Pages

|

Monday, 25 November 2013

Oksigen Cinta



Karya: Zelkahf


TERBANTUT niat aku untuk menjemput Juhana pulang dari tempat kerja pada hari itu. Dia telah membuat suatu keputusan yang tidak pernah aku duga akan berlaku. Tidak sangka fikirannya begitu cepat berubah. Aku mahu marah tapi aku tidak mahu menjadikan dia sebagai sasarannya. Aku tahan amarahku dengan melangkah pergi meninggalkannya. Meskipun tidak rela.

Tin minuman yang menghalang perjalanan ku tendang sekuat hati melepas geram yang tertahan. Tak fasal fasal tin kosong itu menjadi mangsa. Orang ramai yang memandang langsung tidak kupeduli. Ah kisah apa aku!

Seusai saja sampai di rumah, aku terus berlari naik ke bilik. Ibu yang sedang menyediakan makanan di ruang makan tidak ku endah. Pintu ditutup kuat. Berdentum menggegar isi rumah.

“Mujahid!!! Kenapa hentak pintu kuat kuat ni ?? Kau nak kasi roboh pintu tu ke ??!”

Teriakan ibu langsung tidakku ambil kisah. Slingbag kelabuku dicampak terus ke atas meja. Lalu merebahkan diri di atas katil. Berbaring. Cuba memejamkan mata. Sekejap tubuhku digolekkan ke kanan, sekejap ke kiri katil.

Bantal yang mengalas kepala ku tarik lalu ku tekupkan ke muka. Namun tetap juga tidak boleh lena dek kerana terlalu memikirkan  Juhana, mantan pacarku. Aku tidak menyangka, Juhana sanggup memutuskan hubungan kami begitu sahaja hanya kerana alasannya yang bagiku langsung tidak masuk akal. Mengarut!

Perasaanku kini bercampur baur. Sedih, kecewa, bengang dan keliru.
Aku teringat kembali perbualan kami berdua di depan bangunan Maybank tadi. Tempat dimana Juhana bekerja sementara demi mengumpul duit untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Muja, saya mahu putuskan hubungan kita. Dah terlalu lama kita bergelumang dengan dosa. Awak tak sedar ke?”Juhana melemparkan soalan yang sangat menyentap hatiku. Meskipun ringkas tetapi boleh merenggut perasaan.

“Hana, apa maksud awak ni? Sejak bila awak pandai cakap tentang dosa semua? Kita bukannya berzina pun,”aku membela diri. Cuba juga untuk mempertahankan hubungan yang sekian lama dibina. Gila apa hendak melepaskan gadis secantik Juhana? Rugi aku nanti!

Couple itu haram, Muja. Saya tak mahu kita menanggung dosa terlalu lama lagi. Cukuplah sampai disini Muja. Saya mahu berubah. Mahu berhijrah.”Juhana cuba menjelaskan niat baiknya. Lembut nada suaranya menutur kata.

Namun aku langsung tidak mengerti dengan tindakan mengejutnya itu.

“Heh, berhijrah? Awak nak jadi apa lepas ni Hana? Nak jadi ustazah? Duduk di masjid sentiasa? Boleh ke?”Aku menyindir Juhana tanpa memikirkan perasaannya.

“Lantak awaklah nak cakap apa. Sekarang ni, baik awak pergi sebelum ayah datang. Kejap lagi dia sampai,”Juhana sudah malas untuk melayan. Dia cuba untuk mengakhiri perbualan. Dia tidak mahu ayahnya bertemu denganku. Bikin kecoh sahaja nanti.

“Tapi, kita kan baru saja berbual? Tidak! Saya tak mahu berganjak! Saya sayangkan awak.”Aku enggan untuk pergi.

“Pergilah Mujahid. Tinggalkan saya sendiri. Saya tak cintakan awak lagi!!”ujar Juhana sedikit kuat. Mungkin tidak tahan dengan sikapku yang suka memaksa.
“…Saya tak cintakan awak lagi…”
Perkataan itu yang sentiasa berulang-ulang di mindaku sekarang ini.

“Ah bodohlah. Jangan jadi lembik sangat sebab perempuan. Ramai lagi perempuan lain yang aku boleh pikat. Setakat Juhana tu, petik jari aku boleh dapat,”getusku sambil menyumbat earphone di telinga. Sulfur dari Slipknot dimainkan.

Pergi mamposlah kau Juhana! Sikit pun aku tak kisah!
Aku melepaskan marahku dengan menyumpah-nyumpah ex-girlfriend aku itu. Puas hati aku.

Aku pejamkan mata. Tak lama kemudian, terlena.
Ah lega!

