Pages

|

Thursday, 12 December 2013

Jururawat Menyeret

Karya: Fitri Nabihah



Aku memandang syiling. Fikiranku tidak menentu. Aku tidak tahu kenapa. Ketika itu kepala aku sakit. Sakit yang teramat sangat. Aku semangatkan diri aku untuk bangun dan keluar dari bilik. Ah sakitnya kepala aku. Macam ada batu 3 tan atas kepala ni. Sakit. Berat. Aku nampak ibu sedang melipat baju. Lalu aku menghampirinya.

“Bu, kenapa kepala Ina sakit sangat? Rasa berat pun ada.” Aku mengadu.

“Sakit sangat ke? Jom lah kita ke hospital. Nanti melarat pula.” Ajak ibu.

          Ibu yang belum selesai melipat kain lantas berdiri dan menyarungkan tudung dikepalanya. Aku ni pula jenis tak reti pakai tudung. Bukan tak reti, tapi malas. Panas. Lagi-lagi waktu sakit kepala macam ni, memang harapan sahaja aku nak pakai tudung. Acap kali ibu menyuruh juga menasihatiku, tapi tak pernah aku endah. Alah, solat 5 waktu pun aku tak buat. Ini pula nak pakai tudung? Hahaha.

          Semasa di dalam kereta hendak menuju ke hospital, kepala aku rasa macam nak tercabut dari leher. Terasa seperti ada manusia yang menarik-narik kepalaku supaya tercabut. Ibu memandang ke arah ku.

“Kau ni kenapa Na? Pelik je ibu tengok.” Tegur ibu.

          Aku tak jawab sepatah pun. Aku tak tahu nak jawab apa. Kepala aku terlalu sakit. Saat itu, aku tak juga ingat Allah. Allah bukan siapa-siapa bagi aku. Aku tak percaya Allah, sebab aku tak pernah nampak Allah. Selamba hatiku berkata.

***
          Sampai sahaja di depan pagar Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, kepalaku seperti ditarik kebelakang. Sakit memang tak boleh cakap. Rasa macam nak meraung kuat-kuat.

          Sampai di bilik rawatan, aku dibawa masuk ke tempat pemeriksaan. Lama juga aku berada di dalam bilik itu. Hampir 2 jam. Doktor keluar menemui ibu. Raut wajah doktor seperti resah. Ada apa sebenarnya? Kenapa tak beritahu aku dulu? Aku lihat kepala doktor seperti menggeleng-geleng ketika menemui ibu. Lamanya doktor jumpa Ibu. Tak tahu kepala aku sakit ke apa! Atau saja nak buat aku mati kesakitan dalam bilik ni! Hishhh!! Getus hatiku.

          Setelah hampir 30 minit doktor menemui ibu, doktor pun masuk kembali ke dalam bilik di mana kesihatan aku diperiksa. Doktor memandangku seraya berkata.

“Tadi saya sudah berbincang dengan ibu anda supaya membawa anda ke Hospital Umum Cipto Mangunkusumo di Jakarta, kerana hospital disana sahaja yang mampu merawat penyakit anda. Memang ada hospital yang lebih power dari hospital disana, tetapi jauh dan kosnya juga mahal. Hospital Mangunkusumo itu yang paling dekat. Jadi adakah anda bersetuju?” Jelas doktor panjang lebar.

          Hospital Umum Cipto Mangunkusumo? Bukankah itu hospital dimana berlakunya tragedi suster ngesot? Berderau darahku. Peluh mulai menitik. Apa gila aku mahu dihantar ke sana? Memang gila!

“Jadi bagaimana? Adakah anda bersetuju? Kerana ibu anda sudah mempersetujui pemindahan anda ke sana,”tanya doktor.

          Ibu setuju? Bodoh! Aku tak mahu dihantar ke sana.

“Saya bersetuju.”
          Aku menjawab. Pada ketika itu, mulut aku seperti dipaksa untuk berkata. Aku mahu menjawab tidak setuju, tetapi mulut menolaknya. Seperti ada makhluk lain di dalam tubuhku. Tapi siapa? Adakah aku kena rasuk? Ahh tak mungkin.

***

          Aku mengenang kenangan dulu….

