilema untuk menjadikan negara kita sempurna tanpa kecacatan?!” Mata Encik Mirza menjadi merah kerana menahan marah.

Aku dapat lihat dia hampir bersedia dengan pistolnya.

“Bawa mengucap kawan! Jangan biarkan duniawi itu menguasai kau. Tapi kau kena ingat, semua yang kita buat, kita dapat, kita rasa dan kita nikmat itu datang daripada Dia. Aku tak mahu kita dikategorikan sebagai istidraj kawan. Allah terus beri nikmat yang melimpah tapi akaun dosa naik melambung. Na’uzubillah. Terus-terang aku cakapkan, takkan ini saja salah satu cara untuk memajukan negara? Ataupun sebaliknya manusia golongan atas dahagakan kekuasaan?” Abah menjerit.

“Kau senyap Saiful atau aku tembak kau sampai badan kau jadi macam sarang lebah!”

Encik Mirza memuntahkan peluru yang ada dan semuanya tepat terbenam dalam badan abah. Abah terbaring terlentang. Aku tergamam. Hati aku bagaikan kaca dihempas ke batu seketika. Encik Mirza datang dan memeriksa nadi abah dengan wajah sinisnya dia berkata kepada aku, “Abah dah mati. Dia nak mengadu dekat Tuhan apa yang aku buat dekat dialah tu.”

Suaranya kedengaran seperti sinis.

“Nurul Widya, anak Saiful? Ada abah kasi apa-apa dekat awak? Algoritma? Formula kimia dekat kamu suruh kamu jaga?”

Dia pegang bahu aku dan tolak semula. Aku sudah tertunduk kerana menangis.

“Alala… Jangan menangis. Nanti kawan awak pun pakcik tembak. Haha! Apa kata Widya ikut pakcik dan tinggal dengan pakcik lepasni?” Dia duduk membongkok seperti memujuk anak kecil yang sedang menangis.

“Taknak.”

Riak wajah Encik Mirza berubah.

“Aku tahu kalau aku ikut kau, maknanya aku ibarat seret kaki ke neraka juga!” Aku mengangkat kepala aku dan Encik Mirza duduk terjelepok. Riak wajahnya seperti tengok hantu.

Aku sempat jeling satu cermin pecah di tepi kawasan jambatan itu. Mata aku jadi seperti… ular. Tapi aku tak kisah semua itu.

“Belajar tinggi jadi saintis tapi otak bodoh untuk kenal agama!”

Aku terus menarik kaki lelaki itu dan terus menumbuk perut lelaki itu. Darah tersembur keluar dari mulut lelaki itu. Heh.

“Abah aku cari rezeki halal untuk aku setiap hari. Dia tak pernah tinggal langsung masakkan makanan untuk aku!”

Aku angkat lelaki itu dan aku terus hentamkan badannya itu pada kaki jambatan yang berdekatan.

“Cakap dekat aku, kau sanggup jadi macam bapak aku? Abah aku tahu kenal baik buruk. Abah aku tahu bila waktu solat. Abah aku tahu apa yang terbaik untuk anak dia. Kau pernah tahu semua itu?”

Serentak itu tindakan refleks aku dapat rasakan dia mula mengeluarkan pisau lipatnya. Aku terus tepis tangannya dan pisau itu tercampak masuk dalam sungai.

“Kau dengan debu tak ada bezanya. Tidak beri manfaat langsung. Malah kau lagi hina daripada tu!”

Aku peluk lelaki itu dari belakang dan terus membelitnya dengan tangan aku. Aku dapat rasa aku mampu mematahkan tulangnya. Aku tersengih kerana dendam aku terbalas.

“Wid!”

Aku berpaling dan aku melihat sahabatku yang serba comot itu datang dengan aku.

“Abah kau mesti tak suka kau buat macam ni. Aku sebenarnya nampak ada satu ‘makhluk’ duduk sebelah kau. Dia ketawa sakan tengok kau buat macam ni. Aku tahu kau tengah marah tapi tolonglah. Biar orang yang ada kuasa untuk beri hukuman kepada lelaki ni.”

Hafiz bersuara. Mukanya pucat lesi lagi. Dia tidak sabar untuk menunggu waktu malam agar hijabnya ‘tertutup’ seketika.

“Tapi dia bunuh abah aku!!”

“Ya betul. Tapi perlu ke membalas dendam? Wid, niat tak menghalalkan cara.” Mary sudah berendam air mata.

Serentak itu aku patahkan tulang tangannya dan lelaki itu terus pengsan. Aku cuma gunakan kuasa aku yang minimum saja dan tidak sampai lagi tahap dia terbunuh.

“Jangan risau. Aku pengsankan dia saja.” Air mata aku serentak itu jatuh berlinangan.

“Widya…” Farina dan Mary peluk aku dengan kuat.

Sarip dan Hafiz saling berpelukan juga.

“Sekarang ni nak buat apa korang?” Aku bertanya.

***

Sekian saja cerita aku. Pada waktu itu aku menegaskan kepada mereka yang aku mahu larikan diri. Aku tahu itu tidak baik. Tapi aku takut dengan ‘darah mahal’ yang aku ada sekarang ini. Aku ada melihat surat khabar di Bandar Metropolitan Mars yang mengatakan bahawa Encik Mirza bersalah kerana lobak itu membuatkan kebanyakan haiwan jadi bahan uji kaji menjadi cacat dan mati. Malah, ramai ahli sains tidak dapat menyeimbangkan semua formula kimia untuk lobak ajaib itu. Ada juga spekulasi samar yang mengatakan bahan itu sangat berbahaya kepada rakyat menyebabkan manusia seperti mempunyai kuasa yang hebat.

Aku tersenyum. Sekarang kerja aku menempa besi. Mata aku ini banyak membawa jimat elektrik dan api. Aku tinggal di kawasan pedalaman yang tiada siapa kenal aku. Kawan-kawan aku? Jangan risau. Mereka selamat. Malah, mereka memberi bukti tentang kejadian yang berlaku antara abah dan Encik Mirza. Mereka memberi rakaman video kepada pihak yang berkenaan sewaktu Encik Mirza menembak abah bertalu-talu. Tapi mujurlah mereka tidak sambung merakam momen seterusnya. Kalau tidak, pasti aku menjadi orang yang dikehendaki oleh pihak polis. Aku juga terharu kawan-kawan aku sanggup rahsiakan tentang kewujudan aku. Semua orang fikir keturunan Encik Saiful sudah mati tetapi tidak sebenarnya.

Menyesal? Aku tak pernah menyesal. Malah aku sanggup untuk telan apa yang aku kena tanggung. Mungkin suatu masa akan datang, aku akan gunakan kuasa pelik ini. Aku percaya kegelapan tetap mengharungi hati lemah manusia. Aku juga percaya cahaya Dia tak pernah sirna di setiap diri manusia. Semua berpeluang tetapi baik buruk itu pilihan mereka.



Abah. Dya makin kenal perangai dunia.

-Tamat-