Pages

|

Sunday, 17 November 2013

Neraka Dunia

Karya: GadisFantasi


Kira kira pukul dua pagi aku tersedar. Keadaan sunyi sepi. Sesekali, angin dingin menampar pipiku yang datang dari jendela. Api malap menemaniku. Satu suara membisik.
"Tahajjud."

Suara itu lembut, bagai angin yang meniup ditelingaku. Kembali sepi suasana. Hati enggan bertahajjud. Kaki dan tangan bagai dikunci, jasad kembali terbaring. Sukar juga untuk aku melelapkan mata. Angin kembali meniup. Tetapi kali ini angin itu tiba-tiba terasa hangat. Panas.
"Tahajjud."

Aku membiarkan suara itu, mata ku tutup rapat. Kembali membuka. Keadaan berubah. Katil dipenuhi ulat. Bingkas aku bangun. Lantai dilumuri darah. Hampir sahaja aku terjatuh. Aku memegang almari. Nasib baik.

Aku lihat didinding, berkulat. Lampu terkelip kelip. Terbuka dan terpadam. Jantung berdegup kencang. Kilat sambar menyambar. Aku terus cuba untuk keluar dari bilik tetapi gagal. Asalkan aku keluar dari bilik itu, akan temui bilik yang sama. Buntu.


Angin bertiup kencang. Membuatkan rambutku terbang kebelakang. Aku menenangkan diri dengan beristighfar. Kaki semakin sakit untuk berdiri. Hendak duduk, katil dipenuhi ulat. Tiba tiba, rambutku terbakar. Cuba hendak memadamkan api di kepala. Tetapi semakin hendak dipadamkan, semakin marak api menyala dan membakar.

"Alamak! Habislah rambut aku. Baru je rebonding semalam. Arghh... PANAS!!!"
Kepala terasa amat sakit. Perit dan pedih.

"ARGHHHH!!! ya Allah, bantulah aku ! Bantulah aku !"

Aku menjerit-jerit kesakitan, kepanasan sambil menangis. Darah yang membanjiri bilik itu berubah menjadi warna hitam pekat. Ulat-ulat sampah datang mendekatiku. Banyak. Aku cuba melarikan diri. Lagi aku meronta, makin diriku terasa sakit, terbakar dan melecet.

Aku melihat jasadku di rantai oleh rantai yang berapi, berwarna merah dan oren yang datang entah dari mana. Ulat-ulat sampah mula hinggap dan naik ke seluruh tubuhku. Masuk ke hidung, mulut dan alat sulitku. Api dikepala semakin marak. Kulit kepala habis terbakar. Otak menggelegak kepanasan. Jasad terjatuh di atas katil yang dipenuhi ulat yang mengerikan.

"YA RABB!!!! MAAFKAN DOSA-DOSA KU!! TOLONGGG!!!!!!"

Api yang menjulang terus membakar diri. Jasadku tidak berdaya lagi. Terbakar dan hangus dijilat api. Pandangan ku semakin lama semakin kabur. Dan kemudian, gelap gelita. Mati.

****

Aku terbangun dari mimpi yang ngeri itu. Lantas beristighfar. Mata yang berair terus melilau mencari jam. Menunjukkan pukul 3.45 a.m. Bingkas bangun dari katil. Terus menuju ke bilik air. Hatiku yang tadi berdegup kencang bertukar menjadi tenang. Air mata yang merembes ke pipi, ku kesat.

Kemudian, aku bertahajjud kepada-Nya, memohon ampun terhadap segala dosa yang telah aku lakukan di dunia.
Baru aku rasa bagaimana azab neraka.
Ini baru neraka dunia yang Allah simulasikan dalam mimpi. Apa jadi kalau aku benar-benar di dalamnya? Pasti tiada lagi tempat untuk aku melarikan diri.
Aku insaf.




-TAMAT-