Pages

|

Thursday, 22 August 2013

Pulang - Part 1

Karya: Zelkahf


Derap kaki tak berbunyi
Sesunyi hati berbisik sepi
Tangan menadah ke langit tinggi
(sambil berbicara)
Ya Tuhan, aku kembali.


Tirai besi berkarat, dinding copak berkulat, siling gelap berdebu serta lantai simen berbau hamis tampak menjijikkan bagi orang-orang yang tidak pernah tinggal di dalam penjara. Tapi bagi dia, segalanya sudah terbiasa. Persekitaran itulah yang dihadapnya tiap hari. Normal baginya meski bagi orang lain tidak begitu.

Sepuluh tahun dia meringkuk di balik tirai besi diatas kesalahan jenayah siber dan merompak. Tiada seorang pun yang pernah menjenguknya meski ahli keluarga. Mungkin mereka malu untuk mengaku dia saudara. Itu memang lumrah kebanyakan penghuni penjara.  Ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan jiran tetangga seperti membuang mereka. Tidak mempedulikan. Disisih dan dibiar sendirian tanpa sokongan.

“Tiada siapa yang jenguk kau lagi tahun ni?”soal Jen, seorang lelaki yang bersaiz sederhana dan bertubuh tegap sambil menyuap nasi kosong dan sedikit cebisan ikan bawal goreng ke dalam mulutnya.

Dia hanya menggeleng kepala. Susu kotak Dutch Lady berperisa coklat dihirup perlahan. Sambil matanya liar memerhati sekeliling kantin.

Jen atau Jenal ataupun nama sebenarnya Zainal adalah sahabat karibnya di dalam penjara. Jen selalu membantu tatkala beberapa samseng penjara cuba untuk membulinya.

Jen dipenjarakan kerana terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai sekumpulan samseng di Kuala Lumpur. Siapa yang tidak kenal Jen, seorang kapten gangster yang sangat berpengaruh di Bandaraya Kuala Lumpur dan popular dengan tendangan mautnya. Lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu sudah lali dengan kehidupan di penjara. Sudah banyak kali dia keluar masuk ke dalam sangkar bertirai besi berkarat itu. Jadi, dia sangat tahu ragam dan perangai kebanyakan ahli-ahli penjara yang durjana. Entah mengapa Jen memilih untuk menjadi sahabatnya, dia sendiri tidak tahu.

“Kau cari apa Khai?”soal Jen lagi. Lelaki itu hairan melihat dia sedari tadi meliar pandangan ke arah sekeliling kantin seolah-olah mencari sesuatu.

“Aku cari perempuan bertudung labuh yang datang jenguk Habil hari tu. Dia tak datang ke hari ni?”jawab Khai. Matanya masih meliar. Entah apa yang membuat dirinya mencari wanita itu dia sendiri tidak pasti. Ada sesuatu yang menarik hati aku untuk mencarinya.

“Apasal kau cari dia? Sangkut?”Jen tersengih.

“Ish, kau ni. Tak lah. Tapi aku pun tak pasti kenapa aku cari dia. Ada sesuatu yang buat aku tertanya-tanya tentang dia.”

Tiba-tiba lirikan matanya terhenti pada sekujur tubuh kurus dan pendek yang baru mahu duduk di meja yang langkau sebaris dari tempat mereka berdua makan.

          “Itu Habil. Aku nak pergi dekat dia sekejap. Kau tunggu sini.”ujar Khai. Segera dia bangkit dari bangku lalu berjalan ke arah meja tempat Habil duduk.

Jen hanya memerhatikan Khai. Malas hendak masuk campur. Lantak kau lah Khai. Asalkan jangan buat masalah sudah. Bisiknya di dalam hati. Dia sambung makan lagi. Tidak ambil peduli urusan Khai.
“Habil!”sapa Khai sambil tangan kanannya menepuk lembut bahu Habil yang cekeding itu. Khai tersenyum. Mesra.

“Khai? Kau nak apa?”wajah cengkung Habil menoleh ke arah Khai yang kini sedang duduk di sebelahnya. Dia agak terkejut dan curiga. Ada apa lelaki ini datang kepadaku? Tak pernah-pernah pun sebelum ini menegur aku?

