Pages

|

Tuesday, 26 November 2013

Tarbiyyah Cinta

Karya: Hudiya Hudna



"Husna, dah selawat hari nih?" Hudna mendekati adiknya.

Husna tidak mendengar suara kakaknya. Tekun dia membelek buku cerita yang bertajuk 'Nabi Idolaku.' Teruja sungguh dirinya melihat ilustrasi buku yang menarik perhatiannya. 

"Kak Hudna. Kak Hudna sayang Nabi?" Husna mengalihkan pandangan kepada kakaknya. 

Hudna merenung kasih adiknya. Sinar mata seorang anak kecil berusia lima tahun itu penuh cahaya; penuh ikhlas!

"Sayang. Sayang sangat-sangat." Ada getar di hujung ucapannya. 

Dadanya sebak. Hatinya berselawat. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui betapa dia rindukan kekasih Rabbi nya itu. 

"Ya Muhammad Rasulullah. Aizak dil wa'ty halan! Wahasytani jiddan. Wa uhibbuka fillah jiddan. Allah. Allah. Allahumma solli'ala Muhammad. Wa'ala aliy Muhammad." Hudna berselawat dalam hati. Dia memejamkan mata, tanpa sedar, ada airmata yang menitis. Teresak-esak dirinya menahan sendu.

Husna memandangnya dengan penuh persoalan. Dia memegang erat tangan kakaknya. Hudna membengkokkan lututnya dan duduk sama rendah dengan adiknya. Tangan kecil Husna mengusap air mata yang mengalir di pipi kakaknya. Hudna hanya membiarkan.

"Uhibbuki...." Lembut dia menuturkan ucapan cinta. Husna memandangnya dengan penuh perasaan kasih. Tanpa berfikir panjang, dia terus merangkul tubuh kecil adiknya. Husna selesa didakap begitu. Hudna masih menangis. Erat dia memeluk tubuh kecil adiknya.

"Kakak. Ummi dengan abi tunggu kita kat syurga kan?" Soalan si kecil seakan membuat seluruh dunia jeda. Hudna terkesima. Lidahnya kelu. Hatinya berlagu pilu.

Sudah setahun ummi dan walid meninggalkan mereka bertiga. Takdir dan kehendak Tuhan, tiada siapa mampu menghalang. Hudna masih ingat, setahun yang lepas, sewaktu pulang dari percutian, dia dan keluarganya terlibat dalam kemalangan. Ummi dan walid meninggal terus di tempat kejadian. Lori minyak yang laju telah merempuh kereta yang dipandu oleh Abang Dhiyaul dari arah yang bertentangan. Tidak sempat Abang Dhiyaul mengelak, lori tersebut terus merempuh kuat menyebabkan kereta keluarga mereka terbalik! Abang Dhiyaul dan Hudna tercampak keluar. Hanya ummi, walid dan Husna yang berada di dalam kereta. Hudna masih ingat jeritan ummi yang menyuruh dirinya untuk menyelamatkan Husna. Meskipun mengalami kesakitan yang amat, Abang Dhiyaul berlari laju ke arah kereta dan menyelamatkan Husna. Hudna masih ingat tangisan Husna. Belum sempat Abang Dhiyaul menyelamatkan ummi dan abi, kereta milik keluarganya meletup kuat! Terduduk jasad Abang Dhiyaul, terhenti degupan jantung Hudna melihat api yang menjulang tinggi.

"Ummi!!!!!!!! Abi!!!!!!!!!" 

"Kak Hudna." Husna menghentikan lamunan dan jeritan virtual Hudna. 

"Astaghfirullahaladzim." Dia beristighfar. Wajah si kecil dipandangnya dengan penuh cinta. Hudna mengusap-usap pipi adiknya. Dia cuba untuk senyum. Serasa senyumannya begitu palsu. Husna membalas senyumannya. 

"Allah sayangkan kita." Yakin Husna menuturkannya. Dia memandang langit. Hudna terkesima. Dia hanya mendiamkan diri. 

Jauh di suatu sudut, ada tangis yang berlagu. Dia memikirkan kata-kata adiknya. Ada benar kata adiknya. Dia tahu, dia yakin Tuhan tidak kejam! Allah mencintai dirinya! Mencintai keluarganya! 

"Kak Hudna. Husna pun nak jumpa Tuhan. Husna pun nak jumpa Nabi. Husna nak jumpa ummi. Husna nak jumpa abi. Husna rindu. Kakak boleh ajar Husna tak? Ajar Husna macam mana nak bagitau Allah, Nabi, ummi ngan abi yang Husna sangat-sangat cinta. Husna nak ke syurga. Nak jumpa semua." Husna menggoyang-goyangkan tangan kakaknya. Bersungguh-sungguh dirinya.

Hudna mengetap bibir. Dia sedaya upaya menahan tangis, tapi dia tidak berjaya.

"Abang dengan kakak akan ajar Husna macam mana nak nyatakan cinta. Abang janji dengan Husna, abang akan bawak Husna dengan Kak Hudna ke syurga. InsyaAllah." Akhirnya jasad yang dari tadi bersembunyi mampir lantas mendakap erat kedua-dua adiknya.

"Abang Dhiyaul janji dengan adik-adik abang, abang akan ajar adik-adik abang untuk jadi hamba, untuk jadi khalifah. Abang akan cuba sedaya-upaya abang untuk bawak keluarga kita menuju redha-NYA. Biiznillah." Akhirnya airmata lelakinya gugur jua. Hudna membalas dakapan abangnya, erat. Sungguh, dia rindukan abi! 

"Rabbi, ku mohon pertolongan-Mu." Dia bermonolog sendiri.


- TAMAT -




p/s: Kadangkala, manusia itu cepat lupa, siapa dirinya dan siapa DIA sebenarnya. Kadangkala, manusia itu terlalu cepat ‘menghukum’ DIA tanpa tahu sebenarnya ada hikmah di sebalik setiap perkara. Kadangkala, manusia itu lupa, Allah itu adalah segala-galanya. Sudah. Berhenti mempersoalkan takdir-NYA. Wahai orang yang beriman, yakinlah Allah itu sangat mencintai hamba-hamba-NYA dan DIA takkan sanggup melihat kita ‘terjun’ ke neraka-NYA. Pulanglah. Pulang pada DIA.