Pages

|

Wednesday, 27 November 2013

Ajal

Karya: Kimenta


GEDEBUK. Dia jatuh terhempas ke lantai. “Aduh...”Dia mengaduh sakit sambil menepuk-nepuk seluarnya yang berdebu. Pandangannya dilempar sekilas pada bilik kecil itu. Kemudian, tangan kirinya pula mengurut bahu yang lenguh.

“Nasiblah tulang aku tak  patah tadi.” Walaupun badannya sudah terlalu lemah, Alhamdulillah dia masih bisa bergerak lagi.

Adi mendongak. Heh. Baru dia perasan manusia yang bertubuh tegap itu merenungnya dengan  tajam. Rafael merangkap penguasa wilayah di situ. Manusia yang paling memusuhi Islam. Adi tersenyum sumbing.

"Sekarang aku tanya. Mana Tuhan kau yang kau percaya itu? Mana Dia pergi? Siapa yang nak selamatkan kau kali ini hah?"Aura dingin menguasai penguasa wilayah itu. 

"Allah ada. Sentiasa ada."

“Berani kau cabar aku!!”dengus Rafael. Jawapan Adi membangkitkan kemarahannya.

"Kau fikir dengan bawa aku ke tempat ini dapat melenyapkan agama Islam? Heh.Tak akan pernah." Dia kekal tersenyum. Tetap yakin pada percaya yang telah dipasakkannya.

“Allah tak akan biarkan agama Dia lenyap lah weh,”getusnya lagi di dalam hati.

"Diam kau! Satu hari nanti kau yang akan menyesal ikut Tuhan kau tu!!" Rafael berterusan menengking. Matanya sedikit terbeliak. Kedua belah tangan digenggam sehingga tampak urat-urat timbul pada lengannya yang gedang.

Adi kekal tenang. Mukanya yang tampan tidak berkerut risau walau sedikit.

“Eh? Pedang di atas simen tadi sudah lenyap. Mana...”

 "MATI KAU JAHANAM!!!"Rafael menghayun pedang purba Bimasakti miliknya ke arah Adi.

Tak kena! Adi sempat menggulingkan tubuhnya untuk mengelak daripada terkena mata pedang itu. Adi tidak menunggu lama, dia terus bangkit berdiri. Raut wajahnya seakan tiada apa yang terjadi. Masih tenang.

“Mengapa dia setenang itu? Apa yang membuat dia begitu yakin? Ah! Peduli apa aku. Nyawa budak hingusan ni kena tamatkan hari ini juga,” Pedang Rafael menari di atas angin menuju pada sasaran. 

"Argh," Adi mengerang perlahan. Sakit. Darah laju terpancut keluar daripada pinggangnya. Dia tahu dalam keadaan seperti itu dia tak akan dapat lari.

“Kau fikir semudah itu aku mengalah?Heh,”direnungnya Rafael setajam yang mungkin.

"Kau tak akan dapat buat apa-apa lah. Dengan jasad kau yang lemah tu, masih lagi kau mimpi nak lawan dengan aku? Kot ada senjata tak apalah juga,"Rafael terus ketawa tanpa henti sampai tersenak-senak perutnya.

Adi hanya memandang. “Badan aku je yang lemah. Tapi semangat aku masih lagi hidup dan membara,”bisik Adi dalam hati.

Tanpa membuang waktu, Adi meluru ke arah Rafael yang masih leka tertawa dengan jenakanya sendiri. Adi terus menggunakan sekuat kudrat yang ada dengan menendang perut Rafael.

GEDEBUSH!! Terpelanting jauh Rafael akibat tendangan berkuasa lembu jantan itu.

"Woi sakitlah!"Rafael merungut sakit seraya mengusap-usap perutnya.
Adi pantas bergerak menuju ke arah Rafael dan menghentak perutnya dengan kedua belah sikunya bak penukul yang menghentam logam.

Darah menyembur keluar dari mulut Rafael. Rafael lantas menggerakkan pedangnya.

Zass!!!

Tangan kanannya tercabut dari tubuh lalu tercampak ke sudut bilik. Lantai segera berlumur dengan darah. Sekali pandang macam sungai merah. Adi terduduk melutut. Kesakitan.

“Ya Allah, gagahkan semangat aku. Kurniakan aku kekuatan,”Adi berdoa pada Tuhan agar diberikan sedikit kudrat untuk melawan manusia kejam itu.

Tidak sempat untuk dia berdiri, kini kaki kirinya pula melayang.

ARGH!!!! Adi menjerit sakit. Tersandar dia pada dinding.

Rafael kini melutut di hadapannya. Adi merenungnya tajam. Bibirnya diketap menahan sakit.

"Kenapa kau liat sangat hah budak? Tak cukup ke apa yang aku bagi selama ini nak kasi nyawa kau pergi?"

Adi tersenyum senget.

"Heh. Hidup mati aku, Allah yang tentukan,"Adi tahu jika tanpa Allah, dia tidak akan seteguh ini bertahan. Dia tetap yakin dengan Allah dan agama-Nya, Islam.