“Aku nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah. Apa dia?”

“Siapa yang selalu datang jenguk kau tu? Yang bertudung labuh selalu.”

“Kenapa kau nak tahu?”

“Saja. Boleh bagitahu aku siapa dia Habil? Atau…”pisau lipat di rapatkan ke perut Habil. Semakin lama semakin hampir. Khai tersengih. Mengugut.

“Kau…? Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah aku?”

“Aku tanya kau elok-elok, baik kau jawab je,”ujar Habil sambil matanya membulat. Sengaja menakut-nakutkan Habil yang memang sudah diketahui ramai yang dia adalah seorang yang penakut dan pasif. Lembik. Mudah dibuli selain diri Khai sendiri. Cumanya, Habil ini tiada kawan. Dia selalu sahaja dibuli orang samseng-samseng penjara tanpa ada yang membantu.

“Baik baik. Okay. Dia adik aku. Kenapa dengan dia? Kau jangan macam-macam. Tolong jangan ada niat tak baik terhadap dia. Dia baik orangnya. Tolonglah. Dia satu-satunya adik aku.”

“Siapa kata aku nak apa-apakan adik kau? Sebelum tu, siapa nama adik kau tu?”hujung mata pisau lipat masih berada berdekatan dengan perut Habil.

Tangannya terketar. Takut.

“Jannah. Nama dia Jannah,”Air matanya mula mengalir membasahi pipi cengkungnya.

“Rilekslah Habil. Aku saja gertak. Aku tak kejam lah. Aku cuma nak kenal je adik kau tu. Mungkin dia boleh tolong aku,”bisik Khai lalu mengeluarkan tisu dari poket seluarnya lalu diberikan kepada Habil. Pisau lipat disimpan kembali di celahan kasut.

Habil mengambil tisu yang dihulur. Lalu mengesat air mata yang meleleh ke pipi.

“Terima kasih di atas informasinya. Nanti kalau ada apa-apa lagi, kita borak lagi ya? Aku harap kau boleh bagi kerjasama.”

Khai tersengih lagi sambil tangan kanan dihulur tanda ingin berjabat.

Habil membalas huluran tangan Khai.

“Kita kawan?”soal Khai. Sekuntum senyuman ikhlas terukir di bibirnya.

Habil hanya mengangguk sambil membalas dengan senyuman kelat. Dia masih takut. Cuak. Nasib baik tidak terkucil.

***
          Jannah. Tak silap aku, Jannah tu maknanya syurga. Bila aku lihat wajah perempuan tu, hati aku jadi sejuk dan tenang. Kenapa ya? Mungkinkah dia …

Saturday, 17 August 2013

DUA METER


Karya: Medimitry



Shahrul Khayr. For short, Skai. Lelaki. Anak tunggal Tan Sri dan Puan Sri. 19.

And, a loner.

Parents kata dia Islam. Tengok namalah, kan? Tapi, Islam tu apa? Dia atheist. Tak ada agama.
Rutin setiap hari tak pernah berubah. Bangun, makan, tengok tv, main game, mandi, lepak sorang-sorang, jarang bergaul. Bila mengantuk, tidur. Kitaran hidup macam haiwan berhibernasi. Memang langsung tak ada rupa anak Tan Sri. Parents pun dah give up. Last ayat dalam konversasi anak-beranak ; “up to you lah. It’s your life, not ours.”

Celaka.

Last conversation, huh? 3 years ago, he guessed. Parents pergi mana pun, dia taknak tahu. Duduk dengan orang gaji. Dalam sehari tu ada lah dalam 2-3 kali nampak muka. Rumah dah macam kubur. Atau sebenarnya, memang kubur.

Seorang kawan pun tak ada. Sampailah satu hari pelik tu...