***

Tak sampai beberapa hari kami clash, aku berjaya pikat seorang wanita yang jauh lebih cantik daripada Juhana. Nama dia Hasmiza. Free hair, bergaya dan seksi. Awh!

Setiap kali keluar bersiar-siar dengannya, aku mula terasa hebat. Rasa diri ini gah dan amat bertuah kerana memiliki seorang teman wanita secantik Hasmiza.

Aku banyak berhabis duit semata-mata untuk melihat Hasmiza bahagia dan tetap setia denganku. Aku belikan dia beg tangan berjenama, pakaian-pakaian yang branded dan belanja dia makan tiap hari. Aku suka melihat dia tersenyum. Cantik. Memang cantik dengan wajahnya dan bentuk tubuh badan yang menarik.

Suatu hari, aku seperti cemburu melihat dia dipandang oleh lelaki-lelaki lain diluar sana. Lalu ku pinta dia untuk tidak terlalu seksi dalam penampilan.

“Sayang, boleh tak sayang jangan seksi sangat. Biy jealous bila lelaki-lelaki lain usha sayang. Tutuplah aurat sikit,”ujarku kepada Hasmiza.

“Amboi, sejak bila Biy dah pandai suruh Ayang tutup aurat ni?”soal Hasmiza hairan.

“Tak adalah, nanti bila kita dah kahwin nanti, takkan nak biar orang lain tengok Ayang macam nak terkam? Mana boleh. Ayang milik Biy,”ujarku. Aku sendiri tidak tahan dengan tahap jiwang aku pada waktu itu. Namun, cinta aku terhadap Hasmiza membutakan mataku dan hatiku seolah buta.

Hasmiza hanya mentertawakan aku.
“Sejak bila entah aku nak kahwin dengan dia. Sorry lah. Ada mamat yang lebih hensem dari kau, Mujahid. Sedar diri sikit! Aku nak hidup mewah je. Sebab tu aku dekat dengan kau sekarang,”bisik Hasmiza dalam hati. Hatinya penuh dengan pengkhianatan.

Namun aku tidak tahu apa yang dirancang sehinggalah suatu hari, aku ternampak dia bersama dengan lelaki lain memasuki sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur.

Aku jenis yang tidak suka menimbulkan kekecohan. Lalu aku biarkan sahaja perempuan pelacur itu bersenggama dengan kekasih gelapnya di hotel murah itu. Aku pulang dengan perasaan marah, benci dan sekali lagi aku kecewa.

Sebenarnya aku tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya aku singgah ke sebuah kelab malam di berada ditengah-tengah Kotaraya Kuala Lumpur. Akibat terlalu tertekan, aku mahu melupakan tekanan yang membebani disitu.

Aku memesan Tiger sebotol. Nak jimat punya pasal. Duit dah kering.
“Bro, Tiger sebotol!”

Malam itu aku pulang dalam keadaan mabuk. Berjalan di sekitar Kuala Lumpur meskipun waktu sudah semakin lewat. Adakalanya aku mencarut-carut, memaki hamun tanpa peduli orang lain yang lalu lalang disitu.

Sewaktu aku berjalan-jalan di hadapan kawasan Masjid Jamek, tiba-tiba muncul satu lembaga hitam berdiri tegak di hadapan aku. Aku terkejut!

“Woi, sial! Kau siapa ah??”soalku dalam nada yang keras. Lembaga hitam itu tidak menjawab dan terus mengeluarkan sebilah sabit besar yang panjang dari jubah hitamnya lalu diangkat dan bersedia untuk dihalakan kepadaku.

Aku mahu lari tapi kakiku seolah melekat di lantai jalan. Aku mula menggigil ketakutan.

“Siapa kau? Kau nak apa dari aku?”soalku cuak.

Lembaga itu tetap membisu dan terus menghayunkan sabitnya kearahku.

“TIDAKKK!!!”Aku menjerit takut. Namun suara aku tidak didengari oleh orang-orang yang lalu di situ. Aku seolah-olah berada di tempat yang lain.

Bilahan sabit mula membelah leherku. Terpisah kepalaku daripada tubuh. Sakit yang kurasakan waktu itu seperti nyawa disentap kuat keluar dari jasad. Kemudian, segalanya menjadi gelap selepas itu. Mati.

Mungkin aku kini terpaksa menghadap Ilahi dalam keadaan hina begitu.