"Apasal kau tersengih-sengih? Lawak ke? Badan kau yang ditolak sikit dah boleh mati ni, kau masih percaya Tuhan kau itu lagi?"Rafael tetap dalam posisinya. Menyangka Adi tidak akan mampu menyerangnya lagi.
"Muka aku ni muka penipu ke Rafael? Kalau Allah masih nak aku teruskan hidup, aku tak akan mati lagi,"Pemuda itu bertegas. 

Lututnya bergetar. Rafael terduduk. Penyataan Adi tadi seakan menusuk jantungnya. Pedangnya terlepas daripada genggaman.Tersadai di tepi. Memegang dadanya.

“Kau dah kenapa Rafael,”Adi bingung melihat Rafael yang secara tiba-tiba mengerang kesakitan.

Mata Adi melirik padanya. Memerhati dengan teliti.

“Tampaknya inilah masa yang sesuai untuk aku tamatkan riwayat manusia yang menghina Islam ini,”Tanpa membuang masa, Adi mengerahkan semua tenaga yang tinggal mencapai pedang Bimasakti milik Rafael dengan tangan kirinya. Lalu segera dihunusnya pedang itu tepat ke perut Rafael.

"ARGH!!!"Rafael mengerang kesakitan. Dia rebah. Adi pantas mencantas pedang itu kembali.Tak cukup dengan itu, isi perutnya terburai lalu darah pekat merah memancut-mancut keluar dari perutnya.

Darah tersembur daripada mulut Rafael. Dia tiada kudrat dan upaya lagi untuk bertahan. Nyawanya semakin dihujung tanduk. Mungkin itu helaan nafasnya yang terakhir.

Adi tersengih. "Giliran aku pula yang bertanya. Di mana Tuhan yang kau sanjung?? Kau kan pejuangnya, Tuhan kau yang tiada kuasa itu. Tuhan batu yang tak mampu bergerak itu."

“Ucaplah dua kalimah syahadah Rafael. Kau masih belum terlambat lagi,”ujar Adi lagi. Mempelawa Rafael untuk memeluk Islam.

“Sampai bila pun aku takkan terima Islam!”ucap Rafael dengan penuh rasa angkuh.

Benarlah firman Allah bahawasanya hidayah itu adalah milik-Nya. Adi tidak bisa berbuat apa bagi menyelamatkan lelaki itu.

Rafael memandang Adi dengan hujung mata. Sakitnya tidak bisa tertahan lagi. Nafasnya seakan tidak cukup udara.Tercungap-cungap. Mahu membidas pun sudah tidak mampu. 

Satu detik.
Dua detik.
Tiga detik.

Adi menghela nafas. Jasad Rafael sudah terbujur di hadapannya. Kaku tak bergerak. Rafael sudah tiada. Akhirnya dia mati dengan pedang dan persoalannya sendiri.


"Kalau Allah masih nak aku teruskan hidup, aku tak akan mati lagi. Ajal dan maut itu di'tangan' Allah bukan ditangan makhluk ciptaan-Nya."


Aku Mahu Bahagia!

Karya: Achagembeng



Ainn memegang perutnya. Dah berapa kali dia merasakan seperti ini. Penyakitnya semakin serius. Tapi dia takut untuk buat check up kat mana mana hospital mahupun klinik.

Memang sejak kecil, dia takut dengan hospital. Banyak. Banyak sejarah yang berlaku di bangunan itu;hospital.

Ayahnya telah meninggal dunia saat umurnya 8 tahun gara-gara kecuaian doktor itu sendiri. Saat itu dia masih tidak mengerti apa yang terjadi. Tapi sampai sekarang ibunya masih tidak menerima takdir Allah.

Adik kembarnya, arwah Ainn Nur Nadiah yang telah pergi bertemu Ilahi saat umurnya 16 tahun. Nadiah menghidap penyakit leukimia sejak kecil lagi. Ainn tetap menyalahkan doktor yang merawat adiknya.

Sakitnya. Mana pulak minyak kapak ini? Haih menyusahkan betul.” rungut Ainn kasar.

Tangannya masih meraba meja belajarnya.

Malam semakin melabuhkan tirainya. Ainn masih lagi gagah bersengkang mata untuk penulisannya kali ini. Tapi disebabkan penyakit yang dialami, dia berhenti seketika. Menyusahkan.


***


“Aku benci. Kenapa aku tak mati je? Kenapa aku tak ikut je adik aku saat dia sedang berperang dengan sakitnya? Kenapa Allah tak pernah adil?” bentak Ainn dalam tangisnya.

“Ainn, kau kena ingat. Ni semua ujian buat kau. Allah nak beri kau peringatan yang kau dah terlalu jauh dari Dia. Kembalilah, Ainn. Kembali kepada fitrah.” pujuk Wahee perlahan.


Ainn menangis sambil memegang perutnya



“Ya, kau memang ego Ainn. Moga kau disapa hidayah Dia.” Kata Wahee dalam hati.
Ainn sudah lena dibuai mimpi walaupun sakitnya sering menyerang tidak mengira masa. Ainn dah lali dengan semua tu.