*
Skai kat sini, dia ada. Skai kat sana, pun ada dia. Tak kiralah ke mana pun dia pergi. Library, park, restoran.
Kalau nak dilihatkan pada penampilan, memang jarang dibuat orang. Stail ala-ala Sherlock Holmes. Memang. Nampak misteri.
Tapi satu benda yang dia perasan. Jarak dia dengan lelaki misteri tu, dua meter. Di mana-mana pun, mesti dua meter. Tak lebih, tak kurang. Makin Skai mendekat, makin si lelaki misteri tu menjauh. Tapi secara zahir, lelaki tu langsung tak bergerak. Tapi masih, berjarak dua meter. Nak kata pelik, memang pelik gilalah.

“Err...encik?” Skai memulakan konversasi.

“Ya?”Lelaki misteri itu menoleh. Wajahnya tak berapa kelihatan. Memang. Sebab tertutup dengan topi dan kot coklat labuh. Bercermin mata hitam. Ditambah dengan mafla berlilit menutup leher hingga separas bawah hidung.

“Encik tak panas ke pakai macam ni? Suhu Malaysia bukan macam suhu Jepun musim sejuk, encik.”
“Tak apa. Aku sakit. Tak boleh terlalu terdedah.”
“Oh.”

Senyap.

“Encik..”
“Kenapa?”
“Dari minggu lepas encik selalu ada kat sekitar saya. Ada apa-apa ke?”
“Aku rasa aku yang patut tanya macam tu. Aku pergi ke mana-mana pun, mesti ada kau.”
“Eh?”
“Jadi sekarang, anggap ini takdir untuk kau jumpa kawan baru.”

Kejap. Skai tak faham. Kawan? Takdir?

**

Tiap kali jumpa, Skai mesti tegur. Sembang. Macam kawan. Tapi si lelaki misteri tu memang tak banyak cakap. Okey, nama pun misteri. Ada tarikan tersendiri.

Skai makin selesa. Makin tahu nikmat ada kawan tu macam mana. Walaupun berhubung dalam jarak dua meter. Skai bahagia.

Until that one ‘fine’ day....

“Weh, aku teringin nak tengok muka kau.”
“Kau nak tengok rupa aku?”
“Teringin...”
“Jom cari cermin.”

Kedua-duanya merentas kesesakan bandar metropolitan, untuk satu tujuan. Cermin. Dan mereka berhenti depan satu bangunan bertingkap legap. Cermin? Kenapa tiba-tiba?

“Okey, here we are. So what’s now?
Perlahan, si lelaki misteri mengangkat topi dari kepala. Kemudian, cermin mata hitam ditanggalkan. Matanya sayu, namun bagai menyimpan sebilah belati dalam setiap tatapan. Mampu membunuh dalam diam. Mafla ditarik. Skai terkedu.

Kacaknya. Muka innocent ala-ala Frodo dalam The Lord Of the Ring. Sekacak ini?

“Sekarang Skai, pandang cermin.” Senyum.

Skai menurut. Dia berdiri menghala cermin. Eh? Dua meter dari Skai...mana dia?
Ditoleh ke sebelah. Dia ada! Matanya kembali melirik ke cermin. Mana dia? Tak ada?!

“Weh...kau...”

Skai belum sempat berkata apa-apa. Semacam satu angin berdesir menerobos masuk ke dalam jasadnya. Terasa macam dirobek-robek dari dalam. Suatu angin cengkaman kuat menceraikan dia dari jasadnya.

Skai jatuh. Rohnya. Eh? Jasad! Itu jasad aku? Aku...mati?

Jasad Skai menoleh. Memandang tajam. Senyuman manis bertukar menjadi seram. Senyumannya koyak hingga ke telinga.

“Apa ni?”
“Kau tak mati, Skai. Aku cuma ambil jasad kau. Dah lama aku cari loner macam kau. Jiwa kosong. Atheist. Primatif. Aku cuma nak jasad kau. Untuk hidupkan diri aku. Sekarang, perfecto! Gracias, Skai!”
“Pulangkan balik, celaka!”

Perlahan, Skai rasa ditarik ke atas. Bergentayangan. Terbayang semula di layar ingatan. Mama. Papa. Bibik. Skai’s lifeless life. Sekarang, aku nak hidup dengan cara orang lain. Hidup baru. Jasad! Ya. Nak rampas semula jasad dia pun dah tak berguna. Sekarang, giliran Skai pula memburu jasad baru. Dalam hiruk-pikuk manusia, Skai membidik seorang demi seorang. Mencari sang loner. Tapi siapa? Dia menyelam mata manusia satu-persatu. Jumpa.