“Ibu! Ina dah cakap Ina tak nak pakai tudung! Tak nak lah! Tak faham bahasa ke?” Aku membentak ibu dengan sekuat hati.

“Kau memang buta agama! Buta segala-segalanya!” Ibu melawan.

          Ibu memang begitu orangnya. Tegas. Lantang bila berkata-kata. Tapi aku tak pernah takut. Buat apa nak takut? Dengan Allah pun aku tak takut, ini kan pula dengan Ibu. Tak kuasa aku nak takut dengan dia. Sejak arwah ayah meninggal, aku terus berubah. dulu aku rapat dengan arwah ayah, tapi sejak dia meninggal, aku tak punya teman mengadu. Aku tak pernah mengadu dengan Ibu. Ibu garang.

“Ibu tak pernah faham perasaan Ina! Dulu masa arwah ayah hidup, arwah ayah yang selalu faham perasaan Ina. Ina benci ibu!” Gertakku.

“Mulut kau memang layak ditampar!” Balas Ibu bengis sambil tangannya hinggap dimukaku.

***
  
Sudah hampir 3 bulan aku berada di Hospital Umum Cipto Mangunkusumo ini. Banyak kematian yang berlaku akibat pembunuhan misteri. Mungkin ini balasan untuk aku. Aku harus dihantar ke hospital ini seorang diri. Hospital yang terkenal dengan tragedi suster ngesot.

          Di sebelah katilku, seorang perempuan tua berumur lingkungan 70 tahun. Aku memanggilnya Embah Edok. Embah Edok ini sudah hampir setahun di sini. Tapi penyakitnya tidak juga sembuh. Embah Edok juga berasal dari Jawa Barat.

“Nak, disini memang banyak kejadian ngeri. Kamu ngak usah takut ya. Kebiasaanya misteri di sini mecari mangsa yang sering meninggalkan solat 5 waktu lalu dibunuh.” Jelas Embah Edok.

          Berderau darahku. Aku memang tidak pernah mendirikan solat. Mungkin aku juga akan dibunuh dengannya? Baru sekarang aku teringat akan Allah. Aku ingat segala nasihat Ibu walaupun Ibu jenis cakap main lepas.

          Malam itu, tepat pada pukul 11:30 malam, aku terdengar bunyi dentuman yang kuat. Sangat kuat. Tetapi pelik sungguh, hanya aku yang kelam kabut. Tetapi mereka yang berada di sekitar katilku tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Apa mungkin aku akan dibunuhnya malam ini?

          Ahh perut aku pula buat hal. Sakit. Nak buang air besar. Tapi aku takut. Aku tahan sahaja. Embah Edok tak tidur lagi, aku ingin dia menemani aku. Tapi tak mungkin! Kasihan dia. Sudahlah tua. Kalau ada apa-apa nanti susah.

“Nak, muka kamu kelihatan resah. Kalau bisa embah tahu, ada apa ya?” Embak Edok bertanya.

“Emm tak ada apa-apa bah.” Jawabku sambil menahan sakit perut.
          Perutku susah tidak tahan lagi. Aku beranikan diri menuju ke tandas. Sebelum ni kalau hendak ke tandas, aku pergi bersama pesakit yang duduk sebelah kanan katilku. Dia muda, tidak seperti Embak Edok. Tetapi di sudah pulang ke rumahnya.

***
  
Usai sampai di tandas, aku terus masuk. Suis lampu yang aku hidupkan tadi kejap-kejap mati. Seram aku dibuatnya. Aku juga terdengar suara mengilai-ngilai dari atas syiling. Petir dan kilat sabung-menyabung. DUMM!! Sebahagian syiling jatuh tercabut dan keluar seorang perempuan mIbuai baju jururawat sambil jalan menyeret menuju ke arah aku sambil berkata.

“Aku mahu kamu!”

          Aku berlari laju seperti Usain Bolt menuju ke arah pintu lalu daun pintu aku hempas sekuat-kuatnya. BUMPP!

          Sampai sahaja di katil, aku lantas baring dan menyelimutkan seluruh badanku. Seram sejuk badanku ketika itu. Gila tak seram, suster ngesot ada depan mata wei!

          Embah Edok perasan akan tindakanku. Lalu bertanya.
“Nak, kamu kenapa?”