Earphone disangkutkan ke telinganya. Alunan zikir Allahu Ya Rahman diputarkan beberapa kali. Ainn memang suka dengar alunan zikir itu.

Siapa sangka, dari segi pemakaiannya, orang pasti anggap dia kasar orangnya. Jeans, t-shirt lengan panjang, pashmina. Selagi selari dengan syariah, dia pakai sahaja.

Dia melarikan matanya ke air laut. “Tenangnya. Kalaulah hati aku setenang ini. Kalaulah kehidupan aku tenang macam ni. Hmm....” matanya berkaca.

“Nadiah, aku nak ikut kau. Kenapa kau pergi sorang-sorang? Kau memang tak sayang aku kan. Nadiah, aku rindu kau...” pipinya terasa panas. Pertama kali dia menangis di hadapan laut. Tenang katanya.

Bahunya terasa dipegang. Ainn paling ke kanan. Wahee rupanya.

“Ish terkejut aku tau!” Kau ada apa datang sini? Kau kan tengah study.”

“Ala aku ternampak kau kat sini. Tu yang aku datang. Aku tengok kau sorang-sorang. Takkanlah nak biarkan, kan?” sengih Wahee.

“Eh mana Acik? Dia kan dengan kau kan?”

“Dia balik sekejap. Nak mandi.”

Ainn melepaskan keluhannya.

Acik tu beruntung. Keluarga dia orang berada. Mak ayah dia pula orang baik-baik. Semua orang suka. Acik pun berniqab. Indah seperti akhlaknya yang penyabar tu.
Matanya terasa hangat.


Dia segera mengesat. Takut takut Wahee perasan. Wahee memang tak suka kalau aku macam ni. 


“Hahaha,” dia tertawa dalam hati.

“Kau kenapa? Sengih macam kerang busuk! Kalau comel, takpelah.”

“Eleh kau. Aku sengih salah. Senyum salah. Kang aku nangis, lagilah kena basuh dengan kau! Hahaha.”

“Kau perli ye? Kalau sengih mestilah ada sebab. Yelah, bahagia sorang sorang. Aku ni siapa je, kan.”

“Alolo, merajuk dah kawan aku yang comel meletop-kedebabumm ni! Tak comel dah.”  bodek Ainn memujuk.

“Poyo lah kau! Aku tahulah aku comel. Cemburu ye kak? Hahaha.”
Kali ni pecah ketawa mereka. Sehinggakan pakcik cleaner memandang mereka.
Tiba-tiba sepi.
“Wahee, aku dah lama tak gelak macam ni. Terima kasih Wahee.” Ainn mulakan bicaranya.

“Kau kenapa ni? Cuba cerita kat aku. Kitakan kawan.” Ujar Wahee sambil memegang erat tangan Ainn.

Ainn tersenyum dan memandang Wahee.

 “Eh Ainn! Belum apa-apa dah meleleh dulu? Parah ni! Hahaha.”

“Aku nak kebahagiaan. Tu je, Wahee. Berat sangat ke permintaan aku untuk Allah tunaikan?”

“Apa yang kau faham dengan kebahagiaan?”lembut saja Wahee menuturkan.

“Aku boleh senyum bila orang lain senyum. Aku mampu ketawa bila orang lain ketawa. Aku tak menangis setiap malam. Aku letih, Wahee.”

“Kebahagiaan itu sebenarnya ada je depan kita tapi belum sampai masanya untuk datang pada kita. Allah uji kita. Allah suruh kita bersabar. Kau lupa ye? Allah kan dah ingatkan kita supaya bersabar dan solat.”

“Untuk apa aku solat kalau setiap masalah aku tu tak pernah selesai?!” emosinya tidak stabil hinggakan tak sedar apa yang terkeluar dari mulutnya.
Wahee terkesima.

“Dah lah, jom masuk library. Kesian Zati tunggu kita.”  Ainn cuba menukar topik.
Wahee mengangguk.


***


Kali ni,  Wahee yang berikan mukadimah dulu dalam perjumpaan ini.

Memang setiap minggu, mereka akan adakan perjumpaan untuk mantapkan lagi iman dengan beberapa idea yang perlu ditambah dan dicadangkan.

Entahlah, mereka rasa benda ni perlu. Manalah tahu, kot ada yang tak puas hati ke.

“Bissmillahirahman nirrahim. Assalamualaikum bidadari bidadari Syurga semua? Sihat? Apa khabar iman? Diharap semuanya dalam keadaan yang baik saja. Hm, Wahee dengar ada diantara kalian yang putus asa dengan ujian Allah? Hmm, macam ni lah.. korang tahu tak ujian tu untuk apa? Mestilah ada sebab, kan? Macam awak yang tengah pandang Wahee sambil tersengih tu haa. Mestilah ada sebabkan awak pandang macam tu. Contohnya Wahee pakai baju terbalik ke, bulu hidung terkeluar ke. Boleh jadi kan?”

Ketawa pecah. Ada yang mengangguk. Ada yang sekadar senyum.

Wahee menyambung lagi.
 “Cuba kita ambil ibrah dalam kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa dalam surah Al-Kahf”

Kawan-kawan yang lain lincah membuka al-Quran terjemahan mereka. Ainn termenung. Wahee menepuk bahunya perlahan. “Kau nak pinjam al-Quran aku? Hehe.” tawar Wahee.