Sengih.

“KAU, mari. Mari sang sendiri. Aku disini, dua meter darimu. Izinkan aku, bersembuyi dalam segenap rongga jiwamu....”


Dua meter darimu. Berjaga.

DARAH


Karya: Skeemetri


 
0235 pagi

Tap !

Satu suara kedengaran. Hanya menoleh kebelakang beberapa inci. Aku sudah mengerti. Dia lapar. Mungkin kerana aku kuat bekerja. Sehingga lupa beri dia makanan. Aku ke kabinet. Mengambil pisau dan mangkuk kecil. Aku memandang sinki.

Zisss !

Darah mula mengalir di muka. Air mata tidak mengalir ditubir. Aku sudah lali dengan kesakitan. Dan aku juga yang yang rela. Tak salah bukan? Kerana dia aku cintai. Pisau yang tercemar dengan darah itu, aku sapukan di atas lidah. Menikmati darah. Aku mendalami cermin kecil dihadapan aku. Dia seakan akan menepuk nepuk tangannya. Dia gembira aku juga gembira.

Muka masih ada sisa darah. Aku berlari anak ke arah dia. Dia senyum kegirangan. Tetapi aku tidak menghulurkan mangkuk isi darah itu. Aku mendekatkan muka aku ke arah dia. Dengan rakusnya, dia terus menjilat muka aku.

Aku ke cermin itu kembali. Senyum. Muka aku kembali bersih dan cantik.


Masa berputar kedepan.


 
0001 pagi

Aku menghadap komputer. Khusyuk sekali. Sekali mata terancap pada kaca komputer. Anak mata aku takkan menghilang dari pandangan lain. Tetapi aku terpandang gelas kaca itu. Pantulan wajah aku, aku lihat. Kulit muka yang menggerutu. Kudisnya merata rata. Bilangan rambutnya boleh dikira. Giginya yang retak. Lehernya seakan sudah lama di jerut berulang ulang.

Aku terus menjerit.

Tangan aku terus meraba raba muka. Aku tidak percaya. Aku lihat ke arah jam. Aku lihat sekeliling. Aku mencari tangan tangan manusia yang aku kerat di dalam stor.

Ngapp !

Terus aku melahap dengan gelojoh sekali. Sekilas pandang aku melihat di bahagian bucu stor. Dia sedang bertenggek disitu. Dengan mata yang bersinar kehijauan. Aku tersenyum sambil memegang bahagian tangan manusia itu. Mulut aku pula dipenuhi dengan darah hanyir.

 

0145 pagi.

Slurrp.

Kerana dia kekasih aku. Aku sanggup lakukan apa sahaja. Aku rela. Biarpun aku tiada dara. Kerana telah aku berikan dara itu sebagai hidangan pertama dia, kekasih aku. Biarpun muka aku yang musnah, diri aku hancur. Akhirnya, aku kekenyangan. Darah yang berlebihan aku jilat dengan nikmatnya.

Monday, 12 August 2013

Rumah



Karya: Syukr

 
Bismillahirrahmanirrahim.


Jari-jemari ligat berlari di atas kekunci. Kadang-kadang berdansa. Satu persatu kunci dipijak dengan penuh kemas. Berseni. Berirama. Terpapar bait-bait kata di atas lembaran Microsoft Word di skrin Asus kelabunya. Terbina sebuah pembuka bicara penuh makna sebagai pendahuluan novel barunya. 


Senyum. Sepertinya penulis jalanan itu berpuas hati dengan hasil yang tak seberapa itu. Tangan kiri dilarikan ke belakang leher buat seketika sedang tangan kanan melarikan kursor ke butang save. Leher diurut perlahan.


Dia mencapai secawan kopi pekat di meja sebelah membawanya ke mulut. Kopi dihirup perlahan dek masih panas. Mata kembali segar selepas menerima kafein.

Itulah rutinnya pada malam hari. Melawan fitrah manusia untuk berehat dengan menjadi burung hantu. 


