Pages

|

Monday, 12 August 2013

Rumah



Karya: Syukr

 
Bismillahirrahmanirrahim.


Jari-jemari ligat berlari di atas kekunci. Kadang-kadang berdansa. Satu persatu kunci dipijak dengan penuh kemas. Berseni. Berirama. Terpapar bait-bait kata di atas lembaran Microsoft Word di skrin Asus kelabunya. Terbina sebuah pembuka bicara penuh makna sebagai pendahuluan novel barunya. 


Senyum. Sepertinya penulis jalanan itu berpuas hati dengan hasil yang tak seberapa itu. Tangan kiri dilarikan ke belakang leher buat seketika sedang tangan kanan melarikan kursor ke butang save. Leher diurut perlahan.


Dia mencapai secawan kopi pekat di meja sebelah membawanya ke mulut. Kopi dihirup perlahan dek masih panas. Mata kembali segar selepas menerima kafein.

Itulah rutinnya pada malam hari. Melawan fitrah manusia untuk berehat dengan menjadi burung hantu. 


Sebenarnya rutin ini masih baru iaitu sejak dua bulan lepas. Tepat jam dua belas tengah malam, dia akan tercongok depan komputer ribanya bertemankan secawan kopi panas dan sehelai baju sejuk. 


Dengan hanya dibantu oleh limpahan cahaya daripada skrin Asus, dia sudah menyiapkan sebuah novel setebal 273 muka surat. Ya, dia tidak suka menaip dalam keadaan yang terang sebab kosentrasinya mudah terganggu. Entah kenapa.


Dan malam ini, dia sudah mula menaip novel barunya. Belum bertajuk. 


Jari-jemari kembali bersedia untuk menari. Mata dipejam. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus perlahan. Kepalanya lentok, tertunduk ke bawah. 


Satu per satu kunci ditekan dengan laju. Tidak pernah sekali pun dia memadam apa yang telah ditaip. Tiada jeda dapat dirakam seakan-akan dia memang tahu apa yang dia mahu taip. Seolah-olah idea di dalam mindanya terus mengalir. Deras. Sesekali kepalanya bergerak-gerak.


Selepas 5 minit, kepala yang tadi tertunduk ke bawah diangkat menghadap skrin Asus. Mata dicelikkan. Retina mata menyesuaikan diri dengan kecerahan persekitaran. Lepas seketika, matanya dapat melihat dengan jelas apa yang terpapar di skrin.


Senyum, lagi. Dia sudah tahu memang tak akan ada kesalahan pada susunan kalimahnya. Sebab apa? Sebab dia yang menaip.


Seperti biasa kursor dilarikan mencari butang save.

Kopi dihirup sekali lagi. Cawan diletakkan semula. 


Dia meraup muka seketika lalu diangkat menghadap ke depan. Dia memandang sesuatu. Sesuatu di balik Asusnya. Terdapat seseorang di dalam cermin. Terdapat imej pantulan dirinya. Riak wajahnya kosong. Tidak menggambarkan sebarang perasaan. 


Dan, matanya tertutup rapat.

Si burung jadian itu pula memejamkan mata. Kali ini tubuhnya dibiarkan menjadi santapan mata lembaga di dalam cermin itu. Lembaga bersusuk tubuhnya. Lembaga berwajahnya.


“Amacam?” Suara lembut memecah kesunyian dalam bilik gelap itu. Sayup kedengaran di telinga.


“Ok kan cerita aku? Kau rasa patut tak aku buat budak tu bunuh nenek dia?” Sambung lembaga itu.


Manusia di hadapan cermin masih kaku, setia mendengar setiap bait kata yang dilafazkan. Sesekali dia mengangguk, mengiyakan.


“Aku nak sambung bole..”


“TAK!!” Belum sempat dia menghabiskan pertanyaannya, si lembaga itu langsung memintas. Jeritan kedengaran. 


Dia membuka mata kerana tersentak dengan tegahan lembaga itu yang agak tegas . Terus senyap. Keadaan kembali seperti biasa. 


Heh. Dia mengeluh. Terasa dirinya amat lemah.

Dia menggeliat seadanya, hilangkan penat. Tarik nafas, hembus. 


Tatkala jari mula melangkah, “pap” Dirasakan sentapan yang kuat pada tulang. Dia mengaduh kesakitan. Sakit. Tidak boleh digerakkan. Semacam satu daya yang kuat menarik jari ke atas. Seakan patung boneka yang dikawal pemiliknya, jarinya kaku di situ.


Dahi berkerut. Sakit, bengang, marah, semua ada. Dia ni memang nak kena. Dendam hatinya. 


Duh, telinganya seperti dijentik seseorang. Nampak gaya penghuni dia tahu apa yang tersirat dalam hatinya.  ‘Ha, berani lagi nak lawan aku.’ Sesuatu berbisik ke dalam telinganya.


“Ok, cukup. Silakan.” Dia mengalah. 


Mata kembali dipejam. Lalu, jari-jemari turut bekerja.

Si penghuni kembali mengawal perumahnya. 


‘Aku pejam dalam kau celik, aku celik dalam kau pejam. You’re not gonna see me.’