“Boleh juga.” sambut Ainn sambil menghadiahkan segaris senyuman.

“Okay, jom kita sambung... Bermula daripada ayat 60 ini, Nabi Musa ingin mencari ilmu bersama anak muridnya iaitu Yusha bin Nun. Sampailah Nabi Musa terjumpa Nabi Khidir. Nabi Musa ni pun nak minta izin Nabi Khidir untuk join sekali perjalanan mencari ilmunya.”

“Tapi Nabi Khidir dah mengingatkan Nabi Musa pada ayat 67 “Dan dia menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu akan dapat sabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang sesuatu hal itu?” Nabi Musa agak terkejut juga dengan jawapan Nabi Khidir.”

Wahee memerhatikan semua kawan-kawannya. Khusyuk benar mereka. Kecuali Ainn. Dia nampak mata Ainn dah merah. Menangis barangkali.

“Nanti kalian bacalah cerita ini sendiri. Masa sangat mencemburui kita. Wahee hanya boleh ringkaskan saja.”

“Segala perbuatan yang Nabi Khidir buat, Nabi Musa akan terkejut dan menanyakan kepada Nabi Khidir. Walhal Nabi Musa telah pun berjanji yang baginda takkan tanyakan apa pun. Daripada peristiwa Nabi Khidir membocorkan perahu, Nabi Khidir membunuh seorang anak dan Nabi Khidir membetulkan dinding rumah, Nabi Musa akan bertanya apa tujuan Nabi Khidir lakukan semua itu.”

Mereka mengangguk sambil tersenyum.

“Rupanya Nabi Khidir ni seperti diprogramkan oleh Allah atas beberapa tujuan yang tersembunyi. Hakikatnya segala tindakan Nabi Khidir itu mempunyai hikmahnya.”

Wahee berhenti seketika untuk mengambil nafas. Fuh tak cukup nafas dibuatnya.

“Macam kita lah, kita cuba letakkan diri kita dalam posisi Nabi Musa. Berbagai-bagai tindakan Nabi Khidir buat tapi baginda tak bagi Nabi Musa tanyakan apa-apa. Nabi Khidir hanya suruhnya bersabar. Ya, bersabar. Tapi Nabi Musa tak mampu.”

Ainn mengangkat kepala dan memandang Wahee. Dia senyum.

“Kita ni diuji. Kita selalu tanya atau senang cerita, merungut kan? Kenapa kita diuji. Kenapa bukan orang lain? Selalu sangat kan? Dah tak payah geleng kepala sangat lah kan. Haha,” usik Wahee.

“Sifat orang bertakwa bukan macam tu. Orang bertakwa ni sentiasa sabar dalam bersabar. Eh? Hahaha. Tapi kita? Dah cukup bagus Allah uji. Dibuatnya Allah tak uji kita dengan kesusahan atau kesempitan? Mahu makin jauh kita dari Allah. Daripada kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa, korang faham apa?” tanya Wahee lembut.

“Mungkin Allah nak kita bersabar dan tak merungut bila diuji!” jawab Fana.

“Allah tak suka bila hamba-Nya asyik tanya macam tu. Ala alaa, kalau kita diuji tu kan Allah tak suka kita tanya atau merungut. Macamlah dia sorang kena ujian dari Allah.” jawab Nina yang terkenal dengan sikapnya yang kalut itu.

Ketawa pecah.

“Ya! Tepat jawapan kalian. Jadi sekarang,  bersabarlah dengan ujian Allah. Ujian kita ni takat celah tahi gigi je. Tak macam ujian Rasulullah. Tak terbayang buat kita. Siapa nak Syurga?”

“Sayaaa!” bergema Surau Darul Athiah kesan daripada teriakan mereka.

Wahee hanya mampu sengih.

“Jadi kita kenalah sabar dengan ujian yang mendatang. Syurga kan mahal.”


***


Ainn termenung.  Terngiang-ngiang dengan kata-kata Wahee petang tadi.
Dia memandang meja belajarnya.

“Alamak, itu kan al-Quran Wahee! Aku lupa nak pulangkan. Ish!”

Ainn segera menelefon Wahee untuk meminta maaf akan kealpaannya. Wahee tak kisah malah menyuruhnya membacanya dahulu.

Ainn memegang al-Quran itu lalu membukanya. Tenang.

Dia jarang merasakan perasaan ini. Air matanya mengalir. Entah mengapa, sejak akhir ini air matanya mudah saja mengalir.

“Dasar gembeng!” ejek Ainn dalam hati.

Tangannya terhenti menyelak. Surah Al-Ankabut.
“Apakah manusia mengira bahawa meraka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: Kami beriman,” sedangkan mereka tidak diuji?” ayat 2, Surah Al-Ankabut.

“Fuh makan dalam.” komen Ainn.

Dia meneruskan bacaan terjemahannya hinggalah habis.
Tangannya mengesat air mata yang entah berapa kali telah jatuh.

“Ya Allah, lemahnya aku.... Bantulah aku...”