Sebenarnya rutin ini masih baru iaitu sejak dua bulan lepas. Tepat jam dua belas tengah malam, dia akan tercongok depan komputer ribanya bertemankan secawan kopi panas dan sehelai baju sejuk. 


Dengan hanya dibantu oleh limpahan cahaya daripada skrin Asus, dia sudah menyiapkan sebuah novel setebal 273 muka surat. Ya, dia tidak suka menaip dalam keadaan yang terang sebab kosentrasinya mudah terganggu. Entah kenapa.


Dan malam ini, dia sudah mula menaip novel barunya. Belum bertajuk. 


Jari-jemari kembali bersedia untuk menari. Mata dipejam. Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus perlahan. Kepalanya lentok, tertunduk ke bawah. 


Satu per satu kunci ditekan dengan laju. Tidak pernah sekali pun dia memadam apa yang telah ditaip. Tiada jeda dapat dirakam seakan-akan dia memang tahu apa yang dia mahu taip. Seolah-olah idea di dalam mindanya terus mengalir. Deras. Sesekali kepalanya bergerak-gerak.


Selepas 5 minit, kepala yang tadi tertunduk ke bawah diangkat menghadap skrin Asus. Mata dicelikkan. Retina mata menyesuaikan diri dengan kecerahan persekitaran. Lepas seketika, matanya dapat melihat dengan jelas apa yang terpapar di skrin.


Senyum, lagi. Dia sudah tahu memang tak akan ada kesalahan pada susunan kalimahnya. Sebab apa? Sebab dia yang menaip.


Seperti biasa kursor dilarikan mencari butang save.

Kopi dihirup sekali lagi. Cawan diletakkan semula. 


Dia meraup muka seketika lalu diangkat menghadap ke depan. Dia memandang sesuatu. Sesuatu di balik Asusnya. Terdapat seseorang di dalam cermin. Terdapat imej pantulan dirinya. Riak wajahnya kosong. Tidak menggambarkan sebarang perasaan. 


Dan, matanya tertutup rapat.

Si burung jadian itu pula memejamkan mata. Kali ini tubuhnya dibiarkan menjadi santapan mata lembaga di dalam cermin itu. Lembaga bersusuk tubuhnya. Lembaga berwajahnya.


“Amacam?” Suara lembut memecah kesunyian dalam bilik gelap itu. Sayup kedengaran di telinga.


“Ok kan cerita aku? Kau rasa patut tak aku buat budak tu bunuh nenek dia?” Sambung lembaga itu.


Manusia di hadapan cermin masih kaku, setia mendengar setiap bait kata yang dilafazkan. Sesekali dia mengangguk, mengiyakan.


“Aku nak sambung bole..”


“TAK!!” Belum sempat dia menghabiskan pertanyaannya, si lembaga itu langsung memintas. Jeritan kedengaran. 


Dia membuka mata kerana tersentak dengan tegahan lembaga itu yang agak tegas . Terus senyap. Keadaan kembali seperti biasa. 


Heh. Dia mengeluh. Terasa dirinya amat lemah.

Dia menggeliat seadanya, hilangkan penat. Tarik nafas, hembus. 


Tatkala jari mula melangkah, “pap” Dirasakan sentapan yang kuat pada tulang. Dia mengaduh kesakitan. Sakit. Tidak boleh digerakkan. Semacam satu daya yang kuat menarik jari ke atas. Seakan patung boneka yang dikawal pemiliknya, jarinya kaku di situ.


Dahi berkerut. Sakit, bengang, marah, semua ada. Dia ni memang nak kena. Dendam hatinya. 


Duh, telinganya seperti dijentik seseorang. Nampak gaya penghuni dia tahu apa yang tersirat dalam hatinya.  ‘Ha, berani lagi nak lawan aku.’ Sesuatu berbisik ke dalam telinganya.


“Ok, cukup. Silakan.” Dia mengalah. 


Mata kembali dipejam. Lalu, jari-jemari turut bekerja.

Si penghuni kembali mengawal perumahnya. 


‘Aku pejam dalam kau celik, aku celik dalam kau pejam. You’re not gonna see me.’