Pages

|

Saturday, 21 September 2013

Kopiah Putih

Karya: Zelkahf

 

Aku duduk sendirian di sebuah bangku di tengah taman permainan. Emosiku boleh kata serupa dengan cuaca ketika itu. Langit mendung dan suram. Wajahku muram, penuh kekusutan. Aku tertunduk memandang kosong lantai jalan yang dihiasi dedaunan kering yang berputar ditiup angin. Orang ramai yang lalu lalang, kanak-kanak yang bermain riang, dibiar. Langsung tidak dipeduli.

Sunyi. Itu yang dirasakan. Begitu sepi hati ketika itu. Seolah tidak pernah rasa gembira walau sedikitpun. Fikiran melayang memikirkan dosa-dosa lalu. Hati tidak tenang. Jiwa meronta mencari kebahagiaan yang bagai tidak pernah singgah dalam kehidupan.

Di sampingku ada kopiah putih, hanya direnung tanpa diusik.

“Kopiah ini dulu, aku selalu pakai untuk ke masjid, majlis-majlis ilmu, tahsin Al-Quran dan walau di mana jua berada aku pasti sarungkan kopiah putih ini di kepala. Tapi kini…”bisik hati kecilku.

“Eleh, tak payah nak bajet alim sangatlah Zubir. Hidup ni sekejap je. Jadi, sebelum kita mati baik kita enjoy habis-habis. Nanti dah puas enjoy, kita taubatlah. Bukan susah pun. Tuhan kan Maha Pengampun,”kata-kata Yazid mula bermain di kepala. Menggegar iman di jiwa.

“Hidup ini sementara Zubir. Jangan kau bazirkan demi mengejar keseronokan dunia sehingga kau berduka di akhirat sana. Mati tak mengenal usia. Boleh jadi ia datang pada kau bila-bila masa. Apakah kau sudah bersedia? Apakah nanti amalmu sudah cukup untuk menghadap-Nya?”balas iman yang masih tersisa.

Tangan kanan aku mula merapati kopiah putih itu. Mahu mencapainya namun masih ada bisikan-bisikan ablasa yang tidak pernah lelah menghasut diri.

“Come on Zubir. Tak kan dah nak taubat kot? Relax ah. Apahal kalut sangat? Today is not the end of the world. You have a lot of time to repent,”bisik suara itu.

Aku cuba untuk menyingkirkan bisikan suara yang menganggu fikiran dengan kalimah istighfar dan zikrullah namun semakin bertalu-talu pula suara jahat itu membisik. Menguji keimanan diri.

“Zubir, bayangkan kemewahan di sekeliling kau, dilayan perempuan-perempuan cantik, pasti masalah yang kau hadapi akan hilang nanti. Pergilah berseronok bersama kawan-kawan kau di kelab malam sana. Lupakan masalah yang menduga.”

Tak jadi. Aku termakan dengan hasutan itu. Aku menarik semula tangan kanan ke sisi. Kopiah putih kembali dibiarkan sendiri. Aku termenung lagi.

“Abang, kenapa abang termenung je dari tadi? Ada masalah ke?”ujar suara yang halus dan lembut itu. Aku mendongak.

Seorang budak perempuan dalam lingkungan usia 10 tahun berpakaian sekolah agama dengan tudung labuh berwarna hijau sedang berdiri di hadapanku sambil tersenyum manis.

“Tak ada apalah dik. Hal orang dewasa,”ujarku ringkas. Bagiku kanak-kanak seperti dia tidak akan mengerti apa yang aku rasa.

“Ustazah cakap kalau ada masalah, kita kena mengadu pada Allah. Allah pasti mendengarnya. Cuba abang buka Al-Quran ini dan baca surah al-Ghafir ayat 60. Allah berfirman maksudnya; Berdoalah kepada-Ku nescaya akan Aku perkenankan…”ujar budak perempuan itu seraya menghulurkan sebuah buku tebal berkulit keras warna hijau pekat.

Lambat-lambat aku menyambut huluran budak perempuan comel itu. Sifat takabbur yang masih tersisa di dalam hati cuba untuk menghalang aku daripada menerima Al-Quran yang dihulurkan.

“Ustazah juga cakap, tipu daya syaitan itu lemah. Buktinya ada pada surah apa saya tak ingat, tapi Allah berfirman dalam ayat tu, maksudnya; Sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah. Maknanya abang, kalau ada bisikan syaitan yang menghasut kita, berdoalah pada Tuhan, minta pertolongannya. Sebab kita boleh lawan hasutan itu dengan bantuan Allah. Sebab kitakan khalifah. Kita lagi kuat daripada syaitan,”gadis cilik itu tersenyum lagi.

