Pages

|

Saturday, 21 September 2013

Kopiah Putih

Karya: Zelkahf

 

Aku duduk sendirian di sebuah bangku di tengah taman permainan. Emosiku boleh kata serupa dengan cuaca ketika itu. Langit mendung dan suram. Wajahku muram, penuh kekusutan. Aku tertunduk memandang kosong lantai jalan yang dihiasi dedaunan kering yang berputar ditiup angin. Orang ramai yang lalu lalang, kanak-kanak yang bermain riang, dibiar. Langsung tidak dipeduli.

Sunyi. Itu yang dirasakan. Begitu sepi hati ketika itu. Seolah tidak pernah rasa gembira walau sedikitpun. Fikiran melayang memikirkan dosa-dosa lalu. Hati tidak tenang. Jiwa meronta mencari kebahagiaan yang bagai tidak pernah singgah dalam kehidupan.

Di sampingku ada kopiah putih, hanya direnung tanpa diusik.

“Kopiah ini dulu, aku selalu pakai untuk ke masjid, majlis-majlis ilmu, tahsin Al-Quran dan walau di mana jua berada aku pasti sarungkan kopiah putih ini di kepala. Tapi kini…”bisik hati kecilku.

“Eleh, tak payah nak bajet alim sangatlah Zubir. Hidup ni sekejap je. Jadi, sebelum kita mati baik kita enjoy habis-habis. Nanti dah puas enjoy, kita taubatlah. Bukan susah pun. Tuhan kan Maha Pengampun,”kata-kata Yazid mula bermain di kepala. Menggegar iman di jiwa.

“Hidup ini sementara Zubir. Jangan kau bazirkan demi mengejar keseronokan dunia sehingga kau berduka di akhirat sana. Mati tak mengenal usia. Boleh jadi ia datang pada kau bila-bila masa. Apakah kau sudah bersedia? Apakah nanti amalmu sudah cukup untuk menghadap-Nya?”balas iman yang masih tersisa.

Tangan kanan aku mula merapati kopiah putih itu. Mahu mencapainya namun masih ada bisikan-bisikan ablasa yang tidak pernah lelah menghasut diri.

“Come on Zubir. Tak kan dah nak taubat kot? Relax ah. Apahal kalut sangat? Today is not the end of the world. You have a lot of time to repent,”bisik suara itu.

Aku cuba untuk menyingkirkan bisikan suara yang menganggu fikiran dengan kalimah istighfar dan zikrullah namun semakin bertalu-talu pula suara jahat itu membisik. Menguji keimanan diri.

“Zubir, bayangkan kemewahan di sekeliling kau, dilayan perempuan-perempuan cantik, pasti masalah yang kau hadapi akan hilang nanti. Pergilah berseronok bersama kawan-kawan kau di kelab malam sana. Lupakan masalah yang menduga.”

Tak jadi. Aku termakan dengan hasutan itu. Aku menarik semula tangan kanan ke sisi. Kopiah putih kembali dibiarkan sendiri. Aku termenung lagi.

“Abang, kenapa abang termenung je dari tadi? Ada masalah ke?”ujar suara yang halus dan lembut itu. Aku mendongak.

Seorang budak perempuan dalam lingkungan usia 10 tahun berpakaian sekolah agama dengan tudung labuh berwarna hijau sedang berdiri di hadapanku sambil tersenyum manis.

“Tak ada apalah dik. Hal orang dewasa,”ujarku ringkas. Bagiku kanak-kanak seperti dia tidak akan mengerti apa yang aku rasa.

“Ustazah cakap kalau ada masalah, kita kena mengadu pada Allah. Allah pasti mendengarnya. Cuba abang buka Al-Quran ini dan baca surah al-Ghafir ayat 60. Allah berfirman maksudnya; Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan…”ujar budak perempuan itu seraya menghulurkan sebuah buku tebal berkulit keras warna hijau pekat.

Lambat-lambat aku menyambut huluran budak perempuan comel itu. Sifat takabbur yang masih tersisa di dalam hati cuba untuk menghalang aku daripada menerima Al-Quran yang dihulurkan.

“Ustazah juga cakap, tipu daya syaitan itu lemah. Buktinya ada pada surah apa saya tak ingat, tapi Allah berfirman dalam ayat tu, maksudnya; Sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah. Maknanya abang, kalau ada bisikan syaitan yang menghasut kita, berdoalah pada Tuhan, minta pertolongannya. Sebab kita boleh lawan hasutan itu dengan bantuan Allah. Sebab kitakan khalifah. Kita lagi kuat daripada syaitan,”gadis cilik itu tersenyum lagi.

          Bicara gadis itu membuatkan hatiku tersentuh. Terkesan dan berbekas di hati. Ada benarnya. Aku bukan tidak pernah belajar agama di sekolah dan di kolej dahulu. Aku tahu asas agama. Cuma persekitaran yang ada di sekeliling aku sekarang membuatkan aku berubah. Menjadikan aku lupa pada Tuhan. Segala apa yang aku belajar hanya dibiar berhabuk tak diamalkan.

“Terima kasih adik,”ujarku sambil tangan mengusap kepala gadis itu. Tersenyum.

“Sama-sama. ”balasnya ringkas. Senyuman masih tidak lekang di bibir nipis yang kemerahan itu.

Azan Asar berkumandang, dia meminta diri untuk pulang terlebih dahulu sebelum mengorak langkah meninggalkan aku di situ. Tidak lama kemudian bayangnya hilang di sebalik lorong-lorong rumah teres dua tingkat.

Eh, ini Quran budak tadi. "Adik!”aku baru tersedar al-Quran yang diberi oleh budak perempuan tadi masih kemas ku pegang di tangan kananku. Belum kupulangkan. Aku memanggilnya namun tidak bersahut.

Aku bangun dan berlari mengejar budak perempuan tadi. Cuba mencarinya. Namun hampa. Bayangnya sudah hilang entah ke mana. Akhirnya, aku kembali semula pada bangku taman. Kopiah putih masih disitu. Menanti tuan.

“Gadis kecil tadi banyak menyedarkan aku tentang sesuatu. Ya. Aku perlu kembali. Kembali pada Ilahi.” Aku capai kopiah putih itu lalu ku sarungkannya di kepala.

Aku bangun seraya berkata di dalam hati, “Ini adalah satu permulaan baru bagiku. Ini waktunya untuk aku keluar dari jahiliyyah dan berhijrah menjadi yang lebih baik!”

Ku tegarkan langkahku ke masjid, kuatkan imanku terhadap Allah, luruskan niat dan tetapkan matlamatku semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.

“Kopiah putih ini akan ku sarung selalu. Sebagai simbolik penghijrahan diri kearah yang lebih baik dari dulu. Semoga aku bisa istiqamah dalam perubahan ini. Bantu aku, Ya Ilahi.”


***