          Aku diam seribu bahasa. Takut! Aku cuba pejamkan mata. Dunia menjadi aman buat seketika. Tidur.

***
  
Pagi itu aku bangun dengan perasaan takut. Aku tak mahu ke tandas lagi! Hari ini genap 6 bulan aku berada di hospital misteri ini. Banyak tragedi yang sudah aku lalui. Suster ngesot, kuntilanak, gonduruwo. Semua aku pernah nampak.

          Aku menceritakan perkara yang berlaku malam tadi kepada Embah Edok.

“Nak, dulu waktu embah mula-mula menjejak kaki ke sini, ada seorang pasien menceritakan misteri susuter ngesot di sini. Dulu, hospital ini ada seorang suster yang susuk badannya sangat cantik. Mana-mana lelaki yang melihatnya pasti akan tergoda. Suatu malam, suster itu hendak ke ruangan laboratorium, semasa perjalanan, suster itu telah diperkosa oleh doktor yang menjaga pada malam itu. Lalu suster itu dibunuh dan dikuburkan di ruangan laboratorium itu. Setelah beberapa bulan selepas kejadian, masuk pula seorang lagi suster berketurunan Belanda bernama Norah. Suster Norah ini mempunyai ilmu ghaib. Diceritakan juga bahawa suster Norah ini juga telah membunuh semua anak panti asuhan Jompo berdekatan sini. Atas alasan dendam peribadi masa lalu. Seterusnya, orang kampung semua pada tahu niat jahatnya, lalu suster itu dipukuli oleh orang kampung sehingga remuk dan hancur. Jasad suster Norah itu tidak disemadikan. Tapi sampai sekarang, suster ngesot itu tidak diketahui asal usulnya. Cuma yang embah dengar dari mulut warga sini, suster ngesot datang dari Jawa Barat.” Jelas Embah Edok panjang.

           Meremang bulu romaku mendengar penjelasan Embah Edok.

***
         
Malam itu, semua pesakit Hospital Mangunkusumo diarahkan supaya membaca yassin untuk mangsa yang meninggal kelmarin. Tapi aku tak tahu baca yassin. Aku diam sahaja. Tiba-tiba, aku perasan seakan-akan ada seorang wanita berambut panjang, berpakaian uniform jururawat memerhatikan aku dari jarak jauh. Matanya seperti hendak menerkam aku sahaja. Aku mengalihkan pandangan ke arah pintu. Aku dapati wanita itu ada di sebalik pintu yang bercermin. Aku memejamkan mata buat seketika.

          TERKEJUT! Usai aku membuka mata aku dapati wanita itu tepat berada di hadapanku seraya berkata.

“Aku mahu kamu!”
  
Aku menjerit sekuat hati! Jemaah yang ada ketika membaca yassin itu lantas mengarahkan matanya memandang ke arahku. Mereka semua seperti tidak perasan dengan apa yang terjadi padaku. Aku dapati semua mata jemaah berwarna merah darah. Lalu mengesot menuju ke arahku sambil berkata.

“Aku mahu kamu! Ayuh ikut bersamaku. Ayuh.”

           Jemaah itu semakin dekat dan mendekat. Kini mereka mengerumuni aku. Lalu badanku dirobek-robek. Biji mataku dicungkil. Rambutku direbus dijadikan santapan buat mereka. Kakiku dibuat kaki bakar. Tanganku pula disiat-siat hingga menampakkan tulang tangan ku. Sakit!

***

IBU!!!! aku menjerit lalu bangun dari koma. Aku dapati Ibu berada disisiku. Aku peluk tubuh Ibu seraya berkata.

“Ibu, maafkan Ina bu. Ina janji tak akan tinggal solat lagi. Ina janji Ina akan menutup aurat dengan sempurna. Maafkan Ina ibu. Ina sayang ibu!”

          Aku dapati aku berada di hospital Klang. Aku tidak dihantar ke Hospital misteri itu. Itu hanya mainan tidurku ketika aku koma. Syukurlah aku masih selamat.


Mimpi itu ada tiga bahagian iaitu berita atau khabar gembira dari Allah, apa yang berlaku dalam hidup seharian dan mimpi buruk yang menakutkan dari syaitan.
(Riwayat Ahmad)




-TAMAT-