Pages

|

Saturday, 10 May 2014

BUSUT

Karya: Lynnz Lorenzo

Keheningan suasana di kampung begitu menenangkan. Hidup di kampung ternyata jauh lebih nyaman berbanding hidup di kota. Selepas bersara, Fezrul dan isterinya sepakat mahu menetap di kampung iaitu di rumah usang peninggalan arwah bapa Fezrul. Anak-anak yang masih bersekolah juga terpaksa bertukar sekolah. Pada mulanya mereka merengek-rengek dan memberontak namun setelah dipujuk mereka pun akur. Yang belajar di universiti sahaja yang cool  dan tidak kisah dengan keputusan bapa mereka untuk berpindah ke kampung kerana mereka sedang cuti semester.
Hampir sebulan mereka bergotong-royong membersihkan kawasan rumah. Kawasan rumah yang dulunya semak samun kini sudah semakin bersih sehinggakan anak cucu Fezrul boleh riang ria ketawa berkejar-kejaran di halaman rumah. Fezrul mempunyai seorang isteri yang sungguh rajin. Bukan setakat rajin, malah sangat lasak. Dialah yang menebang pokok pisang, mencantas dahan-dahan pokok, cantas itu, cantas ini, cangkul di situ cangkul di sini. Sehinggalah satu hari....
“Abang, malam-malam tak ada  bau kemenyan ke?” tanya Salmah kepada suaminya.
“Tak ada sayang. Kenapa? Awak ada terbau ke? Bila? Aishh...naik pulak bulu roma saya awak tetiba tanya macam tu,” ujar Fezrul sambil melurutkan bulu romanya yang semakin menegak. Kedua-duanya terdiam sejenak.
Kemudian masing-masing membisu dan cepat-cepat membuka televisyen supaya suasana tidak terlalu sunyi. Anak-anak pun mungkin sudah tidur di bilik kepenatan seharian mengemas kawasan stor.

xxxxx

Usai mandi, Salmah menyisir rambutnya sambil membelakangkan cermin. Fezrul yang hairan melihat keadaan isterinya mula bertanya.
            “Yang, awak kalau saya tengok, tak pernah sikat rambut pandang cermin  sejak balik ke sini. Kenapa ye?” tanya Fezrul sambil mengangkat keningnya.
            “Tak ada apa-apa lah. Saja je”. Ringkas sahaja jawapan Salmah lalu baring di sebelah suaminya dan terus terlelap. Senang betul Salmah terlelap. Desis hati suaminya.