          Bicara gadis itu membuatkan hatiku tersentuh. Terkesan dan berbekas di hati. Ada benarnya. Aku bukan tidak pernah belajar agama di sekolah dan di kolej dahulu. Aku tahu asas agama. Cuma persekitaran yang ada di sekeliling aku sekarang membuatkan aku berubah. Menjadikan aku lupa pada Tuhan. Segala apa yang aku belajar hanya dibiar berhabuk tak diamalkan.

“Terima kasih adik,”ujarku sambil tangan mengusap kepala gadis itu. Tersenyum.

“Sama-sama. ”balasnya ringkas. Senyuman masih tidak lekang di bibir nipis yang kemerahan itu.

Azan Asar berkumandang, dia meminta diri untuk pulang terlebih dahulu sebelum mengorak langkah meninggalkan aku di situ. Tidak lama kemudian bayangnya hilang di sebalik lorong-lorong rumah teres dua tingkat.

Eh, ini Quran budak tadi. "Adik!”aku baru tersedar al-Quran yang diberi oleh budak perempuan tadi masih kemas ku pegang di tangan kananku. Belum kupulangkan. Aku memanggilnya namun tidak bersahut.

Aku bangun dan berlari mengejar budak perempuan tadi. Cuba mencarinya. Namun hampa. Bayangnya sudah hilang entah ke mana. Akhirnya, aku kembali semula pada bangku taman. Kopiah putih masih disitu. Menanti tuan.

“Gadis kecil tadi banyak menyedarkan aku tentang sesuatu. Ya. Aku perlu kembali. Kembali pada Ilahi.” Aku capai kopiah putih itu lalu ku sarungkannya di kepala.

Aku bangun seraya berkata di dalam hati, “Ini adalah satu permulaan baru bagiku. Ini waktunya untuk aku keluar dari jahiliyyah dan berhijrah menjadi yang lebih baik!”

Ku tegarkan langkahku ke masjid, kuatkan imanku terhadap Allah, luruskan niat dan tetapkan matlamatku semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.

“Kopiah putih ini akan ku sarung selalu. Sebagai simbolik penghijrahan diri kearah yang lebih baik dari dulu. Semoga aku bisa istiqamah dalam perubahan ini. Bantu aku, Ya Ilahi.”


***

Friday, 6 September 2013

Daging

Karya: Rachel Moore


Ada sebuah sekolah yang terpencil di sebuah daerah yang ada di tanah air kita. Namun, sekolah itu terkenal dengan himpunan pelajar cerdik pandai. Cerdik pandir pun ada. Banyak. Kawasan di situ kawasan kampung tetapi damainya jalan tanpa gangguan sesak jalan lalu lintas. Pergi ke sekolah pukul 7:15 pagi pun masih awal sampai ke sekolah.

****

Ada sebuah kelas tingkatan 4. Dirahsiakan. Yang pasti, ada dua golongan yang berbeza di situ. Satu, golongan bijak pandai yang serius 24 jam bersama buku dan berlagak ambil SPM pada tahun itu juga. Dua, golongan bijak pandai tapi kuat main dalam kelas dan happy go lucky. Tapi result masih gempak. Cuma terkejut dengan kejutan budaya Matematik Tambahan ramai yang selalu gagal. Heh.

Dalam kelas juga ibarat ada tembok antara dua golongan ini.  Sebelah kanan pelajar golongan pertama dan sebelah kiri pelajar golongan kedua. Bergabung? NO. Kimia antara mereka tak ada. Perbincangan belajar? Jarang. Semua jadi bodoh sombong. Kerana apa? Ego.

Aku mahu singkap cerita mereka.

***

“Zah, takutlah pembentangan kali ini.” Muka Aina mulai tampak gelisah.

Diam. Malas nak layan. Jari telunjuknya diletakkan di bibir jawapannya.

“Aku pun. Baik kau senyap je. Dengar kawan lain tengah buat perbentangan tu.”

Aina mencebik. Masak perangai sahabatnya. Diurut lembut belakang sahabatnya agar gemuruhnya hilang sedikit demi sedikit. Azzah tersenyum lalu memegang bahu Aina.


***

Perpustakaan. Tempat untuk membaca buku. Namun, dua golongan ini ada agendanya tersendiri. Perlakuan mereka aneh.

“Korang, aku nak share something.”

Zarith mengeluarkan Iphone kesayangannya daripada poket. Semua gadis berkerumun sekelilingnya. Rapat. Yang bijaknya, majoriti di situ semua pengawas. Nampak tak amanah mereka tidak dilaksanakan?

“Budak-budak tu kutuk perbincangan kita. Nampak tak bagus katanya. Dahlah dalam laman sosial. Sengal betul.” Aufa menyambung.

Semua menyelak lengan baju masing-masing. Daging kulit hilang dimakan saudara sendiri. Cerlungan kecil kepada golongan pertama. Mereka ketawa sambil buat latihan cikgu berikan. Apabila pandangan bertaut, reaksi wajah berubah. Bukan muka benci tetapi senyuman dipaksa. Semuanya buat muka palsu.

