Pages

|

Friday, 21 March 2014

Angkara Siapa?

Karya: Zelkahf


DI SEBUAH RUANGAN yang suram bersuluhkan cahaya jingga mentol yang malap, seorang wanita berambut panjang yang kusut, lusuh bajunya, kuku-kuku di jemari tidak berpotong, pipi cengkung, bebola mata yang kemerahan serta bibirnya yang pucat duduk di atas kerusi sambil jemari kasarnya menari-nari di atas meja. Menunggu seseorang datang.
Beberapa saat selepas itu, bunyi pintu dibuka. Seorang lelaki berambut lurus tersisir rapi, berkumis tipis, berkemeja putih lengkap dengan sut dan tali leher hitam melangkah masuk menuju ke arah wanita itu. Namanya Detektif Amirul. Dia menarik kerusi yang tersedia lalu duduk di hadapan wanita itu.
“Assalamualaikum, Cik Kistina,” ucap Detektif Amirul sambil tersenyum.
Kistina tidak menjawab. Bisu tak bersuara. Jemarinya masih bermain-main di atas meja. Detektif Amirul kemudian meneruskan sahaja dengan persoalannya. Dia faham benar dengan kliennya yang mempunyai masalah mental itu.
“Saya akan mula bertanya kepada Cik Kistina tentang kejadian pada tarikh 11 Disember 2013. Siapa sebenarnya yang bunuh teman lelaki Cik Kistina, Encik Pria dan sahabat karib Cik Kistina, Angela?”
Mendengar soalan itu, jemari-jemarinya berhenti bergerak. Kistina memandang tepat pada wajah Detektif Amirul yang bersahaja itu. Matanya membulat. Bundar.
“Bukan aku!!!” bentaknya dengan suara yang garau. Kedua belah tangan menggenggam penumbuk.

“Habis kalau bukan Cik Kistina, siapa?” Detektif Amirul bertanya lagi.
“Dia... be-belum… mati!!”  jawab Ksitina sambil tangan kirinya menghentak-hentak meja. Detektif Amirul sedikit tersentak dengan tindakan mengejut Kistina, tapi dia kembali tenang selepas itu.
“Siapa yang belum mati?” soal Detektif Amirul lagi. Tidak puas hati. Dia ingin tahu kebenarannya.
Kistina diam. Membisu lagi. Dia mulai tenang semula sambil tersengih-sengih.
“Siapa yang belum mati Cik Kistina?” Detektif Amirul mengulang soalan.
Kistina mendekatkan wajahnya dengan wajah Detektif Amirul. Detektif Amirul sedikit terperanjat lalu membiarkan saja wanita itu melakukan apa yang hendak dilakukan. Nafas wanita itu busuk. Entah berapa lama agaknya dia tidak membersihkan diri. Namun Detektif Amirul tetap bertahan. Jantungnya berdegup kencang. Risau juga kalau terjadi apa-apa padanya.
Mata Kistina liar melirik ke kanan dan ke kiri seraya kepalanya terikut sama lirikan matanya sendiri. Kemudian, dia menggerakkan kepalanya ke arah sisi wajah Detektif Amirul. Bibirnya mula terkumat-kamit membisikkan kata-kata dengan suara yang menakutkan di telinga detektif polis itu. Detektif Amirul menahan nafas. Cuba bersabar dan tidak mudah panik.

“Kelip-kelip di sangka api,
Kalau api mana puntungnya?
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati mana kuburnya?”

“Baiklah saya rasa sampai di sini saja pertanyaan saya,” Detektif Amirul segera menarik wajahnya daripada wajah wanita gila itu. Dia mula rasa takut. Dia ingin cepat beredar dari tempat itu.

Tapi…

“Kau nak pergi mana terburu-buru ni?” Kistina menyengih sambil pergelangan tangan kanan Detektif Amirul digenggam kuat. Tampak gigi kuning tak bergosok itu. Ah, Gelinya!

“Saya nak balik Cik Kistina. Lepaskan saya ya?” pujuk Detektif Amirul sambil tangan kirinya cuba meregangkan genggaman tangan Kistina. Namun tak semena-mena…
           “Jangan harap kau nak lari dari sini!! HAHAHA!!!” Kistina menampar wajah Detektif Amirul sekuat hati. Terjatuh detektif polis itu kesakitan. Kemudian, Kistina terus bertindak melompat ke atas badan Detektif Amirul sambil kedua belah tangannya berterusan mencakar-cakar wajah dan badan Detektif Amirul dengan kukunya tajam.
            “Guard!!! TO-TO-TOLONGGGG!!!!” Detektif Amirul menjerit meminta pertolongan. Tetapi malangnya pengawal yang sepatutnya berada di situ tiada.
            “HAHAHAHA!! MATI KAU!! MATI!!!!!!” Kistina ketawa lagi. Darah mula memercik-mercik ke muka wanita itu. Detektif Amirul meronta-ronta namun tubuh Kistina teramat berat sehingga dia tidak mampu bergerak atau menjatuhkan wanita itu. Apabila dia memandang ke arah Kistina, dia perasan ada sesuatu yang aneh tentang Kistina. Ada sesuatu yang menghinggapi tubuh Kistina. Makhluk yang bertubuh merah gelap, bertaring tajam berkilat memandang tepat ke arah Detektif Amirul sambil menjelirkan lidah.
“Arghh… apa itu? Syaitan kah?” soal Detektif Amirul dalam hatinya.
Namun, belum sempat dia mendapatkan jawapan. Dadanya terhenjut-henjut, nafasnya mulai sesak, ditambah lagi dengan kesakitan luka-luka cakaran Kistina.
            “A-aku t-tahu si-siapa ya-yang bu-bunuh mereka,” Akhirnya jantung detektif itu berhenti mengepam. Dunianya menjadi gelap. Dia mati disitu dalam keadaan ngeri. Kulit muka dan badan terkoyak-koyak kesan dari cakaran Kistina.
            Kistina tersenyum memandang mayat Detektif Amirul. Mulutnya terkumat-kamit membaca kalimah puisi pendek yang sama…

“Kelip-kelip di sangka api,
Kalau api mana puntungnya?
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati mana kuburnya?”