“Ya Allah, apakah aku sudah menemui ajalku? Sedangkan aku berada di dalam keadaan hina sebegini. Aku mati dalam keadaan melakukan maksiat. Ya Allah, tolong berikan aku peluang. Berikan aku peluang untuk hidup satu kali sahaja lagi. Aku menyesal ya Allah!!”teriakku. Merayu. Merintih memohon ampun kepada-Nya.
Namun, keadaan masih sama. Aku seolah buta. Gelap. Tak nampak hala tujuku. Tetapi tubuhku mula dapat merasa bahang panas api neraka. Menggelegak dan menakutkan. Tiba-tiba…

***

“Dik, bangun dik! Dah subuh,”satu suara memanggilku. Menggoncang tubuhku yang tidak bermaya. Aku boleh rasa keringat peluh yang membasahi dahi, ketiak dan celahan pelipat kaki.

Aku cuba membuka mata.
“Ah! Terang. Aku masih hidup lagi!! Syukurlah…”Getusku di dalam hati seraya bersyukur kepada Ilahi.

Terlihat seorang lelaki tua lengkap berjubah putih dan berserban berdiri di sebelahku sambil tersenyum. Tiba-tiba secara spontan aku bertindak memeluk lelaki tua itu.
Aku amat bersyukur ianya hanyalah mimpi semata. Kalaulah aku mati waktu itu…

“Adik kenapa ni? tertidur ya? Mari ikut saya. Ambil wudhu’. Kejap lagi dah nak masuk waktu subuh,”ujar lelaki tua itu sambil meleraikan pelukanku dari tubuhnya. Dia melihatku dengan pandangan yang sedikit pelik. Namun kemudian dia tersenyum.

Aku yang masih berada di dalam keadaan terpinga-pinga hanya mengangguk setuju. “Gila apa nak tinggal solat lagi? Aku tak mahu ke neraka! Allah dah beri aku peluang sekali lagi. Aku takkan siakannya!”hatiku melontar kata-kata azam untuk mula mengubah diri ke arah yang lebih baik.

Aku pun mengambil wudhu’ lalu solat Subuh berjemaah bersama lelaki tua itu dan ramai lagi ahli-ahli jemaah yang lain.

***
Selepas solat, lelaki tua itu menghampiri aku yang sedang duduk termenung melihat ukiran kalimah Allah dan Muhammad di dinding masjid.

“Pak cik tengok adik ni macam ada masalah. Tak mahu cerita pada pak cik?”soalnya sambil mengukir senyuman. Tenang saatku lihat wajahnya. Seolah ada cahaya yang meliputi wajahnya. Mungkin aku boleh mempercayainya dan mungkin dia boleh tolong aku.

“Ya. Saya ada masalah,”jawabku perlahan. Kepalaku tundukkan. Malu.
Lalu ku ceritakan padanya tentang apa yang terjadi pada diri aku dan apa yang aku inginkan selama ini iaitu ketenangan hati dan jiwa.

Usai aku habis bercerita. Dia mula memberi respon.

“Adik, setiap orang pernah melakukan dosa. Cuma yang membezakan seorang manusia itu adalah usahanya untuk meninggalkan dosa yang dilakukan. Juga yang membezakan kita adalah iman dan taqwa kita kepada Allah. Jika kita terlalu mencintai makhluk dan dunia yang sementara ini, kita akan kehilangan segala-galanya. Hidup kita takkan bisa tenang. Dan jika kita mencintai pencipta makhluk, dunia dan juga pencipta cinta itu sendiri, maka bahagialah kita di dunia dan di akhirat dengan izin dan rahmat dari-Nya. Inshaa Allah. Oleh itu dik, kamu dipilih oleh-Nya untuk dikurniakan hidayah. Maka, janganlah sia-siakan nikmat hidayah dan peluang yang Allah beri itu. Cintailah Tuhan yang memberikan kita oksigen untuk bernafas lagi di bumi ini sesudah kita mati sementara sebentar tadi. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dia akan menerima taubat kita selagi kita bersungguh untuk meraih keampunan-Nya.”

Panjang lebar syarahan yang diberikannya kepadaku. Tapi, amat menyedarkan aku. Sangat menyedarkan.

“Terima kasih pak cik!”ucapku tulus dari hati. Menghargai segala nasihat dan dorongan yang diberi oleh lelaki tua itu.

“Sama-sama,”balasnya. Senyuman masih tidak lekang dibibir. Membuatkan hati aku senang dan tenang melihatnya.

“Terima kasih Tuhanku kerana memberikan aku peluang sekali lagi. Tolong bantu aku untuk berubah. Sungguh, aku amat mahu mendekati-Mu,”bisik hatiku mengucap syukur seraya tersenyum sama.

“Mencintai ajnabi kadang menyesakkanku, tapi dengan mencintai Ilahi aku selalu terasa hidup. Dan kini aku hidup lagi. Dengan nafas baru yang dikurniakan Ilahi.”



-      TAMAT     -