Pages

|

Thursday, 22 August 2013

Pulang - Part 1

Karya: Zelkahf


Derap kaki tak berbunyi
Sesunyi hati berbisik sepi
Tangan menadah ke langit tinggi
(sambil berbicara)
Ya Tuhan, aku kembali.


Tirai besi berkarat, dinding copak berkulat, siling gelap berdebu serta lantai simen berbau hamis tampak menjijikkan bagi orang-orang yang tidak pernah tinggal di dalam penjara. Tapi bagi dia, segalanya sudah terbiasa. Persekitaran itulah yang dihadapnya tiap hari. Normal baginya meski bagi orang lain tidak begitu.

Sepuluh tahun dia meringkuk di balik tirai besi diatas kesalahan jenayah siber dan merompak. Tiada seorang pun yang pernah menjenguknya meski ahli keluarga. Mungkin mereka malu untuk mengaku dia saudara. Itu memang lumrah kebanyakan penghuni penjara.  Ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan jiran tetangga seperti membuang mereka. Tidak mempedulikan. Disisih dan dibiar sendirian tanpa sokongan.

“Tiada siapa yang jenguk kau lagi tahun ni?”soal Jen, seorang lelaki yang bersaiz sederhana dan bertubuh tegap sambil menyuap nasi kosong dan sedikit cebisan ikan bawal goreng ke dalam mulutnya.

Dia hanya menggeleng kepala. Susu kotak Dutch Lady berperisa coklat dihirup perlahan. Sambil matanya liar memerhati sekeliling kantin.

Jen atau Jenal ataupun nama sebenarnya Zainal adalah sahabat karibnya di dalam penjara. Jen selalu membantu tatkala beberapa samseng penjara cuba untuk membulinya.

Jen dipenjarakan kerana terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai sekumpulan samseng di Kuala Lumpur. Siapa yang tidak kenal Jen, seorang kapten gangster yang sangat berpengaruh di Bandaraya Kuala Lumpur dan popular dengan tendangan mautnya. Lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu sudah lali dengan kehidupan di penjara. Sudah banyak kali dia keluar masuk ke dalam sangkar bertirai besi berkarat itu. Jadi, dia sangat tahu ragam dan perangai kebanyakan ahli-ahli penjara yang durjana. Entah mengapa Jen memilih untuk menjadi sahabatnya, dia sendiri tidak tahu.

“Kau cari apa Khai?”soal Jen lagi. Lelaki itu hairan melihat dia sedari tadi meliar pandangan ke arah sekeliling kantin seolah-olah mencari sesuatu.

“Aku cari perempuan bertudung labuh yang datang jenguk Habil hari tu. Dia tak datang ke hari ni?”jawab Khai. Matanya masih meliar. Entah apa yang membuat dirinya mencari wanita itu dia sendiri tidak pasti. Ada sesuatu yang menarik hati aku untuk mencarinya.

“Apasal kau cari dia? Sangkut?”Jen tersengih.

“Ish, kau ni. Tak lah. Tapi aku pun tak pasti kenapa aku cari dia. Ada sesuatu yang buat aku tertanya-tanya tentang dia.”

Tiba-tiba lirikan matanya terhenti pada sekujur tubuh kurus dan pendek yang baru mahu duduk di meja yang langkau sebaris dari tempat mereka berdua makan.

          “Itu Habil. Aku nak pergi dekat dia sekejap. Kau tunggu sini.”ujar Khai. Segera dia bangkit dari bangku lalu berjalan ke arah meja tempat Habil duduk.

Jen hanya memerhatikan Khai. Malas hendak masuk campur. Lantak kau lah Khai. Asalkan jangan buat masalah sudah. Bisiknya di dalam hati. Dia sambung makan lagi. Tidak ambil peduli urusan Khai.
“Habil!”sapa Khai sambil tangan kanannya menepuk lembut bahu Habil yang cekeding itu. Khai tersenyum. Mesra.

“Khai? Kau nak apa?”wajah cengkung Habil menoleh ke arah Khai yang kini sedang duduk di sebelahnya. Dia agak terkejut dan curiga. Ada apa lelaki ini datang kepadaku? Tak pernah-pernah pun sebelum ini menegur aku?

“Aku nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah. Apa dia?”

“Siapa yang selalu datang jenguk kau tu? Yang bertudung labuh selalu.”

“Kenapa kau nak tahu?”

“Saja. Boleh bagitahu aku siapa dia Habil? Atau…”pisau lipat di rapatkan ke perut Habil. Semakin lama semakin hampir. Khai tersengih. Mengugut.

“Kau…? Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku?”

“Aku tanya kau elok-elok, baik kau jawab je,”ujar Habil sambil matanya membulat. Sengaja menakut-nakutkan Habil yang memang sudah diketahui ramai yang dia adalah seorang yang penakut dan pasif. Lembik. Mudah dibuli selain diri Khai sendiri. Cumanya, Habil ini tiada kawan. Dia selalu sahaja dibuli orang samseng-samseng penjara tanpa ada yang membantu.

“Baik baik. Okay. Dia adik aku. Kenapa dengan dia? Kau jangan macam-macam. Tolong jangan ada niat tak baik terhadap dia. Dia baik orangnya. Tolonglah. Dia satu-satunya adik aku.”

“Siapa kata aku nak apa-apakan adik kau? Sebelum tu, siapa nama adik kau tu?”hujung mata pisau lipat masih berada berdekatan dengan perut Habil.

Tangannya terketar. Takut.

“Jannah. Nama dia Jannah,”Air matanya mula mengalir membasahi pipi cengkungnya.

“Rilekslah Habil. Aku saja gertak. Aku tak kejam lah. Aku cuma nak kenal je adik kau tu. Mungkin dia boleh tolong aku,”bisik Khai lalu mengeluarkan tisu dari poket seluarnya lalu diberikan kepada Habil. Pisau lipat disimpan kembali di celahan kasut.

Habil mengambil tisu yang dihulur. Lalu mengesat air mata yang meleleh ke pipi.

“Terima kasih di atas informasinya. Nanti kalau ada apa-apa lagi, kita borak lagi ya? Aku harap kau boleh bagi kerjasama.”

Khai tersengih lagi sambil tangan kanan dihulur tanda ingin berjabat.

Habil membalas huluran tangan Khai.

“Kita kawan?”soal Khai. Sekuntum senyuman ikhlas terukir di bibirnya.

Habil hanya mengangguk sambil membalas dengan senyuman kelat. Dia masih takut. Cuak. Nasib baik tidak terkucil.

***
          Jannah. Tak silap aku, Jannah tu maknanya syurga. Bila aku lihat wajah perempuan tu, hati aku jadi sejuk dan tenang. Kenapa ya? Mungkinkah dia …