xxxxx

Ustaz membentangkan sejadah sambil dibantu seorang pembantunya. Ustaz menyuruh Salmah duduk berlunjur di atas sejadah dan melapik sehelai lagi sejadah di atas tubuh Salmah  bagi memulakan proses perubatan.
Ustaz lelaki dan Salmah perempuan. Dalam keadaan darurat seperti ini, tidak diharamkan untuk tersentuh antara lelaki dan perempuan. Namun begitu, Ustaz mencuba sedaya upaya untuk tidak membatalkan wuduknya.
Mulut Ustaz terkumat kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Nada bacaan suara Ustaz itu tidak berlagu. Setara sahaja. Semua anak-anak duduk di atas sofa memerhatikan dari jauh.
Dan ketika sedang asyik mendengar alunan ayat ruqyah oleh ustaz tiba-tiba....
            “Arghhhhhh.....apa ni? Sakit la bodoh! Panas! Panas!”
Terlalu banyak lagi perkataan-perkataan yang kasar dan tidak sedap didengar. Namun Fezrul, Ustaz dan pembantunya sedikitpun tidak mengambil hati dengan apa yang terkeluar dari mulut Salmah. Mereka tahu itu bukan Salmah tetapi ‘sesuatu’ yang menguasai tubuh wanita itu.
Salmah semakin kuat meronta-ronta dan meraung kesakitan. Namun Fezrul dan pembantu Ustaz tidak berputus asa untuk memegang Salmah. Kelihatan Ustaz memasukkan sesuatu ke dalam botol kemudian ditutupnya botol tersebut kembali dengan penutup botol.
“Sakit aku la! #$%@#$!”
Salmah semakin hilang kawalan diri. Dia seperti bukan dirinya. Sekejap bertutur dalam bahasa Thai sekejap bercakap dalam loghat Kedah dan macam-macam lagi bahasa yang tidak difahami. Sedangkan Salmah tidak pandai pun bahasa-bahasa itu semua.
Salmah semakin agresif menari-nari mempersendakan Ustaz yang sedang membacakan ayat suci Al-Quran di telinganya. Liang liuk tubuhnya menari sambil duduk.
            “Kau siapa? Dari mana kau datang?” tanya Ustaz.
            “Dia ganggu tempat aku! Tempat aku kat belakang ni je. Siapa suruh dia tebang pokok pisang tu bodoh! Aku nak balas dendam!” Garau suara Salmah. Kelihatan ‘benda’ tu betul-betul marah. Kemudian Salmah terkekek-kekek ketawa geli hati.
Lama juga keadaan itu berlarutan. Kurang ajar betul. Tiba-tiba Ustaz pula yang geram kerana ‘benda’ itu  seolah-olah mempersendakan agama. Ketawa ketika diajak berbicara. Menjelirkan lidah ketika disuruh menyebut  Lailahaillallah. Sudah tentu yang menghuni badan Salmah itu adalah jin kafir.
Sesekali Fezrul mengerling ke arah anak-anaknya. Ada yang kelihatan terkejut, ada yang mulutnya ternganga sehinggakan Fezrul terpaksa memberi isyarat supaya mulutnya ditutup, ada yang terkumat kamit membaca ayat kursi untuk melindungi diri kerana mungkin silap hari bulan ‘benda’ yang berada dalam tubuh ibunya berpindah ke tubuhnya pula.
Dan ada juga yang menghulurkan bantuan untuk membantu memegang ibunya yang semakin agresif. Pada asalnya Salmah memakai tudung namun sekarang entah ke mana tudung tersebut tercampak akibat kepanasan apabila ustaz tidak berhenti-henti membaca ayat ruqyah dan tiga Qul.
            Situasi tersebut berlanjutan selama 2 hingga 3 jam. Sudah pasti Salmah kepenatan. Kasihan Salmah. Salmah masih belum sedarkan diri. Dia juga sudah tidak lagi meronta-ronta. Fezrul menyapu perlahan-lahan air zam-zam di muka Salmah sehingga Salmah sedarkan diri. Semua orang memandang ke arah Salmah. Hanya Allah sahaja tahu betapa malunya dia pada saat itu.
Apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa dia terbaring dan semua orang memandangnya? Kenapa dan Kenapa? Bermacam-macam persoalan yang bermain di mindanya.
Usai Salmah membersihkan diri dan menghidangkan sedikit minum petang untuk Ustaz dan pembantunya, mereka berbual-bual. Ustaz memulakan bualannya.
            “Maaf jika saya bertanya. Puan Salmah ada sentuh busut ke.. ada musnahkan busut tu ke?” tanya Ustaz dengan penuh sopan.
            “Emm...ada kot. Saya pun tak pasti benda tu busut ke tidak. Saya tengok dia macam tanah yang membukit sedikit dan penuh dengan pokok yang menjalar. Saya cuba nak bersihkan jadi saya ada la cangkul sikit-sikit. Dan saya ada jumpa macam kain kuning, putih la dan ada pinggan mangkuk lama,” ujar Salmah.
Tiba-tiba dia rasa cuak.
“Betul ke busut? Ya Allah. Kenapa aku tidak perasan hari itu..” desis hati kecilnya.
            “Tidak mengapa. Nanti kita sama-sama ke belakang dan tengok tempat tersebut. Fezrul, saya rasa baik kamu ke kedai untuk beli 3 paket besar garam kasar dan lada hitam secukupnya untuk saya ‘pagar’ rumah kamu ni,” arah Ustaz dengan nada yang serius. Baginya hal ini bukan main-main.
Selepas mereka ke belakang, Ustaz tersebut mengucap panjang. Busut ini bukan busut biasa. Busut ini pernah menjadi tempat pemujaan dari zaman nenek moyang lagi. Tengok pinggan antik itu sahaja pun sudah tahu. Dan para pemuja bukan sahaja dari Malaysia. Malah dari Thailand, Indonesia dan sebagainya. Jadi tidak hairanlah jika Salmah fasih bertutur dengan bahasa yang kurang difahami ketika proses perubatan tadi.
            “Ustaz, macam mana dengan isteri saya? ‘Benda-benda’ yang ada dalam badan dia itu sudah dikeluarkan ke?” tanya Fezrul dengan nada bimbang.
            “Fezrul, saya hanya boleh berserah pada Allah. Saya hanya boleh ikhtiar untuk mengurangkan sahaja penderitaan yang ditanggung Salmah. Terlalu banyak yang berada di dalam badan Salmah. Saya tidak pasti berapa lagi yang tinggal. Fezrul, kekadang syaitan ni sangat licik. Walaupun ‘benda’ tu cakap dia dah keluar, namun sebenarnya dia belum keluar lagi. Mengikut riwayat Bukhari dan Muslim, sesungguhnya syaitan itu menipu dan bergerak bebas dalam tubuh anak-anak adam melalui saluran darah,” ujar Ustaz panjang lebar sambil membetulkan kopiahnya. Fezrul mengangguk tanda faham.
            “Jangan risau. Esok saya datang lagi untuk merawat isteri kamu. Sekarang jangan pernah tinggalkan solat dan lidah hendaklah sentiasa basah dengan zikir. Insya-Allah segalanya akan pulih seperti sediakala,” pesan Ustaz menyedapkan hati Fezrul yang sudah mula gundah itu.
Fezrul memandang wajah isterinya. Sugul. Tiba-tiba Fezrul teringat yang isterinya tidak boleh memandang cermin kerana rupa-rupanya apabila dia memandang cermin, mukanya menyerupai wajah perempuan tua yang berbongkok tiga. Sangat tua dan menakutkan. Dan yang paling menakutkan matanya bersinar seperti mata harimau. Kasihan sungguh isterinya.
             Sudah menjadi kebiasaan  manusia yang dilahirkan sebagai khalifah dimuka bumi ini, terdedah dengan kedurjanaan Iblis dan syaitan yang menyebabkan mereka digazetkan oleh Allah sebagai ‘musuh yang nyata’ bagi manusia dari zaman Nabi Adam a.s. sehinggalah hari kiamat.