Pages

|

Monday, 5 August 2013

Chermin - Manusia Goblok


Karya: Zelkahf


Beberapa batang lilin dinyalakan.
Suis lampu ditutup. Sepi. Hanya segenap ruang yang diterangi cahaya lilin-lilin itu.
Kedengaran suara seorang gadis membaca mantera berbahasa Jawa.

Mariah. Mariah. Mariah.
Dayang seng paling ayu.
Ku celok jenengmu
Men teko nang arepku.
Tuthohke nang aku ampuhmu.
Mariah, Mariah.
Kurniakno ayumu nang aku.
Ayukne ra’i ku karo saktimu.

Adrina membaca mantera yang tertulis pada kertas kecil yang dipegangnya sambil memandang sebuah cermin antik besar peninggalan arwah tok wannya.

Adrina seorang gadis-tiada-dara berumur 19 tahun yang sangat suka berhias dan bersolek untuk tampak cantik dan anggun di mata para lelaki. Menarik perhatian mereka, menggoda mereka seterusnya memperdaya mereka dengan ayat-ayat manja dan tipu daya yang licik.

Adrina menggunakan kepetahan dan keramahannya dalam berbicara serta paras rupa yang cantik untuk memikat hati lelaki kemudiannya mengambil kesempatan untuk mengikis duit lelaki tersebut. Tidak kira tua atau muda, sekadar makan bersama ataupun di ranjang, Adrina tidak kisah, asalkan apa yang dia dapat adalah wang dan kemewahan.

Tapi, suatu hari, dia jatuh hati pada seorang lelaki. Namanya Faruk. Kacak orangnya. Tidaklah sekaya mana tapi baik orangnya. Juga seorang yang berpendidikan tinggi. Adrina cuba untuk menggoda Faruk dengan pelbagai cara. Namun segalanya sia-sia.

“Kenapa dia tak layan aku? Kenapa dia tak balas cinta aku? Tak cukup cantik kah aku?”

Adrina membelek-belek wajahnya sendiri di hadapan cermin. Mencari dimana kurangnya pada wajahnya. Tiada. Semuanya sempurna.

“Ah, mungkin saja Faruk tu buta. Tak pandai menilai kecantikan aku. Tak apa. Aku akan buat apa sahaja untuk pastikan kau menjadi milik aku, Faruk ku sayang.”

Adrina ketawa. Nyaring. Namun tanpa dia sedari ada yang memerhatinya dibalik sisi cermin. Dia tersenyum melihat gadis yang masih galak tertawa itu.

“Seng jenengane maknusio kui emang orak reti syukur.”


***

Seusai sahaja kelas bersama Dr. Faiz, Adrina segera mengejar Faruk yang terlebih dahulu keluar dari kelas tersebut.

“Faruk, malam ni saya ada buat birthday party, awak join ya?”

“Malaslah. Saya ada task yang belum siap lagi.”

“Alah, boleh lah Faruk. Only for this time. Please…”

“Saya sebenarnya…”

“Pleaselah Faruk. Takkan birthday party member pun tak sudi datang.”

“Haih… yalah.”

Adrina tersenyum puas. Ada sesuatu yang sudah dirancangnya sejak awal lagi.


***

“Adrina, mana kawan-kawan awak yang lain? Kata parti? Kenapa kita berdua je ada kat sini?”soal Faruk kehairanan.

“Faruk, marilah sini. Mereka semua dalam bilik saya.”ujar Adrina yang sudah pun berada di dalam biliknya.

Perlahan-lahan Faruk melangkah masuk ke dalam bilik Adrina yang tidak jauh dari ruang tamu itu.

Kosong. Tiada siapa. Yang ada hanya katil yang dihiasi bunga-bunga ros merah dan putih. Kelihatan Adrina sedang menghadap cermin antik besar yang tergantung di dinding sambil membelek-belek wajahnya. Dahi Faruk mula berkerut.

“Adrina, awak tipu saya ya?”

“Saya tak tipu awak lah. Saya hanya mahukan awak Faruk. Saya sayang awak.”

Adrina menoleh.

Terbeliak mata Faruk saat melihat wajah Adrina. Faruk mengundurkan langkah. Cuak. Lalu terduduk di atas katil yang terhias dengan bunga-bungaan yang mewangi.

“Ya Allah… Adrina… aa.. awakk ni apa sebenarnya??”menggeletar lutut Faruk saat melihat wajah Adrina yang bercalar balar, berlumuran darah dan punya ulat-ulat sampah yang bergerak keluar dari kelopak matanya. Ngeri.

“Kenapa Faruk? Cantik kan wajah saya? Saya buat ini semua kerana awak Faruk. Hanya kerana awak. Saya cintakan awak,”ujar Adrina sambil merapati Faruk yang berada di atas katil. Dia menolak badan Faruk yang kaku rebah ke katil.

“Adrinaa… tidak!! Jangan!! Arghh…”

Wajah Adrina yang hodoh itu semakin hampir dengan Faruk. Faruk loya lalu memuntahkan cecair hijau dari mulutnya.

“Awak milik saya selamanya Faruk. Selamanya.”

Adrina mengilai. Suaranya nyaring. Serpihan cermin yang datangnya entah dari mana, digenggam rapi oleh tangan kanannya, kemudian di tujukan ke leher Faruk yang menegang.

“Tidak!! Jangannnn!!!!”Faruk teriak sekuat hati. Tapi tiada siapa yang mendengar dan mampu menyelamatkannya ketika itu. Kudrat lelakinya seakan tidak berdaya untuk melawan. Dia lemah. Tak mampu melawan. Lalu dia terpaksa mengalah.

Zasss!!

Darah tersembur keluar.

Gelap.
Hanya hilai tawa Adrina masih lagi kedengaran tidak henti-henti.

Lembaga yang sedari tadi memerhati dibalik sisi cermin hanya tersenyum lebar melihat kegilaan manusia.

“Maknusio goblok.”