Perutnya tiba-tiba pedih. Dia panik. Terlalu sakit hingga membuatkan jalannya terhuyung-hayang.
Pitam.



-      TAMAT  `-

Tuesday, 26 November 2013

Tarbiyyah Cinta

Karya: Hudiya Hudna



"Husna, dah selawat hari nih?" Hudna mendekati adiknya.

Husna tidak mendengar suara kakaknya. Tekun dia membelek buku cerita yang bertajuk 'Nabi Idolaku.' Teruja sungguh dirinya melihat ilustrasi buku yang menarik perhatiannya. 

"Kak Hudna. Kak Hudna sayang Nabi?" Husna mengalihkan pandangan kepada kakaknya. 

Hudna merenung kasih adiknya. Sinar mata seorang anak kecil berusia lima tahun itu penuh cahaya; penuh ikhlas!

"Sayang. Sayang sangat-sangat." Ada getar di hujung ucapannya. 

Dadanya sebak. Hatinya berselawat. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui betapa dia rindukan kekasih Rabbi nya itu. 

"Ya Muhammad Rasulullah. Aizak dil wa'ty halan! Wahasytani jiddan. Wa uhibbuka fillah jiddan. Allah. Allah. Allahumma solli'ala Muhammad. Wa'ala aliy Muhammad." Hudna berselawat dalam hati. Dia memejamkan mata, tanpa sedar, ada airmata yang menitis. Teresak-esak dirinya menahan sendu.

Husna memandangnya dengan penuh persoalan. Dia memegang erat tangan kakaknya. Hudna membengkokkan lututnya dan duduk sama rendah dengan adiknya. Tangan kecil Husna mengusap air mata yang mengalir di pipi kakaknya. Hudna hanya membiarkan.

"Uhibbuki...." Lembut dia menuturkan ucapan cinta. Husna memandangnya dengan penuh perasaan kasih. Tanpa berfikir panjang, dia terus merangkul tubuh kecil adiknya. Husna selesa didakap begitu. Hudna masih menangis. Erat dia memeluk tubuh kecil adiknya.

"Kakak. Ummi dengan abi tunggu kita kat syurga kan?" Soalan si kecil seakan membuat seluruh dunia jeda. Hudna terkesima. Lidahnya kelu. Hatinya berlagu pilu.

Sudah setahun ummi dan walid meninggalkan mereka bertiga. Takdir dan kehendak Tuhan, tiada siapa mampu menghalang. Hudna masih ingat, setahun yang lepas, sewaktu pulang dari percutian, dia dan keluarganya terlibat dalam kemalangan. Ummi dan walid meninggal terus di tempat kejadian. Lori minyak yang laju telah merempuh kereta yang dipandu oleh Abang Dhiyaul dari arah yang bertentangan. Tidak sempat Abang Dhiyaul mengelak, lori tersebut terus merempuh kuat menyebabkan kereta keluarga mereka terbalik! Abang Dhiyaul dan Hudna tercampak keluar. Hanya ummi, walid dan Husna yang berada di dalam kereta. Hudna masih ingat jeritan ummi yang menyuruh dirinya untuk menyelamatkan Husna. Meskipun mengalami kesakitan yang amat, Abang Dhiyaul berlari laju ke arah kereta dan menyelamatkan Husna. Hudna masih ingat tangisan Husna. Belum sempat Abang Dhiyaul menyelamatkan ummi dan abi, kereta milik keluarganya meletup kuat! Terduduk jasad Abang Dhiyaul, terhenti degupan jantung Hudna melihat api yang menjulang tinggi.

"Ummi!!!!!!!! Abi!!!!!!!!!" 

"Kak Hudna." Husna menghentikan lamunan dan jeritan virtual Hudna. 

"Astaghfirullahaladzim." Dia beristighfar. Wajah si kecil dipandangnya dengan penuh cinta. Hudna mengusap-usap pipi adiknya. Dia cuba untuk senyum. Serasa senyumannya begitu palsu. Husna membalas senyumannya. 

"Allah sayangkan kita." Yakin Husna menuturkannya. Dia memandang langit. Hudna terkesima. Dia hanya mendiamkan diri. 

Jauh di suatu sudut, ada tangis yang berlagu. Dia memikirkan kata-kata adiknya. Ada benar kata adiknya. Dia tahu, dia yakin Tuhan tidak kejam! Allah mencintai dirinya! Mencintai keluarganya! 

"Kak Hudna. Husna pun nak jumpa Tuhan. Husna pun nak jumpa Nabi. Husna nak jumpa ummi. Husna nak jumpa abi. Husna rindu. Kakak boleh ajar Husna tak? Ajar Husna macam mana nak bagitau Allah, Nabi, ummi ngan abi yang Husna sangat-sangat cinta. Husna nak ke syurga. Nak jumpa semua." Husna menggoyang-goyangkan tangan kakaknya. Bersungguh-sungguh dirinya.

Hudna mengetap bibir. Dia sedaya upaya menahan tangis, tapi dia tidak berjaya.