Heh. Hipokrit.

***

“Bajet baguslah dorang tu. Buat presentation entah apa-apa! Please. Kalau tak reti tak payah mengada-ada nak bentang.”

“Dahlah. Jangan macam tu. Korang buat bagus sangat ke?”

“Qilah nak bela sangat dorang tu kenapa?”

“Aku tak sanggup makan daging kawan aku sendiri. Lebih baik kita bincang dengan mereka elok-elok. Settle kan semua masalah sama-sama. Luah apa yang tak puas hati. Tak kiralah masalah kecil ke masalah besar. Sampai tahun depan korang nak jadi macam ni ke??”

Diam. Ada yang geram. Seorang sahabat menolak insan bernama ‘Qilah’ jatuh terbaring dan terus duduk di atas pahanya. Qilah terkejut dek tindakan yang pantas itu.

“Kau nak kitorang buat benda yang sama dekat kau ke?” Suara gadis itu sinis.

Qilah terbungkam dengan payah dia berkata, “Korang pun makan daging sesama kawan baik sendiri. Dengan aku apatah lagi.”

Belum sempat Qilah menoktahkan kalimahnya, rakan yang lain sudah memegang kaki dan bahunya agar tidak terlepas. Qilah meronta meminta tolong tetapi mulutnya sudah ditekup. Datang seorang bawa pisau lipat tajam lalu dibenamkan ke tangan putih Qilah. Sakit? Qilah menjerit seperti orang gila.

“Sikit je Qilah. Kau cantik, mesti daging kau sedap juga.” Menyeringai seperti Pontianak.

Nah. Potongan kecil daging sudah dipotong satu persatu. Semua yang ada berebut seperti piranha.

“Aku nak yang ni. Kau ambil yang kecik sikit.”
“Mana aci!”
“Kongsi dengan aku meh!”

Qilah? Sudah penyek seperti tilam lama. Abstrak berdarah mewarnai baju sekolahnya. Menangis seperti maruahnya dinodai. Bukan. Kepercayaan sudah dicabuli secara total.


***

Aina bangun dari tidur. Terkejut bukan kepalang darah menghiasi biliknya yang bercat ungu. Merosakkan pandangan. Kelihatan satu kelibat menghirup . . . darah dan hirisan daging dalam gelas jernih.
“Lili?”

“Oh hai Aina! Nak? Aku bawa kerongkong dengan daging lain. Nak?”

“Kerongkong siapa kau bawa?”

“Azzah. Suara dia sedap sebab itu aku ambil. Biar dia tak ada lagi suara sedap.”

“Kawan aku?? Kau ambil kawan aku punya??”

“Bro, zaman sekarang kawan mana boleh dipercayai. Kuno betul kau. Nah, Zarith punya ada, Aufa punya ada. Mata mereka comel sangat. Aku ambil jelah tapi sebelah mata saja. Fatin pun ada. Cebisan otak. Mana tahu boleh jadi genius macam dia. Kau taknak? Aku kaut sendiri semua. Sharing is caring tahuu.”

“Sharing bad things isn’t good at all. Jangan jadi bodoh boleh? Dah bawa ke sana.”

“Bukan kau suka ke makan daging kawan sendiri?”

Taknak. Aku muak dengan daging kaum sendiri.

Lili tersenyum manis. Dikeluarkan pisau lipat.


***

Kelas itu penuh dengan darah. Ada yang sudah ternampak otak di kepala. Ada yang terjulur keluar mata. Tudung merah berdarah kerana kerongkong sudah tidak pada tempatnya. Namun semuanya berlagak biasa. Bau hanyir sudah sebati kepada pemangsa. Semua sudah menjadi pemangsa. Semuanya keliru siapa mengkhianat siapa?

Yang sudah sedia cantik kepada sahabat, sanggup sahabat lain hancurkan. Ini sangat zalim. Tidak letak sesuatu pada tempatnya. Semua jadi pentingkan diri sendiri. Paranoid sentiasa berlegar dalam minda. Muak percaya kawan sendiri. Hebat. Semua menjadi pelakon amatur dunia yang hebat.

“Bangun! Assalamualaikum cikgu!”

Semua pelajar yang lain mengikut rentak nada sang ketua kelas. Cikgu terkejut? Tidaklah. Beliau tak nampak kesan mengerikan terhadap pelajarnya. Beliau nampak pelajar di sini baik dan dalam keadaan normal. Pelajaran diteruskan seperti biasa. Namun, tidak menyangka setiap pelajar ada simpan satu pisau lipat untuk peribadinya.

Ini peperangan halimunan antara dua golongan. Golongan bodoh sombong.



“Sedap makan daging mentah? Heh.” -Anon