"Abang dengan kakak akan ajar Husna macam mana nak nyatakan cinta. Abang janji dengan Husna, abang akan bawak Husna dengan Kak Hudna ke syurga. InsyaAllah." Akhirnya jasad yang dari tadi bersembunyi mampir lantas mendakap erat kedua-dua adiknya.

"Abang Dhiyaul janji dengan adik-adik abang, abang akan ajar adik-adik abang untuk jadi hamba, untuk jadi khalifah. Abang akan cuba sedaya-upaya abang untuk bawak keluarga kita menuju redha-NYA. Biiznillah." Akhirnya airmata lelakinya gugur jua. Hudna membalas dakapan abangnya, erat. Sungguh, dia rindukan abi! 

"Rabbi, ku mohon pertolongan-Mu." Dia bermonolog sendiri.


- TAMAT -




p/s: Kadangkala, manusia itu cepat lupa, siapa dirinya dan siapa DIA sebenarnya. Kadangkala, manusia itu terlalu cepat ‘menghukum’ DIA tanpa tahu sebenarnya ada hikmah di sebalik setiap perkara. Kadangkala, manusia itu lupa, Allah itu adalah segala-galanya. Sudah. Berhenti mempersoalkan takdir-NYA. Wahai orang yang beriman, yakinlah Allah itu sangat mencintai hamba-hamba-NYA dan DIA takkan sanggup melihat kita ‘terjun’ ke neraka-NYA. Pulanglah. Pulang pada DIA. 


Monday, 25 November 2013

Oksigen Cinta



Karya: Zelkahf


TERBANTUT niat aku untuk menjemput Juhana pulang dari tempat kerja pada hari itu. Dia telah membuat suatu keputusan yang tidak pernah aku duga akan berlaku. Tidak sangka fikirannya begitu cepat berubah. Aku mahu marah tapi aku tidak mahu menjadikan dia sebagai sasarannya. Aku tahan amarahku dengan melangkah pergi meninggalkannya. Meskipun tidak rela.

Tin minuman yang menghalang perjalanan ku tendang sekuat hati melepas geram yang tertahan. Tak fasal fasal tin kosong itu menjadi mangsa. Orang ramai yang memandang langsung tidak kupeduli. Ah kisah apa aku!

Seusai saja sampai di rumah, aku terus berlari naik ke bilik. Ibu yang sedang menyediakan makanan di ruang makan tidak ku endah. Pintu ditutup kuat. Berdentum menggegar isi rumah.

“Mujahid!!! Kenapa hentak pintu kuat kuat ni ?? Kau nak kasi roboh pintu tu ke ??!”

Teriakan ibu langsung tidakku ambil kisah. Slingbag kelabuku dicampak terus ke atas meja. Lalu merebahkan diri di atas katil. Berbaring. Cuba memejamkan mata. Sekejap tubuhku digolekkan ke kanan, sekejap ke kiri katil.

Bantal yang mengalas kepala ku tarik lalu ku tekupkan ke muka. Namun tetap juga tidak boleh lena dek kerana terlalu memikirkan  Juhana, mantan pacarku. Aku tidak menyangka, Juhana sanggup memutuskan hubungan kami begitu sahaja hanya kerana alasannya yang bagiku langsung tidak masuk akal. Mengarut!

Perasaanku kini bercampur baur. Sedih, kecewa, bengang dan keliru.
Aku teringat kembali perbualan kami berdua di depan bangunan Maybank tadi. Tempat dimana Juhana bekerja sementara demi mengumpul duit untuk menyambung pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Muja, saya mahu putuskan hubungan kita. Dah terlalu lama kita bergelumang dengan dosa. Awak tak sedar ke?”Juhana melemparkan soalan yang sangat menyentap hatiku. Meskipun ringkas tetapi boleh merenggut perasaan.

“Hana, apa maksud awak ni? Sejak bila awak pandai cakap tentang dosa semua? Kita bukannya berzina pun,”aku membela diri. Cuba juga untuk mempertahankan hubungan yang sekian lama dibina. Gila apa hendak melepaskan gadis secantik Juhana? Rugi aku nanti!

Couple itu haram, Muja. Saya tak mahu kita menanggung dosa terlalu lama lagi. Cukuplah sampai disini Muja. Saya mahu berubah. Mahu berhijrah.”Juhana cuba menjelaskan niat baiknya. Lembut nada suaranya menutur kata.

Namun aku langsung tidak mengerti dengan tindakan mengejutnya itu.

“Heh, berhijrah? Awak nak jadi apa lepas ni Hana? Nak jadi ustazah? Duduk di masjid sentiasa? Boleh ke?”Aku menyindir Juhana tanpa memikirkan perasaannya.

“Lantak awaklah nak cakap apa. Sekarang ni, baik awak pergi sebelum ayah datang. Kejap lagi dia sampai,”Juhana sudah malas untuk melayan. Dia cuba untuk mengakhiri perbualan. Dia tidak mahu ayahnya bertemu denganku. Bikin kecoh sahaja nanti.

“Tapi, kita kan baru saja berbual? Tidak! Saya tak mahu berganjak! Saya sayangkan awak.”Aku enggan untuk pergi.

“Pergilah Mujahid. Tinggalkan saya sendiri. Saya tak cintakan awak lagi!!”ujar Juhana sedikit kuat. Mungkin tidak tahan dengan sikapku yang suka memaksa.
“…Saya tak cintakan awak lagi…”
Perkataan itu yang sentiasa berulang-ulang di mindaku sekarang ini.

“Ah bodohlah. Jangan jadi lembik sangat sebab perempuan. Ramai lagi perempuan lain yang aku boleh pikat. Setakat Juhana tu, petik jari aku boleh dapat,”getusku sambil menyumbat earphone di telinga. Sulfur dari Slipknot dimainkan.

Pergi mamposlah kau Juhana! Sikit pun aku tak kisah!
Aku melepaskan marahku dengan menyumpah-nyumpah ex-girlfriend aku itu. Puas hati aku.

Aku pejamkan mata. Tak lama kemudian, terlena.
Ah lega!

***

Tak sampai beberapa hari kami clash, aku berjaya pikat seorang wanita yang jauh lebih cantik daripada Juhana. Nama dia Hasmiza. Free hair, bergaya dan seksi. Awh!

Setiap kali keluar bersiar-siar dengannya, aku mula terasa hebat. Rasa diri ini gah dan amat bertuah kerana memiliki seorang teman wanita secantik Hasmiza.

Aku banyak berhabis duit semata-mata untuk melihat Hasmiza bahagia dan tetap setia denganku. Aku belikan dia beg tangan berjenama, pakaian-pakaian yang branded dan belanja dia makan tiap hari. Aku suka melihat dia tersenyum. Cantik. Memang cantik dengan wajahnya dan bentuk tubuh badan yang menarik.

Suatu hari, aku seperti cemburu melihat dia dipandang oleh lelaki-lelaki lain diluar sana. Lalu ku pinta dia untuk tidak terlalu seksi dalam penampilan.

“Sayang, boleh tak sayang jangan seksi sangat. Biy jealous bila lelaki-lelaki lain usha sayang. Tutuplah aurat sikit,”ujarku kepada Hasmiza.

“Amboi, sejak bila Biy dah pandai suruh Ayang tutup aurat ni?”soal Hasmiza hairan.

“Tak adalah, nanti bila kita dah kahwin nanti, takkan nak biar orang lain tengok Ayang macam nak terkam? Mana boleh. Ayang milik Biy,”ujarku. Aku sendiri tidak tahan dengan tahap jiwang aku pada waktu itu. Namun, cinta aku terhadap Hasmiza membutakan mataku dan hatiku seolah buta.

Hasmiza hanya mentertawakan aku.
“Sejak bila entah aku nak kahwin dengan dia. Sorry lah. Ada mamat yang lebih hensem dari kau, Mujahid. Sedar diri sikit! Aku nak hidup mewah je. Sebab tu aku dekat dengan kau sekarang,”bisik Hasmiza dalam hati. Hatinya penuh dengan pengkhianatan.

Namun aku tidak tahu apa yang dirancang sehinggalah suatu hari, aku ternampak dia bersama dengan lelaki lain memasuki sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur.

Aku jenis yang tidak suka menimbulkan kekecohan. Lalu aku biarkan sahaja perempuan pelacur itu bersenggama dengan kekasih gelapnya di hotel murah itu. Aku pulang dengan perasaan marah, benci dan sekali lagi aku kecewa.

Sebenarnya aku tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya aku singgah ke sebuah kelab malam di berada ditengah-tengah Kotaraya Kuala Lumpur. Akibat terlalu tertekan, aku mahu melupakan tekanan yang membebani disitu.

Aku memesan Tiger sebotol. Nak jimat punya pasal. Duit dah kering.
“Bro, Tiger sebotol!”

Malam itu aku pulang dalam keadaan mabuk. Berjalan di sekitar Kuala Lumpur meskipun waktu sudah semakin lewat. Adakalanya aku mencarut-carut, memaki hamun tanpa peduli orang lain yang lalu lalang disitu.

Sewaktu aku berjalan-jalan di hadapan kawasan Masjid Jamek, tiba-tiba muncul satu lembaga hitam berdiri tegak di hadapan aku. Aku terkejut!

“Woi, sial! Kau siapa ah??”soalku dalam nada yang keras. Lembaga hitam itu tidak menjawab dan terus mengeluarkan sebilah sabit besar yang panjang dari jubah hitamnya lalu diangkat dan bersedia untuk dihalakan kepadaku.

Aku mahu lari tapi kakiku seolah melekat di lantai jalan. Aku mula menggigil ketakutan.

“Siapa kau? Kau nak apa dari aku?”soalku cuak.

Lembaga itu tetap membisu dan terus menghayunkan sabitnya kearahku.

“TIDAKKK!!!”Aku menjerit takut. Namun suara aku tidak didengari oleh orang-orang yang lalu di situ. Aku seolah-olah berada di tempat yang lain.

Bilahan sabit mula membelah leherku. Terpisah kepalaku daripada tubuh. Sakit yang kurasakan waktu itu seperti nyawa disentap kuat keluar dari jasad. Kemudian, segalanya menjadi gelap selepas itu. Mati.

Mungkin aku kini terpaksa menghadap Ilahi dalam keadaan hina begitu.

“Ya Allah, apakah aku sudah menemui ajalku? Sedangkan aku berada di dalam keadaan hina sebegini. Aku mati dalam keadaan melakukan maksiat. Ya Allah, tolong berikan aku peluang. Berikan aku peluang untuk hidup satu kali sahaja lagi. Aku menyesal ya Allah!!”teriakku. Merayu. Merintih memohon ampun kepada-Nya.
Namun, keadaan masih sama. Aku seolah buta. Gelap. Tak nampak hala tujuku. Tetapi tubuhku mula dapat merasa bahang panas api neraka. Menggelegak dan menakutkan. Tiba-tiba…

***

“Dik, bangun dik! Dah subuh,”satu suara memanggilku. Menggoncang tubuhku yang tidak bermaya. Aku boleh rasa keringat peluh yang membasahi dahi, ketiak dan celahan pelipat kaki.

Aku cuba membuka mata.
“Ah! Terang. Aku masih hidup lagi!! Syukurlah…”Getusku di dalam hati seraya bersyukur kepada Ilahi.

Terlihat seorang lelaki tua lengkap berjubah putih dan berserban berdiri di sebelahku sambil tersenyum. Tiba-tiba secara spontan aku bertindak memeluk lelaki tua itu.
Aku amat bersyukur ianya hanyalah mimpi semata. Kalaulah aku mati waktu itu…

“Adik kenapa ni? tertidur ya? Mari ikut saya. Ambil wudhu’. Kejap lagi dah nak masuk waktu subuh,”ujar lelaki tua itu sambil meleraikan pelukanku dari tubuhnya. Dia melihatku dengan pandangan yang sedikit pelik. Namun kemudian dia tersenyum.

Aku yang masih berada di dalam keadaan terpinga-pinga hanya mengangguk setuju. “Gila apa nak tinggal solat lagi? Aku tak mahu ke neraka! Allah dah beri aku peluang sekali lagi. Aku takkan siakannya!”hatiku melontar kata-kata azam untuk mula mengubah diri ke arah yang lebih baik.

Aku pun mengambil wudhu’ lalu solat Subuh berjemaah bersama lelaki tua itu dan ramai lagi ahli-ahli jemaah yang lain.

***
Selepas solat, lelaki tua itu menghampiri aku yang sedang duduk termenung melihat ukiran kalimah Allah dan Muhammad di dinding masjid.

“Pak cik tengok adik ni macam ada masalah. Tak mahu cerita pada pak cik?”soalnya sambil mengukir senyuman. Tenang saatku lihat wajahnya. Seolah ada cahaya yang meliputi wajahnya. Mungkin aku boleh mempercayainya dan mungkin dia boleh tolong aku.

“Ya. Saya ada masalah,”jawabku perlahan. Kepalaku tundukkan. Malu.
Lalu ku ceritakan padanya tentang apa yang terjadi pada diri aku dan apa yang aku inginkan selama ini iaitu ketenangan hati dan jiwa.

Usai aku habis bercerita. Dia mula memberi respon.

“Adik, setiap orang pernah melakukan dosa. Cuma yang membezakan seorang manusia itu adalah usahanya untuk meninggalkan dosa yang dilakukan. Juga yang membezakan kita adalah iman dan taqwa kita kepada Allah. Jika kita terlalu mencintai makhluk dan dunia yang sementara ini, kita akan kehilangan segala-galanya. Hidup kita takkan bisa tenang. Dan jika kita mencintai pencipta makhluk, dunia dan juga pencipta cinta itu sendiri, maka bahagialah kita di dunia dan di akhirat dengan izin dan rahmat dari-Nya. Inshaa Allah. Oleh itu dik, kamu dipilih oleh-Nya untuk dikurniakan hidayah. Maka, janganlah sia-siakan nikmat hidayah dan peluang yang Allah beri itu. Cintailah Tuhan yang memberikan kita oksigen untuk bernafas lagi di bumi ini sesudah kita mati sementara sebentar tadi. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Dia akan menerima taubat kita selagi kita bersungguh untuk meraih keampunan-Nya.”

Panjang lebar syarahan yang diberikannya kepadaku. Tapi, amat menyedarkan aku. Sangat menyedarkan.

“Terima kasih pak cik!”ucapku tulus dari hati. Menghargai segala nasihat dan dorongan yang diberi oleh lelaki tua itu.

“Sama-sama,”balasnya. Senyuman masih tidak lekang dibibir. Membuatkan hati aku senang dan tenang melihatnya.

“Terima kasih Tuhanku kerana memberikan aku peluang sekali lagi. Tolong bantu aku untuk berubah. Sungguh, aku amat mahu mendekati-Mu,”bisik hatiku mengucap syukur seraya tersenyum sama.

“Mencintai ajnabi kadang menyesakkanku, tapi dengan mencintai Ilahi aku selalu terasa hidup. Dan kini aku hidup lagi. Dengan nafas baru yang dikurniakan Ilahi.”



-      TAMAT     -